Laluan Kemasyhuran Hollywood

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Watak The Simpsons merupakan bintang untuk kecemerlangan dalam kategori Televisyen (2000).

Laluan Kemasyhuran Hollywood (bahasa Inggeris: Hollywood Walk of Fame) adalah satu laluan jalan kaki di sepanjang Hollywood Boulevard dan Jalan Vine di Hollywood, Los Angeles, California, Amerika Syarikat, yang berfungsi sebagai muzium hiburan. Laluan ini dipahat dengan lebih daripada 2,000 bintang berbucu lima yang memaparkan nama-nama selebriti dan watak rekaan yang diberikan penghargaan oleh Dewan Perdagangan Hollywood atas sumbangan mereka kepada industri hiburan. Laluan Kemasyhuran ini dipelihara oleh Badan Amanah Hollywood yang dibiayai sendiri. Lapan bintang pertama didedikasikan pada bulan September 1958 dan diletakkan di bahagian barat laut Hollywood Boulevard dan Lebuh Highland. Ia dibina beberapa bulan sebelum majlis pembukaan rasmi Laluan dibuat pada tahun 1960. Pada 9 Februari 1960, Joanne Woodward menjadi selebriti pertama yang namanya diabadikan di Jalan Kemasyhuran Hollywood.

Ciri[sunting | sunting sumber]

Laluan Kemasyhuran memanjang ke barat di Hollywood Boulevard dari Lebuh Gower dan dari selatan di Lebuh La Brea ke utara di Jalan Vine di antara Jalan Yucca dan Sunset Boulevard. Panjang Laluan Kemasyhuran ini hampir 5.6 km untuk perjalanan pergi balik. Kedudukan untuk bintang tertentu adalah kekal, melainkan jika ia terpaksa dipindahkan kerana terdapat pembinaan berdekatan atau alasan lain.

Setiap bintang terdiri daripada bintang merah muda berbucu lima berbingkaikan gangsa. Di dalam bintang merah muda adalah nama ditempa dalam gangsa, sementara di bawahnya pula lambang gangsa bulat yang menunjukkan kategori penerima bintang. Lambang-lambang tersebut ialah:

  • Walk filmische Leistungen.jpg Kamera filem untuk sumbangan bagi industri filem
  • Walk Leistungen im Fernsehen.jpg Set televisyen untuk sumbangan bagi industri penyiaran televisyen
  • Walk musikalische Leistungen.jpg Rekod fonograf untuk sumbangan bagi industri muzik
  • Walk Leistungen im Radio.jpg Mikrofon radio untuk sumbangan bagi industri penyiaran radio
  • Walk Leistungen am Theater.jpg Topeng berkembar komedi/tragedi untuk sumbangan bagi teater

Empat lambang pertama adalah lambang asal pada 1950-an dan 60-an; lambang untuk teater hanya ditambah pada tahun 1984. Terdapat beberapa pengecualian seperti lambang bangunan bagi bintang Disneyland, dan Mohor Agung Hollywood bagi datuk bandar Hollywood Johnny Grant. Bekas datuk bandar Los Angeles pula mempunyai bintang berlambang mohor bagi bandar Los Angeles.

Penamaan calon dihantar setiap tahun menjelang 31 Mei, dan jawatankuasa Laluan Kemasyhuran Hollywood berjumpa pada bulan berikutnya untuk memilih nama-nama yang akan diabadikan. Upacara penganugerahan bintang dibuka kepada orang ramai dan sebelum ini dipimpin oleh datuk bandar Hollywood Johnny Grant sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 2008.