Radioterapi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Persediaan untuk radioterapi pelvis

Radioterapi atau terapi sinaran ialah satu kaedah perubatan untuk merawat penyakit Barah. Ia menggunakan sinaran pengion seperti sinar-X, sinar gama atau elektron, untuk mengubati atau mengawal sel-sel barah. Perkataan tersebut terdiri daripada gabungan “radio” bermaksud sinaran dan “terapi” bermaksud rawatan.

Radioterapi boleh digunakan kerana sinaran atau radiasi menghentikan barah daripada membesar dan sel barah daripada membahagi. Ia diarahkan kepada sel barah dengan dua cara- radiasi dalaman dan radiasi luaran.

Radiasi luaran bermakna radioterapi diberi secara luar badan daripada sebuah mesin yang mengarahkan sinaran kepada ketumbuhan barah. Ia adalah seperti mengambil sinar-X tetapi dosnya jauh lebih tinggi daripada sinar-x untuk diagnosis. Terdapat beberapa jenis mesin radioterapi yang berbeza. Ini termasuk pemecut linear dan mesin kobalt.

Radiasi dalaman bermakna radioterapi diberi dengan meletak sebuah bekas radioaktif, dawai radioaktif yang halus atau jarum yang diletak dalam badan dekat dengan atau di tempat barah wujud. Ini dipanggil sebagai implan radioaktif. Implan tersebut mengandungi bahan radioaktif seperti yttrium, iridium atau caesium. Implan tersebut mengarahkan sinaran radiasi kepada barah tersebut.

Radiasi luaran daripada mesin biasa digunakan untuk rawatan radioterapi. Pakar terapi radiasi ataupun pakar onkologi akan menggunakan radiasi dalaman jika sel barah berada dekat dengan permukaan badan atau tempat yang senang untuk dimasuki. Mereka boleh menggunakan implan untuk barah pay udara, barah serviks, dan barah lidah. Jika radiasi dalaman digunakan, biasanya radiasi luaran pun akan digunakan juga. Walau bagaimanapun, pada hari ini, semakin banyak rawatan radiasi yang bersasaran diberi dengan wujudnya radiologi intervensi yang telah menjadi satu sumbangan besar kepada rawatan radiasi.