Pusat Budaya Kraf Terengganu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pusat Budaya Kraf Terengganu merupakan pusat penghasilan pelbagai jenis barangan kraf bermutu yang terletak di atas tapak seluas lapan hektar di Kawasan Perindustrian Chendering, hanya kira-kira lapan kilometer ke selatan Kuala Terengganu. Ia bertujuan untuk memperkenalkan hasil seni kraf tangan Terengganu dalam satu kawasan khusus serta menawarkan banyak pilihan kepada pelancong selain apa yang biasa dilihat oleh mereka di Pasar Besar Kedai Payang - satu daripada destinasi membeli-belah popular di Terengganu.

Pusat Budaya Kraf Terengganu menggabungkan usaha tiga pihak iaitu Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM), Permint Suterasemai serta Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).[1]

Pusat Budaya Kraf Terengganu menyediakan ruang pameran bersepadu untuk kemudahan pelancong, dan ia turut menjadi living museum dengan pertunjukkan aneka hasil kraf warisan seni. Di sini pengunjung boleh menyaksikan sendiri kemahiran serta kesabaran pelukis batik menghasilkan pelbagai corak floral. Bukan setakat itu sahaja, malah bengkel yang terdapat di pusat ini turut membolehkan pengunjung menyaksikan kerja-kerja menenun songket yang banyak dihasilkan dari benang emas dan perak.

Pengunjung juga dapat melihat kemahiran kakitangan pusat ini menyiapkan pelbagai hasil kraf daripada anyaman mengkuang atau pandan. Selain itu, pengunjung dapat membuat tempahan boleh dibuat mengikut selera pembeli sesuai dengan peranannya sebagai pusat operasi yang mengeluarkan barangan kraf berkualiti bagi memenuhi keperluan hiasan dalaman, cenderamata, produk korporat serta produk kegunaan harian. Pusat Budaya Kraf Terengganu turut menawarkan barangan tembaga, logam bersadur warna emas dan batik. Barangan hiasan tembaga yang sering dihasilkan adalah seperti seterika, keris, tepak sirih, bekas lilin dan pasu. Untuk penampilan yang lebih menawan dan eksklusif, sesetengah produk tembaga ini pula disadurkan dengan warna emas.

Bersebelahan dengan Pusat Budaya Kraf Terengganu terletak pula ruang pameran Permint Suterasemai Sdn. Bhd. yang terkenal dengan jualan kain sutera berjenama Suteramas. Premis yang terletak bersebelahan dengan PBKT ini diakui sebagai pusat menenun sutera terulung di negara ini dengan penghasilan kain dari sutera yang diambil 100 peratus dari ladang malberi di Kuala Berang.

Di Permint Suterasemai, turut disajikan ialah pameran peringkat-peringkat pembuatan sutera termasuk penghasilan benang sutera daripada kokun untuk pengetahuan para pelancong. Jika anda mahu menghabiskan lebih banyak masa di sini, apa kata anda saksikan proses melukis corak batik ke atas fabrik yang menghasilkan baju, skaf, sapu tangan, tali leher dan banyak lagi. Ia juga terletak tidak jauh dari Kompleks Kraf Noor Arfa.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Pusat Budaya Kraf Terengganu". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-31. Dicapai pada 2018-01-31.