Lesen perisian

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Lesen perisian ialah perjanjian bertulis antara pemilik dan pengguna perisian. Lesen perisian terbahagi kepada dua kategori, iaitu lesen hak milik dan lesen sumber terbuka. Berikut ialah keterangan mengenai perbezaan antara kedua-dua jenis lesen ini:

  • Lesen hak milik—dengan lesen ini, pemilik perisian membenarkan pengguna menggunakan satu salinan perisian tersebut atau lebih, akan tetapi tidak memindah milik perisian tersebut kepada pengguna. Oleh itu, si pengguna hendaklah bersetuju dengan lesen tersebut dan mematuhi syarat-syarat yang dinyatakan untuk menggunakan perisian itu. Dengan mengedarkan salinan perisian proprietari kepada orang lain, sama ada secara percuma atau berbayar, pemilik perisian dapat mengekalkan hak miliknya terhadap perisian itu dan mengenakan kekangan sebanyak mana yang dia suka. Contoh perisian dengan lesen hak milik ialah perisian-perisian yang dikeluarkan oleh Microsoft (Microsoft Windows dan lain-lain) dan kebanyakan syarikat dagangan.
  • Lesen sumber terbuka—lesen ini merupakan 'songsang' bagi lesen hak milik. Dengan lesen ini, pemilik perisian bukan sahaja membenarkan orang lain menggunakan perisian itu, malah menyerahkan hak si pengguna untuk 'memiliki' perisian itu. Perbuatan ini samalah seperti memindah milik barang-barang harian. Tambahan pula, terpulang kepada pengguna untuk bersetuju atau tidak dengan syarat-syarat yang dikenakan dalam lesen tersebut. Sekiranya dia tidak bersetuju, dia boleh terus menggunakan perisian tersebut. Namun, jika dia bersetuju, dia diberikan hak-hak tambahan, umpamanya hak untuk mengedarkan salinan perisian tersebut kepada orang lain pula. Lesen sumber terbuka yang paling popular ialah Lesen Awam Am GNU yang dihasilkan oleh Yayasan Perisian Bebas. Semua perisian yang dilepaskan oleh projek GNU diedarkan dengan lesen ini.