Othello

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pelakon Rusia, Constantin Stanislavski sebagai Othello (1896)

The Tragedy of Othello, the Moor of Venice (Tragedi Othello, Si Moor dari Venezia) adalah sebuah tragedi karya William Shakespeare yang dipercayai dikarang sekitar tahun 1603, dan berasaskan karya cerpen Itali Un Capitano Moro ("Nakhoda Moor") oleh Cinthio, seorang anak didik Boccaccio yang mula-mula diterbitkan pada tahun 1565. Karya ini berkisarkan empat watak utama, iaitu Othello, seorang panglima Moor dalam tentera Venezia; isteri barunya, Desdemona; leftenannya, Cassio; dan ensain setianya, Iago. Kaya dengan tema-tema rasisme, cinta, kecemburuan dan penderhakaan, Othello masih dipersembahkan di teater profesional mahupun rakyat serta menjadi asas untuk pelbagai adaptasi opera, filem mahupun sastera.

Watak[sunting | sunting sumber]

  • Othello si Moor: Seorang panglima tentera Venezia
  • Desdemona, isteri kepada Othello dan anak kepada Brabantio
  • Iago, ensain kepada Othello dan suami kepada Emilia. Antagonis.
  • Cassio, leftenan Othello.
  • Emilia, isteri kepada Iago dan pembantu rumah Desdemona
  • Bianca, kekasih Cassio
  • Brabantio, seorang senator Venezia, abang kepada Gratiano, dan bapa kepada Desdemona
  • Roderigo, seorang bangsawa Venezia rendah akhlak yang jatuh cinta kepada Desdemona
  • Adipati Venezia
  • Gratiano, adik lelaki kepada Brabantio
  • Lodovico, saudara Brabantio dan sepupu Desdemona
  • Montano, pendahulu jawatan Othello di kerajaan Cyprus
  • Badut, seorang hamba
  • Para Pegawai, para Bangsawan, si Utusan, si Bentara, si Pelaut, para Pengiring, para Tanji, dsb.

Plot[sunting | sunting sumber]

Drama dibuka dengan Roderigo, seorang bangsawan yang kaya dan rendah akhlak, menegur Iago si ensain kerana tidak mengkhabarkan perkahwinan rahsia Desdemona, anak perempuan kepada Senator Brabantio, dengan Othello, seorang panglima Moor dalam tentera Venezia. Roderigo marah dengan khabar itu kerana mencintai Desdemona, malah pernah meminta restu bapa Desdemona untuk mengahwininya. Iago membenci Othello kerana menaikkan pangkat seorang pemuda bernama Michael Cassio mengatasi pangkatnya, lalu memberitahu Roderigo niatnya untuk memperalatkan Othello demi kepentingan dirinya. Iago turut marah kerana percaya bahawa Othello pernah tidur bersama isterinya, Emilia. Iago mengecam Cassio sebagai ahli taktik terpelajar yang tidak pernah mengalami peperangan sebenar, walhal diri Iago adalah askar yang kaya pengalaman di medan tempur. Dengan menekankan kegagalan Roderigo melamar Desdemona, serta rasa tidak puas hatinya dengan kepimpinan Othello, Iago menghasut Roderigo untuk memberitahu Brabantio (bapa Desdemona) bahawa anaknya telah berkahwin lari. Iago menyusup pergi untuk memberitahu Othello bahawa Brabantio sedang mengejarnya.

Sebelum Brabantio mencapai Othello, Venezia menerima khabar bahawa Turki hendak menyerang Cyprus; maka Othello dipanggil untuk menasihati para senator. Brabantio tiba lalu menuduh Othello menggoda Desdemona dengan ilmu hitam, tetapi Othello berjaya membela diri di hadapan sebuah dewan yang dihadiri oleh Adipati Venezia, sanak-saudara Brabantio iaitu Lodovico dan Gratiano, dan beraneka ragam senator. Othello menjelaskan bahawa Desdemona tertawan oleh kisah-kisah hidupnya sebelum ke Venezia yang serba memilukan dan menyayat hati, dan bukan disebabkan ilmu hitam. Seluruh dewan berpuas hati, tetapi Brabantio beredar dengan ujaran bahawa Desdemona akan curang terhadap Othello. Atas perintah Adipati, Othello meninggalkan Venezia untuk memerintah bala tenteranya terhadap serangan Turki di pulau Cyprus dengan bertemankan isteri barunya, leftenan barunya iaitu Cassio, ensainnya Iago, dan isteri Iago iaitu Emilia sebagai pengiring Desdemona.

