Maktab Perguruan Sri Pinang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Maktab Perguruan Sri Pinang merupakan sebuah maktab perguruan yang telah ditutup yang terletak di Pulau Pinang.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Maktab ini telah ditubuhkan pada 1 Jun 1957 dengan nama Maktab Latihan Harian. Maktab ini pada asalnya beroperasi di bangunan Sekolah Cina Normal Green Lane, Jalan Hamilton. Pada tahun pertama, seramai 321 orang guru pelatih menuntut di maktab ini. Kesemua pelatih ini mengikuti pengajian selama 3 tahun. Seterusnya pada bulan Januari 1958, sebahagian besar guru pelatih yang sedang menjalani latihan di Maktab Perguruan Kota Bahru telah dipindahkan ke maktab ini untuk meneruskan latihan mereka.

Hingga ke tahun 1960-an, kelayakan asas mengikuti kursus perguruan ialah Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Selepas tahun tersebut mereka yang memiliki keputusan Sijil Persekolahan turut diambil. Golongan ini dikehendaki menjalani latihan selama dua tahun.

Pada tahun 1973 apabila Rancangan Latihan Perguruan Bersepadu dilaksanakan, maktab ini mula menyediakan guru-guru sekolah rendah dan menengah rendah menerusi program pendidikan peringkat awal kanak-kanak. Selaras dengan fungsi dan peranan maktab, maka nama maktab ini telah ditukar kepada Maktab Perguruan Sri Pinang dalam tahun 1977. Mulai tahun 1981, maktab ini memulakan kursus perguruan asas mengikut sistem enam semester dan kemudiannya lima semester.

Disebabkan keluasan kawasan maktab di Jalan Hamilton terhad di samping kekurangan kemudahan asas, maka pada Jun 1979, maktab ini telah berpindah ke Jalan Northam (kini dikenali sebagai Jalan Sultan Ahmad Shah) sehinggalah maktab ini ditutup pada tahun 1998.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]