Pertempuran antara HMAS Sydney dan HSK Kormoran

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
HMAS Sydney, tahun 1940
HMAS Sydney, tahun 1940
Kormoran, tahun 1940
Kormoran, tahun 1940
Kapal-kapal yang bertempur pada 19 November 1941 di pesisir barat Australia

Pertempuran di antara HMAS Sydney dan HSK Kormoran ialah aksi kapal tunggal antara penjajap ringan Australia, HMAS Sydney, di bawah perintah Kepten Joseph Burnett, dengan penjajap auksiliari Jerman, Kormoran di bawah Fregattenkapitan (Komander) Theodor Detmers. Pertempuran yang mengambil masa setengah jam berlaku pada 19 November 1941, sewaktu Perang Dunia Kedua, selepas kedua-dua kapal bertemu kira-kira 106 nmi (122 mi; 196 km) berdekatan Pulau Dirk Hartog, Australia Barat. Pertempuran ini berkesudahan dengan kemusnahan dan kekaraman kedua-dua buah kapal.

Bermula 24 November, selepas kegagalan Sydney untuk pulang ke pangkalan, misi mencari udara dan laut dimulakan. Bot dan rakit yang membawa anak kapal Kormoran yang terselamat diselamatkan di laut dan yang lain berjaya sampai ke pantai di sebelah utara Carnarvon: 318 daripada 399 anggota Kormoran terselamat. Sementara serpihan Sydney dapat ditemui, tidak ada seorang pun anak kapal daripada kekuatan seramai 645 orang terselamat; kejadian ini merupakan kerugian nyawa yang terbesar dalam sejara Tentera Laut Diraja Australia, dan juga kehilangan kapal serta nyawa terbesar tentera laut Bersekutu. Pihak berkuasa Australia mendapat tahu nasib Sydney daripada anak kapal Kormoran yang ditahan sebagai tawanan perang sehingga Perang tamat. Lokasi persis kedua-dua kapal yang tenggelam tidak dapat dipastikan sehingga tahun 2008. Kehilangan Sydney bersama-sama semua anak kapal dalam perairan negara menjadi tamparan hebat terhadap semangat perang Australia.[1]

Pertempuran ini sering diselubungi kontroversi khususnya pada tahun-tahun sebelum penemuan bangkai kedua-dua kapal pada tahun 2008. Bagaimana dan mengapa sebuah kapal perang yang dibina khusus untuk peperangan laut seperti Sydney dapat dikalahkan sebuah kapal pedagang yang diubah suai seperti Kormoran menjadi bahan agakan, dengan berbilang buku ditulis tentangnya bersama-sama dua laporan rasmi hasil siasatan kerajaan (masing-masing diterbitkan pada tahun 1999 dan 2009). Mengikut laporan Jerman – yang dianggap sahih dan secara amnya tepat oleh pihak penyiasat Australia semasa perang, dan uga para pengulas terkemudian, – Sydney menghampiri Kormoran dengan dekat sehinggakan penjajap Australia itu kehilangan dua kelebihan: perisainya yang lebih tebal dan jarak tembakan meriamnya yang lebih jauh. Walaupun demikian, pelbagai penerbitan pasca-Perang mendakwa bahawa: kehilangan Sydney diselindungi; pihak Jerman tidak mengikut undang-undang perang; anggota Australia yang terselamat dibunuh berikutan pertempuran dan/ataupun; Empayar Jepun terlibat secara rahsia (sebelum ia menyertai perang secara rasmi). Tidak ada bukti yang dapat menyokong dakwaan-dakwaan tersebut dijumpai.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Jeans, Seafaring Lore and Legend, pp. 189–91