Rombongan tentera tiba di Cyprus lalu mendapati bahawa seluruh armada Turki binasa akibat ribut. Othello mengarahkan keraian umum lalu beredar untuk berduaan dengan Desdemona. Ketika Othello tiada, Iago merancang untuk memabukkan Cassio setelah Cassio sendiri mengaku tidak boleh menyentuh arak. Kemudian, Iago menghasut Roderigo untuk menentang Cassio. Maka tercetuslah perbalahan yang mencemaskan seluruh warga kota, maka Othello terpanggil untuk meredakan kekacauan. Othello menyalahkan Cassio atas kekacauan itu lalu menarik semula pangkatnya. Ini membuatkan Cassio tidak keruan. Dalam rancangan untuk meyakinkan Othello bahawa Cassio berhubungan sulit dengan Desdemona, Iago menghasut Cassio untuk mendesak Desdemona untuk bertindak sebagai orang tengah antara Cassio dengan Othello untuk meyakinkan Othello untuk mengembalikan pangkat Cassio.

Iago beralih kepada menghasut Othello agar berwaspada dengan Cassio dan Desdemona. Desdemona mencicirkan sehelai sapu tangan iaitu hantaran pertama Othello kepada Desdemona yang mana dinyatakan oleh Othello sebagai amat penting kepada dirinya dari segi perkahwinan mereka. Emilia mencuri sapu tangan itu atas permintaan Iago tanpa menyedari niat Iago dengan sapu tangan itu. Iago meletakkan sapu tangan tersebut di inapan Cassio sebagai bukti bahawa Cassio berhubungan sulit dengan Desdemona. Selepas itu, Iago meminta Othello untuk tampil dan menyaksikan reaksi Cassio apabila disoal oleh Iago tentang sapu tangan itu. Iago mengapi-apikan Cassio untuk menyentuh hubungan sulitnya dengan Bianca, seorang gundik setempat yang pernah ditemani oleh Cassio, tetapi melafazkan namanya dengan begitu senyap untuk membuat Othello percaya bahawa Iago dan Cassio itu are sedang bercakap tentang Desdemona padahal Cassio sebenarnya membincangkan Bianca. Setelah menjumpai sapu tangan itu, Bianca mengherdik dan menuduh Cassio memberinya suatu hadiah terpakai yang diterimanya daripada kekasih lain. Othello menyaksikan hal itu, maka Iago meyakinkannya bahawa Cassio menerima sapu tangan itu daripada Desdemona. Dengan rasa marah dan luluh hatinya Othello berikrar untuk membunuh isterinya serta meminta Iago untuk membunuh Cassio. Othello bergegas untuk menyengsarakan Desdemona, dengan menderanya di hadapan para bangsawan Venezia yang datang berkunjung.

Roderigo bersungut bahawa dirinya tidak menerima sebarang balasan dari Iago setelah malaburkan duit dan usaha untuk memenangi hati Desdemona, tetapi Iago menghasutnya untuk membunuh Cassio. Roderigo menyerang Cassio di atas jalan setelah Cassio keluar dari inapan Bianca. Dalam perkelahian, Cassio mencederakan Roderigo, kemudian Iago muncul dari belakang Cassio lalu memotong kakinya dengan parah sambil menyamarkan diri di dalam kegelapan. Setelah teriakan Cassio dijawab oleh pejalan lalu, Iago menyertai mereka dan berpura-pura menolong Cassio. Apabila Cassio mengecam Roderigo sebagai salah seorang pengasarnya, Iago dengan senyap menikam Roderigo untuk menghalangnya daripada mendedahkan komplot, lalu menuduh Bianca kerana berkomplot untuk membunuh Cassio.

Di tengah-tengah malam, Othello bersemuka dengan Desdemona, kemudian menekapnya hingga mati di atas katil. Apabila tibanya Emilia, Othello cuba membela tindakannya dengan menuduh Desdemona berzina. Emilia meminta tolong. Tibanya Gabenor bersama Iago, Cassio, dan lain-lain, maka Emilia mula menjelaskan apa yang sedang berlaku. Setelah Othello menyebut tentang sapu tangan sebagai bukti, barulah Emilia menyedari dan membongkarkan perbuatan Iago, lalu Iago membunuhnya. Othello yang terlewat menyedari ketidakbersalahan Desdemona, menikam Iago tanpa membunuhnya, sebaliknya merelakan Iago menghabiskan sisa-sisa riwayatnya dalam kesakitan. Iago enggan menjalankan niatnya untuk melakukan jenayah-jenayahnya dan berikrar untuk mendiamkan diri mulai saat itu. Bangsawan Venezia, Lodovico memberkas Iago dan Othello sekali atas pembunuhan mereka, tetapi Othello membunuh dirinya dengan pisau belati yang disorokkannya. Lodovico kemudian melantik Gratiano sebagai pengganti Othello lalu menggesa Cassio untuk menghukum Iago dengan setimpal.

Rujukan[sunting | sunting sumber]


Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikiquote-logo.svg
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai: