Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Union

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Union
Lokasi
132 Jln York, 10450, Georgetown,, Mutiara Timur
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah jenis kebangsaan Cina, Sekolah kerajaan
Ditubuhkan1928
Nombor sekolah6042277411
Kod sekolahPEB1113
PengetuaCheah Lay Ai
Faks6042298048
Laman sesawang


Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Union atau nama ringkasnya SMJK Union, ialah sebuah sekolah perempuan jenis kebangsaan Cina yang terletak di Jalan York, Georgetown, Pulau Pinang.

Pada 2009, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Union memiliki 0 pelajar lelaki dan 1508 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1508 orang. Ia mempunyai seramai 92 orang guru 2009 kerana Jalan York ini terletak dekat sekolah Chung Ling di Air Itam.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini didirikan pada tahun 1928. Kelas-kelas tadika diadakan di sebuah gereja Methodist di Madras Lane, dengan perbelanjaan sekolah dibiayai oleh badan-badan Kristian. Guru besar pada masa itu ialah Madam Lim Su Lian. Pada tahun yang sama, Lembaga Pentadbir Sekolah telah ditubuhkan dan Encik Goh Guan Ho menjadi Pengerusi Lembaga Pentadbir Sekolah Union yang pertama. Pada tahun 1929, sekolah ini mempunyai 3 buah kelas tadika dan dua buah kelas darjah satu. Kelas peringkat sekolah rendah diadakan di sebuah bilik sewaan yang berdekatan dengan bilik tadika.

Pada bulan Jun 1931, Puan Tan Choon Lan mengambil alih tugas sebagai guru besar diikuti dengan Madam Seah Kok En pada tahun 1932. Apabila Madam Seah meletak jawatan pada tahun berikutnya, urusan pentadbiran sekolah diuruskan oleh pengerusi Jemaah Pengurus Encik Chew Cheng How. Bilangan pelajar yang bertambah dengan pesat pada tahun 1935 menyebabkan pihak sekolah membuat keputusan menyewa sebuah banglo di Lorong Hutton untuk dijadikan bangunan sekolah. Selepas berpindah, Taman Tadika Union ditukarkan kepada Sekolah Union. Pada masa itu, urusan sekolah dijalankan oleh Pengerusi Jemaah Pengurus Sekolah, En Huang Mao Ting. Pada tahun 1936, Encik Wang Lek Oo dilantik sebagai guru besar. Beliau telah berusaha membuka kelas latihan guru-guru tadika.

Pada masa yang sama, Jemaah Pengurus Sekolah membuat perancangan untuk membina bangunan sekolah yang baru. Encik Chew Cheng How dan Encik Ong Keng Seng telah menderma sebanyak RM10,000.00. Pada tahun 1937, Encik Aw Boon Hor telah menderma sebanyak RM15,000.00 kepada Jemaah Pengurus Sekolah untuk membeli sebidang tanah di Jalan Burma. Kerja-kerja penbinaan sekolah bermula pada 27.11.1937 dan siap pada 30.4.1938. Bangunan ini dibuka secara rasmi oleh Encik Chew San Yu JP. Guru besar pada tahun 1939 ialah Madam Looi Chooi Cheng. Beliau megubahsuai kelas latihan guru kepada kelas peringkat menengah rendah. Sebanyak 17 orang pelajar tamat pelajaran mereka pada peringkat ini pada hujung tahun tersebut.

Perang Pasifik berlaku pada akhir tahun 1941 dan pelajaran terpaksa diberhentikan. Pasukan tentera Jepun telah menggunakan bangunan sekolah ini. Selepas peperangan itu berakhir pada tahun 1945, pemangku guru besar Encik Ang Tee Hooi berusaha untuk membuka sekolah ini semula. Kelas-kelas yang diadakan ialah kelas tadika dan kelas sekolah rendah bawah. Pada tahun 1947, kelas sekolah rendah atas diadakan semula. Pada bulan Ogos 1948, Madam Ch'ng Kheng Choo dilantik sebagai guru besar sekolah rendah. Madam Ch'ng berusaha untuk membuka kelas-kelas peringkat sekolah menengah semula. Kelas ini menjadi kenyataan pada tahun 1951.Namun oleh kerana kekurangan bilik darjah, dua buah bilik darjah yang baru telah dibina di tingkat atas bangunan kantin pada tahun 1955.

Pada tahun yang berikutnya, sekolah rendah menerima bantuan penuh daripada kerajaan. Nama sekolah rendah ditukar menjadi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Union. Dengan itu, pengurusan sekolah telah dipisahkan kepada bahagian sekolah menengah, sekolah rendah dan tadika. Madam Ch'ng Aun Pang dilantik sebagai guru besar baru sekolah rendah sementara Madam Ch'ng Kheng Choo kekal sebagai pengetua sekolah menengah dan guru besar tadika.

Pada tahun 1959, Jawatankuasa Pembinaan Bangunan Sekolah Menengah ditubuhkan. Sebidang tanah di Jalan York telah dibeli dan kerja-kerja pembinaan bangunan ini dimulakan pada tahun 1961. Setahun kemudian, sekolah menengah menerima bantuan penuh daripada kerajaan dan nama sekolah ditukarkan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Union. Lembaga Pentadbir melantik Madam Teh Looi Ai untuk mengetuai taman tadika dan Madam Ch'ng Kheng Choo kekal sebagai pengetua sekolah menengah. Pada tahun 1963, para guru dan pelajar berpindah ke bangunan baru yang terletak di Jalan York. Kelas-kelas menengah atas dimulakan pada tahun yang sama. Pada tahun 1964, Madam Neoh Poh Chuan dilantik sebagai guru besar tadika. Pada tahun 1965, 32 orang pelajar lepasan peringkat menengah atas yang pertama telah menamatkan pengajian. Pada tahun 1968, Persatuan Alumni Union ditubuhkan.

