Lim Tiam Hion

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Lim Tiam Hion merupakan salah seorang penulis di Malaysia yang berasal dari negeri Pahang, dan aktif menulis di Johor.

Lim Tiam Hion atau juga dikenali dengan nama penannya TH Lim, dilahirkan pada 13 Februari 1955 di Kampung Balai, Daerah Bachok, Kelantan. Memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Cina Pei Hwa, Machang, Kelantan dan kemudiannya beliau menimba ilmu di Sekolah Menengah Hamzah, Machang, Kelantan. Pada tahun 1975 hingga 1976, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Mohd. Khalid Johor Bahru.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur dalam bidang Pendidikan Seni Halus pada tahun 1982. Di usia menginjak 37 tahun, beliau meluaskan lagi ilmu Bahasa Melayu dan Sastera Melayu di Kampus Universiti Putra Malaysia pada tahun 1992-1996. Sebagai seorang guru sisiwazah, beliau memulakan khidmat baktinya di Sekolah Menengah Kampung Laut, Kelantan. Kemudian beliau ditukarkan ke negeri Johor di beberapa buah sekolah antaranya Sekolah Menengah Batu Anam, Segamat, Johor, Sekolah Menengah Seg Hwa, Segamat, Johor, Sekolah Menengah Munsyi Ibrahim, Labis, Johor dan Sekolah Tinggi Segamat sehingga kini.

Karya[sunting | sunting sumber]

Sepanjang menetap di negeri Johor inilah beliau tekun menggarap karya yang bermutu antaranya adalah Keranamu Nisah (Kumpulan Cerpen), Kekasih dan Kenangan Itu (Kumpulan Puisi), Melodi Hidup (Kumpulan Puisi, DBP 1989), Cakrawala Diri (Kumpulan Puisi sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu), Dari Rosmera ke Sadhana (Antologi Bersama Persatuan Penulis Johor), Di Dunia Permata (Antologi Bersama), DAKSINA (Antologi Bersama DBP Wilayah Selatan), tiga buah buku seni visual untuk pelajar sekolah menengah dan beberapa buah buku Bahasa Melayu untuk pelajar sekolah menengah dan banyak lagi. T.H.Lim juga banyak menyumbangkan karya dan penulisan puisi terutama untuk kegiatan penulisan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan; dan pelbagai penerbitan sejarah pada tahun 1975 sehingga kini. Beliau juga turut giat menulis artikel di Jendela Selatan terbitan DBP Wilayah Selatan.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Beliau telah dianugerahkan Guru Aktif dan Kreatif daerah Segamat sebanyak tiga kali. Beliau juga menerima Anugerah Khidmat Cemerlang. Beliau merupakan penerima Hadiah Pilihan sempena Sayembara Puisi Johor pada tahun 2004 dan juga pemenang Puisi Tradisional anjuran DBP Wilayah Selatan. Hadiah Pilihan Sayembara Puisi Johor pada tahun 2004.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]