Sekolah Kebangsaan Batu Kitang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Kebangsaan Batu Kitang
Lokasi
 Malaysia D/A Ppdk Padawan, Lorong 17, Off Jalan Kapor, 93150, Kuching,, Sarawak Bumi Kenyalang
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah kebangsaan, Sekolah kerajaan
Nombor sekolah6082373407
Kod sekolahYBA1304
Faks6082373407


Sekolah Kebangsaan Batu Kitang atau nama ringkasnya SK Batu Kitang, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di D/A Ppdk Padawan, Lorong 17, Off Jalan Kapor.

Pada 2009, Sekolah Kebangsaan Batu Kitang memiliki 153 pelajar lelaki dan 126 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 279 orang. Ia mempunyai seramai 19 orang guru.2009

Sejarah[sunting | sunting sumber]

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN BATU KITANG,

YBA 1304 PADAWAN, KUCHING

Pada awalnya, Sekolah Kebangsaan Batu  Kitang dikenali sebagai Sekolah Tenaga Bersama yang ditubuhkan pada tahun 1956. Sekolah tersebut wujud atas permuafakatan penduduk Kampung Batu Kitang dan kampung-kampung di sekitarnya.

Pada awal penubuhannya, bangunan sekolah tersebut merupakan bangunan yang berdindingkan atap rumbia dan batang somah (ploiarium alternifolium) serta buluh. Tenaga pengajarnya pula hanyalah penduduk yang pernah bersekolah di Kuching. Fokus utama sekolah tersebut hanya untuk memberi kemahiran membaca kepada pelajar-pelajarnya selain penekenan kebudayaan dan amalan harian.

Enam bulan selepas penubuhannya, sekolah tersebut berpindah di bahagian bawah rumah En. Tambi Bin Deraman. Sekarang, tapak sekolah lama tersebut telah didirikan dewan bagi kegunaan masyarakat Kampung Batu Kitang.

Sekitar tahun yang sama, beberapa wakil daripada kampung Batu Kitang, Kampung Lidah Tanah dan kampung-kampung sekitarnya telah memohon menubuhkan sekolah rasmi. Pada masa itu, Tuan Yang Terutama Allahyarham Tun Datuk Patinggi (Dr.) Haji Zaidie Adruce Bin Muhammed Noor, (29 Mac 1926 – 25 Disember 2000) bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-5 menjadi ‘Supervisor’ di Pejabat Pelajaran Sarawak. Melalui perundingan bersama Allahyarham, sebidang tanah kepunyaan En. Tambi Bin Deraman telah dibeli untuk membina bangunan sekolah bagi penduduk kampung Batu Kitang dan kawasan sekitarnya.

Dua buah bangunan separuh konkrit telah dibina di atas tapak yang baru. Pada awal tahun 1958, Batu Kitang Primary School secara rasminya ditubuhkan. Guru besar pertamanya adalah anak watan Kampung Lidah Tanah iaitu En. Abdul Kadir Bin Bujang (1958-1959) di bawah pentadbiran Kuching Municipal Council. Bangunan sekolah satu tingkat itu hanya menempatkan kelas Tahun 1 hingga Tahun 6, sebuah pejabat guru dan pejabat guru besar.

Kampung Batu Kitang merupakan nadi ke daerah Bau dan Lundu. Ia merupakan jalan masuk ke daerah tersebut melalui perkhidmatan feri. Dalam tahun 50’an hingga 70’an, Pekan Batu Kitang merupakan pekan yang sibuk dan penting sebagai laluan ke dua buah daerah tersebut. Justeru, tidak hairanlah pekan tersebut berkembang dengan pesat dan menarik penduduk di sekitarnya. Pada masa yang sama, kepadatan penduduk bertambah dengan pembukaan tanah lot untuk pembinaan rumah.

Lewat tahun 70’an, perkhidmatan feri ditamatkan apabila jalan menghubungi Bandar Kuching ke  Pekan Bau siap dibina. Jalan Batu Kitang – Bau atau sinonim dengan Jalan Batu Kitang Lama telah menyebabkan perubahan drastik pada pekan ini. Walaupun ia tidak lagi penting, namun tarikannya masih ada dan masih dikunjungi kerana aura nostalgianya yang menebal di kalangan mereka yang pernah menggunakan perkhidmatan feri di sini suatu masa dahulu.

Apabila kerajaan mengambil sekolah-sekolah bantuan dalam tahun 1973 serta perlaksanaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kerajaan, nama sekolah ini bertukar menjadi Sekolah Rendah Kerajaan Batu Kitang. Zaman-zaman ini menyaksikan juga perubahan pada trend pendidikan penduduk di sekitar ini kerana pilihan sekolah yang banyak. Penduduk sekitarnya boleh memilih untuk menghantar ke sekolah bantuan mubaligh, sekolah aliran cina atau ke sekolah bantuan kerajaan. Trend ini sedikit sebanyak menjejas pengambilan murid ke SRK Batu Kitang.

Namun pada tahun 2002, sekolah tersebut telah diperuntukkan bangunan baharu. Dengan demikian, bilangan ambilan pelajarnya juga meningkat. Ia kemudian dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Batu Kitang dan dirasmikan pada tahun 2003.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Kebangsaan Batu Kitang
D/A Ppdk Padawan, Lorong 17, Off Jalan Kapor
93150, Kuching
Sarawak, Malaysia
Telefon = 6082373407
Fax = 6082373407

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • SK Batu Kitang Facebook