Meriam Tanah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Meriam Tanah ialah sejenis mercun buatan sendiri yang popular dan merupakan acara tahunan yang disambut pada setiap malam terakhir Ramadan dan semasa musim perayaan Hari Raya.[1] Seperti mercun letupan yang lain, ia termaktub dalam Akta Bahan Letupan 1957.

Mekanisme[sunting | sunting sumber]

Meriam Tanah diperbuat daripada batang besi, PVC atau tin besar yang panjang mencecah antara satu hingga dua meter dan mempunyai lubang di bahagian hujung bagi memudahkan api dinyalakan untuk menembak meriam. Cara pengendaliannya mirip kepada meriam buluh yang biasanya dimainkan, namun apa yang membezakannya ialah ia biasanya ditanam sebahagian daripadanya dalam tanah sebagai langkah keselamatan.[2]

Satu lubang pencucuh akan ditebuk pada pangkal batang paip jenis PVC atau besi dan campuran kalsium karbida dan air dimasukkan dengan menggunakan mangkuk pengisi yang direka untuk memudahkan keluar masuk karbida. Tindak balas kimia yang terhasil daripada campuran kalsium karbida dan air di dalam batang kayu akan menghasilkan asetilena, sejenis gas yang mudah meletup. Gas asetilena akan meletup apabila didedahkan kepada api. Letupan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan teruk jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati.

Keselamatan[sunting | sunting sumber]

Sebagaimana bahan letupan yang lain, meriam tanah boleh mendatangkan kecederaan sekiranya berlaku kegagalan pada batang paip atau tin yang digunakan bagi menahan letupan yang terhasil. Hal ini menjadikan letupan tidak dapat dijangka. Letupan inilah yang berbahaya kerana serpihan besi atau bahan api yang mungkin akan terpercik dan menyebabkan kelecuran dan kecacatan kekal pada muka dan anggota badan akibat letupan tadi.

Selain itu, terdapat bahaya daripada sisa karbida yang berasid dan mampu menipiskan kulit yang terdedah dan wapnya mengancam paru-paru sekiranya dihidu untuk tempoh yang lama. Selain itu, terdapat bahaya melecur terkena api karbida, dan juga bahaya ketika berlaku letupan terlewat. Bahaya letupan lewat berlaku apabila pemain cuba memeriksa meriam yang tidak meletup selepas dicucuh, lantas meriam meletup ketika mereka sedang melihat ke dalam meriam.

Langkah pencegahan[sunting | sunting sumber]

Batang besi, PVC atau tin yang digunakan itu akan ditanam dalam tanah, dengan itu sekiranya meriam pecah, serpihan dapat dikurangkan melalui timbunan tanah yang diletakkan di sekeliling meriam. Untuk meningkatkan ciri keselamatan, bancuhan simen dan pasir juga boleh digunakan untuk menutup celahan meriam sebelum ia ditanam.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]