Mercun

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Mercun yang sedang meletup

Mercun ialah sejenis perkakas letupan kecil yang direka terutamanya untuk menghasilkan bunyi bising yang amat kuat, terutamanya dalam bentuk dentuman kuat; apa-apa kesan visual turut bersampingan dengan tujuan ini. Mercun mempunyai sumbu dan dibalut dengan longsongan kertas yang sangat tebal agar dapat menampung letupan besar. Mercun, serta bunga api kini dipercayai berasal dari China.

Budaya[sunting | sunting sumber]

Mercun secara umumnya digunakan semasa pesta ataupun cuti perayaan, seperti Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat, Deepavali, Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Mercun juga digunakan oleh masyarakat Vietnam semasa pesta Tết terutamanya pada tengah malam Giao Thừa (Malam Tahun Baru). Mercun dipercayai kononnya boleh menghalau semangat jahat serta menarik dewa kekayaan ke pintu rumah. Sepanjang perayaan musim bunga pada tahun 2006, mercun dan bunga api sejumlah AS$ 124 juta telah dinyalakan di Tanah Besar China.

Mercun adalah satu permainan kanak-kanak.

Pengharaman mercun[sunting | sunting sumber]

Secara umumnya, semua mercun diklasifikasikan sebagai bahan letupan berkuasa rendah. Oleh itu, terdapat beberapa negara yang mengharamkan pembakaran mercun kerana beberapa sebab, antaranya pencemaran bunyi, risiko kecederaan serta risiko kebakaran.

Di Malaysia, pembakaran mercun kini diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991 akibat peningkatan kadar kecederaan di kalangan kanak-kanak (terutamanya dari kaum Melayu) semasa musim perayaan Hari Raya. Ironinya, kes kecederaan akibat bermain mercun terus meningkat saban tahun kerana kanak-kanak Melayu beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh sebagai alternatif kepada mercun komersial.

Di Singapura, larangan separa terhadap pembakaran mercun dikuatkuasakan pada Mac 1970 selepas satu kebakaran yang mengorbankan enam orang dan mencederakan 68 yang lain.[1] Ini seterusnya membawa kepada pengharaman penuh pada Ogos 1972, selepas satu letupan yang membunuh dua orang[2] serta serangan terhadap dua anggota polis yang cuba menghalang satu kumpulan orang ramai daripada membakar mercun pada Februari 1972.[3] Walau bagaimanapun, pada tahun 2003, kerajaan membenarkan kembali mercun dibakar semasa musim perayaan. Pada tengah malam Tahun Baru Cina di Chinatown, mercun dibakar tetapi di bawah syarat-syarat kawalan yang dikenakan oleh Lembaga Pelancongan Singapura. Perayaan lain di mana mercun dibenarkan untuk dibakar ditentukan oleh Lembaga Pelancongan Singapura. Namun demikian, penjualan mercun secara komersial diharamkan sama sekali.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Book soul 1970
  2. Chingay Past
  3. Akbur M., Peer (2002). Policing Singapore in the 19th and 20th centuries. Singapore Police Force. ms. 100. ISBN 981-04-7024-X. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]