Lorong memotong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Gambar rajah menunjukkan lorong memotong serta bahagian jalan raya yang lain.
Bagi negara yang mengamalkan pemanduan di sebelah kiri, lorong memotong terletak di sebelah kanan, seperti di Lebuhraya Utara-Selatan.

Lorong memotong merupakan lorong pada jalan raya berbilang lorong atau lebuh raya yang terletak paling hampir dengan garisan tengah jalan atau pembahagi jalan. Di Malaysia, lorong memotong sering kali dirujuk sebagai lorong kanan berikutan pemanduan di sebelah kiri yang diamalkan. Ia juga sering dirujuk sebagai lorong laju kerana selalunya lorong memotong sering digunakan berpanjangan oleh kenderaan yang dipandu laju. Secara teorinya, lorong memotong sepatutnya hanya digunakan untuk memotong sahaja, supaya membolehkan pemandu memandu mengikut corak pemanduan tersendiri.

Di lebuh raya, susur keluar dan masuk dikhususkan untuk lorong perlahan, tetapi ada juga susur keluar atau masuk yang direka untuk digunakan oleh pemandu di lorong memotong, seperti susur keluar dari Lebuhraya Persekutuan Jkr-ft2.png (arah Klang) ke Lebuhraya Pantai Baru Mes-e10.png yang hanya boleh digunakan oleh pemandu di lorong kanan.

Varian[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Lorong mendaki

Di sesetengah kawasan, lorong memotong turut dipanggil sebagai lorong kenderaan berat, untuk membolehkan kenderaan ringan yang bergerak laju memotong kenderaan berat yang bergerak perlahan tanpa mengganggu aliran trafik dari arah bertentangan. Di kawasan pergunungan yang curam pula, lorong memotong turut dibina sebagai lorong mendaki untuk membolehkan kenderaan berat serta kenderaan yang tidak cukup berkuasa beralih di sebelah tepi tanpa mengganggu aliran trafik bagi arah yang sama. Lorong mendaki bukan hanya terdapat semasa mendaki cerun curam sahaja; ada kalanya lorong mendaki turut dibina di bahagian menuruni cerun curam untuk membolehkan kenderaan berat bergerak perlahan tanpa menyebabkannya hilang kawalan.

Lorong mendaki sering kali dikelirukan dengan lorong memotong berikutan konfigurasinya yang hampir sama; lorong memotong boleh mempunyai jumlah bilangan lorong yang genap manakala lorong mendaki pula hanya boleh ada jumlah lorong yang ganjil sahaja sesuai dengan fungsinya. Selain itu, papan tanda yang digunakan juga adalah berbeza; papan tanda "KENDERAAN BERAT SILA IKUT KIRI" digunakan pada lorong mendaki, manakala papan tanda "IKUT KIRI JIKA TIDAK MEMOTONG" pula digunakan pada lorong memotong.