Sasaeng

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Seorang peminat sasaeng (Korea: 사생팬; Hanja: 私生팬, sasaeng-paen) dalam budaya Korea Selatan khususnya K-pop merujuk kepada peminat yang bertindak mendekati artis idola atau tokoh masyhur lain secara melampau, yakni dengan mencerobohi ruang peribadi artis tersebut.

Istilah sasaeng berasal daripada perkataan-perkataan sa (사, 私, "peribadi") dan saeng (생, 生, "hidup") yang merujuk kepada tingkah laku mereka yang mencerobohi kehidupan peribadi para idola, termasuk kegiatan-kegiatan jenayah.[1] Contoh-contoh perbuatan yang dilakukan mereka termasuk mengintai idola di rumah, mencuri barangan peribadi dan mengirim barangan yang tidak senonoh kepada para selebriti.[2] Lazimnya, seorang idola Korea memiliki kira-kira 500 ke 1,000 orang peminat sasaeng, dan diikuti oleh kira-kira 100 orang peminat sasaeng setiap hari.[3]

Motif[sunting | sunting sumber]

Peminat-peminat jenis ini mendapat dorongan diri daripada keinginan untuk menjadi rapat dengan idola kesukaan dan mendapat taraf yang lebih tinggi berbanding peminat-peminat biasa.[2] Dorongan ini mempengaruhi tindakan yang dilakukan sesetengah peminat sasaeng seperti serangan fizikal dengan anggapan bahawa idola akan mengingatinya atas perbuatan yang dilakukannya.[4]

Kadangkalanya, peminat sasaeng akan berkelahi dengan "antipeminat" dengan matlamat utama ialah menjatuhkan seseorang idola atau kumpulan muzik secara menyeluruh.

Taktik[sunting | sunting sumber]

Peminat sasaeng memiliki pelbagai taktik untuk mendapat maklumat peribadi idola dan mempunyai sebuah jaringan untuk berkongsi maklumat dan membentuk kumpulan-kumpulan untuk mencapai suatu hasrat. Peminat-peminat sasaeng yang boleh bekerja mencari pekerjaan dalam industri-industri yang merapatkan mereka dengan idola yang dipuja seperti syarikat penerbangan, telekomunikasi dan kad kredit.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Lansky, Sam (2012-09-10). "Hallyu Tsunami: The Unstoppable (and Terrifying) Rise of K-Pop Fandom". Grantland. Dicapai pada 2017-05-24.
  2. ^ a b Williams, J. Patrick; Ho, Samantha Xiang Xin (2015-10-16). ""Sasaengpaen" or K-pop Fan? Singapore Youths, Authentic Identities, and Asian Media Fandom". Deviant Behavior (dalam bahasa Inggeris). 37 (1). doi:10.1080/01639625.2014.983011. ISSN 0163-9625.
  3. ^ Soh, Elizabeth (2012-08-02). "Sasaeng Stalkers (Part 1): K-pop fans turn to blood, poison for attention". Yahoo! Singapore. Dicapai pada 2017-05-24.
  4. ^ a b Padget, Cai. "What are the difficulties of being a Korean pop idol and to what extent do they outweigh the benefits" (dalam bahasa Inggeris). Cite journal requires |journal= (bantuan)