Imigrasi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Walaupun penghijrahan telah wujud selama beratus-ratus ribu tahun, imigrasi dalam erti kata moden merujuk kepada pergerakan orang-orang dari sebuah negara bangsa ke sebuah negara bangsa yang lain di mana mereka bukan merupakan warganegara. Imigrasi melibatkan kediaman tetap jangka panjang oleh pendatang-pendatang: Pelancong-pelancong dan pelawat-pelawat jangka pendek tidak dianggap sebagai pendatang. Bagaimanapun, penghijrahan buruh bermusim (biasanya untuk tempoh yang kurang daripada setahun) sering diperlakukan sebagai sejenis imigrasi. Jumlah imigrasi sejagat adalah tinggi dari segi mutlak, tetapi rendah dari segi relatif. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bilangan pendatang antarabangsa sebanyak 190 juta pada tahun 2005, iaitu lebih kurang 3% daripada jumlah penduduk sejagat. 97% yang lain masih tinggal di negara asal mereka atau negara penggantinya.

Immigration-Nagoya.JPG

Idea moden bagi imigrasi adalah berkait dengan pengembangan negara-negara bangsa, khususnya pada abad ke-19, dengan syarat-syarat kewarganegaraan yang jelas, pasport, kawalan sempadan yang kekal, dan undang-undang kerakyatan. Kewarganegaraan sebuah negara bangsa memberikan hak kediaman yang tidak terpisah dalam negara tersebut, tetapi kediaman pendatang adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan oleh undang-undang imigresen. Imigrasi tanpa kebenaran rasmi boleh merupakan satu jenayah di bawah undang-undang tersebut dan walaupun jika ia tidak ditakrifkan sebagai suatu jenayah, undang-undang imigresen biasanya memperuntukkan penahanan pendatang-pendatang haram. Negara-negara bangsa juga membuat imigrasi sebagai satu persoalan politik: mengikut takrif, negara bangsa ialah tanah air sebuah negara yang ditakrifkan melalui keetnikan dan/atau budaya berkongsi, dengan pendatang-pendatang dalam kebanyakan kes, mempunyai keetnikan dan budaya yang berbeza. Ini telah mengakibatkan ketegangan-ketegangan sosial, xenofobia, dan pertikaian-pertikaian tentang identiti kebangsaan di dalam banyak negara ekonomi maju.