Kamus Inggeris Melayu Dewan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kamus Inggeris Melayu Dewan

Kamus Inggeris Melayu Dewan ialah kamus dwibahasa Inggeris dan Melayu yang disusun dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka buat pertama kali pada 1991. Ia mempunyai lebih kurang 40,000 kata masukan dan ditujukan kepada mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama atau kedua serta juga mengetahui asas bahasa Melayu. Tumpuan utama kamus ini ialah perkataan seharian yang baku dan umum, dengan perkataan dan makna yang kurang lazim atau sangat khusus tidak dimasukkan. Bagaimanapun, kamus ini juga merangkumi sebilangan istilah teknikal, kata sastera, serta penggunaan tak formal dan idiomatik. Berbeza daripada kamus-kamus bahasa Inggeris-bahasa Melayu yang lain, kamus ini tidak menghuraikan makna kata, tetapi sebaliknya menyediakan padanan bahasa Melayu bagi setiap perkataan, frasa, dan ungkapan bahasa Inggeris, berdasarkan konteks dan pemakaian kata. Oleh itu, kamus ini amat berguna sebagai bahan rujukan yang bukan sahaja dapat memenuhi keperluan biasa sehingga ke peringkat pengajian tinggi tetapi juga dapat memenuhi keperluan para penterjemah.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Penyusunan sebenar kamus ini dimulakan oleh Dr. W. Linehan pada 1955 atas dorongan dermawan British, Tan Sri John Galvin.[1] Malangnya, Dr. Linehan meninggal dunia pada tahun yang berikut dan penyusunan kamus itu terhenti buat beberapa lama sehingga 1958 apabila ia diambil alih oleh C.C. Brown yang ketika itu baru bersara sebagai pensyarah bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London. Brown menyiapkan dan menyerahkan manuskripnya kepada Cambridge University Press pada 1964. Manuskrip itu kemudian disampaikan kepada Profesor A.H. Johns dari Australian National University untuk disunting dan disemak semula. Atas pelbagai sebab, manuskrip tersebut tidak digunakan.

Pada 1967, sekumpulan pembantu penyelidik Australian National University yang diketuai oleh Profesor A.H. Johns mula menyusun kamus yang baharu.[1] Walau bagaimanapun, projek ini menghadapi banyak masalah, khususnya masalah kakitangan. Oleh itu, kemajuan penyusunan amat perlahan.

Pada 1970, Galvin, penaja projek ini, menghentikan bantuan kewangannya. Selepas beberapa banyak perundingan, kerajaan Komanwel Australia bersetuju membiayai projek ini. Tujuh tahun kemudian, projek ini sekali lagi menghadapi kesukaran kewangan apabila kerajaan Australia menarik balik pembiayaannya sebagai sebahagian langkah penjimatan negara. Justera itu, kerja penyusunan kamus ini terhenti buat kali ketiga pada 30 Jun 1977.

Pada saat inilah rundingan antara Australian National University dan sebilangan institusi di Malaysia bermula.[1] Selepas beberapa bulan berunding, maka diputuskan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengambil alih projek ini kerana ia memiliki kakitangan, kepakaran, dana, dan mekanisme yang diperlukan. Justera, projek itu diserahkan kepada DBP pada 1 November 1978 dan penyusunan kamus ini bermula sekali lagi. Bagaimanapun, projek ini sekali lagi menghadapi banyak masalah yang serupa dengan masalah yang dihadapi di Australian National University. Bukan sahaja mendapatkan kakitangan yang layak itu sukar, apa lagi penutur asli bahasa Inggeris, malah untuk mengekalkan mereka setelah mereka dilatih juga sukar. Untuk sekian waktu yang lama, penyusunan kamus ini umpama "berenang menentang arus".[1] Hanya sejak sekitar 1989 bahawa projek ini mulai melihat sinar harapan dan apa yang diumpamakan oleh James Murray, ahli leksikografi terkenal, sebagai "bongkah petikan" kemudian menjadi Kamus Inggeris Melayu Dewan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 1.2 1.3 Kamus Inggeris Melayu Dewan, Cetakan Ketiga, m.s. xvii. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 983-62-2282-0