Pusat Amaran Taufan Bersama

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
JTWC.png

Pusat Amaran Taufan Bersama (Joint Typhoon Warning Center, JTWC) ialah gabungan pasukan petugas Tentera Laut Amerika Syarikat dan Tentera Udara Amerika Syarikat yang berpusat di Pusat Ramalan Tentera Maritim di Pearl Harbor, Hawaii. JTWC bertanggungjawab mengeluarkan amaran siklon tropika di kawasan barat laut dan selatan Lautan Pasifik serta Lautan Hindi untuk kegunaan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan kegunaan orang awam di Amerika Syarikat dan Mikronesia dalam kawasan kawalan yang dipertanggungjawabkan. JTWC menyediakan sokongan dalam semua cabang Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan agensi-agensi kerajaan AS yang lain. Produk terbitan dikhususkan untuk perlindungan kapal-kapal dan pesawat-pesawat tentera terutamanya serta bangunan-bangunan tentera yang dikendalikan bersama negara-negara lain di seluruh dunia.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Imej radar Taufan Cobra

Pembentukan suatu pusat amaran taufan di Lautan Pasifik ini bermula ekoran daripada Taufan Cobra pada 18 Disember 1944. Taufan ini mengakibatkan 790 kematian dan merupakan bencana taufan yang terburuk bagi tentera Amerika Syarikat sejak 1889 walaupun sistem taufan ini kecil. Oleh sebab yang demikian, stesen cuaca mula dibina di Kepulauan Caroline dan seterusnya di Manila, Iwo Jima dan Okinawa. Pejabat pusat cuaca baharu untuk pengagihan maklumat dibina di Guam dan Leyte.[2] Pada tahun 1959, JTWC ditubuhkan di Nimitz Hill, Guam dengan gabungan bekas pangkalan tentera laut di Guam, Hawaii dan Filipina, dan pangkalan tentera udara di Jepun.[3]

Pada bulan November 1962, Taufan Karen membinasakan bangunan Pusat Cuaca Armada/JTWC. Maka pejabat dipindahkan ke bangunan yang kalis taufan pada tahun 1965.[4] Pada 1 Januari 2000, pusat ini dipindahkan ke Pearl Harbor atas sebab pengaturan semula dan penutupan pangkalan (Base Realignment and Closure, BRAC).

Piawaian[sunting | sunting sumber]

JTWC mematuhi panduan yang digariskan oleh Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia (WMO) dari segi nama sistem ribut dan penetapan kekuatan angin siklon tropika kecuali penggunaan piawai ukuran kekuatan purata angin berterusan dalam tempoh seminit. Manakala piawai yang digalakkan WMO ialah kekuatan purata angin berterusan dalam tempoh sepuluh minit (rujuk Skala Hurikan Saffir-Simpson). JTWC bukanlah salah satu daripada Pusat Meteorologi Khusus Serantau atau Pusat Amaran Siklon Tropika yang dipilih oleh WMO atas sebab tujuan utamanya sebagai sokongan Tentera Laut Amerika Syarikat dan selebihnya dalam kerajaan AS. JTWC memantau, menganalisis dan mengeluarkan ramalan berkaitan pembentukan, perkembangan dan pergerakan siklon tropika sepanjang tahun.[5] Kawasan pemantauannya meliputi 90% kawasan aktiviti siklon tropika.

Tenaga kerja[sunting | sunting sumber]

Tenaga kerja pusat ini digerakkan oleh 20 orang kakitangan tentera udara dan laut AS dengan penggunaan beberapa sistem satelit dan pengesan, radar, data sinoptik aras permukaan dan aras tinggi, serta model atmosfera dalam menjalankan tugasnya.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]