Pada tahun 1971, Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Rendah ditubuhkan. Jawatankuasa itu bercadang hendak membina 17 buah bilik darjah tambahan. Cadangan ini menjadi kenyataan pada tahun 1973. Pada tahun 1972, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah ditubuhkan. Madam Ch'ng Kheng Choo bersara pada tahun 1972 dan Madam Huang Hie Ding menggantikan tempat beliau sebagai pengetua sekolah menengah. Pada tahun 1973, PIBG sekolah menengah pula ditubuhkan. Pada tahun 1976 pula, usaha-usaha untuk memperbesar bangunan sekolah menengah (blok A) dijalankan. Seorang penderma tanpa nama telah menderma sebidang tanah yang seluas 10,000 kaki persegi. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 1 Mei 1976. Pada tahun 1977, Penolong Pengerusi Lembaga Pentadbir Dato' Ong Hoo Kim merasmikan bangunan blok A. Dewan sekolah yang terdapat di Blok A juga mula digunakan dengan perasmian pembukaan tersebut. Pada tahun 1979, Madam Ch'ng Kheng Choo bersara dan Encik Teh Choo Hin menyandang jawatan guru besar sekolah rendah.

Pada tahun 1980, sekolah menengah diisytiharkan sebagai jenis Gred A. Pada bulan Disember 1980, Puan Ong Geok Lam pula menggantikan Madam Huang sebagai pengetua sekolah menengah. Pada tahun 1980, Encik Chong Tek Choong dilantik sebagai guru besar sekolah rendah. Pada tahun 1981, Dato' Ong Hoo Kim dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pentadbir. Pada tahun 1984, Encik Teh Choo Hin dilantik sebagai guru besar sekolah rendah. Pertambahan bilangan pelajar mendorong Lembaga Pentadbir membuat perancangan membina bangunan baru. Pihak sekolah berjaya memungut RM370,000 daripada Walkaton Union 1985 anjuran bersama Lembaga Pentadbir, Jawatankuasa Pembinaan Bangunan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Persatuan Alumni Union. Pada tahun 1986, Malam Union turut diadakan bagi mengutip derma untuk tabung bangunan sekolah dan kerja-kerja pembinaan blok baru empat tingkat sekolah rendah dimulakan. Pada bulan Mac 1986, kerja-kerja pembinaan bangunan baru iaitu Blok F dimulakan untuk menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Pada tahun 1990, bangunan baru sekolah menengah iaitu Blok F yang bertingkat empat turut siap dibina dan digunakan. Pada tahun 1990, Pengerusi Lembaga Pentadbir Sekolah Dato' Ong Hoo Kim merasmikan pembukaan bangunan Blok F. Di bangunan baru ini terdapat gelanggang badminton, bilik darjah, bilik kemahiran hidup serta kantin. Puan Ong Geok Lam bersara pada September 1990 dan tempat beliau diganti oleh Puan Ch'ng Siew Gaik pada September 1990. Kerja-kerja pembinaan bangunan baru sekolah iaitu Blok Sains dan Teknologi bermula pada akhir bulan September 1998, manakala pungutan derma telah dimulakan pada tahun 1997. Pada tahun 1998, Encik Tan Ah Chye dilantik sebagai guru besar sekolah rendah Union menggantikan Encik Teh Choo Hin yang bersara. Pada bulan Jun 1999, Puan Ch'ng Siew Gaik bersara, dan Puan Wong How Chan pula dilantik sebagai pengetua. Pada Ogos 1999, Kwong Wah Jit Poh berjaya mengutip sejumlah RM 250,000 untuk Tabung Bangunan Sekolah melalui Pertandingan Nyanyian Lagu-lagu Lama Peringkat Akhir Kebangsaan. Blok baru, blok Sains dan Teknologi (Blok E) mula digunakan pada Januari 2000. Blok ini merangkumi dua buah makmal komputer, dua buah makmal Sains, tiga buah bengkel Kemahiran Hidup dan empat buah bilik darjah. Sebanyak 60 buah komputer dipasangkan di bilik komputer dengan kemudahan Internet. Bilik guru turut diperluas pada 2000 dengan memecahkan tembok di antara bilik guru dan bilik AVA untuk menambah keselesaan guru. Dua buah komputer juga dipasangkan untuk memudahkan guru-guru menyediakan bahan-bahan pengajaran. Kemudahan-kemudahan di perpustakaan sekolah juga ditingkatkan dengan sebuah bilik bacaan berhawa dingin dan pemasangan enam buah komputer untuk kegunaan pelajar dan guru. Kemudahan melayari Internet juga disediakan. Dewan kuliah yang berhawa dingin yang juga berfungsi sebagai bilik tayangan di Blok F menggantikan bilik tayangan yang lama. Bilik Bimbingan dan Kaunseling berhawa dingin yang dimuatkan dengan pelbagai maklumat menjadi tempat rujukan dan bimbingan kepada pelajar yang menghadapi masalah kerjaya dan peribadi. Bilik Pergigian pula ialah tempat menjaga kesihatan pergigian pelajar. 15 buah kipas besar dipasang di dewan sekolah untuk menambahkan keselesaan pelajar yang menjalankan aktiviti-aktiviti di dewan. Pejabat sekolah juga dipasangkan dengan hawa dingin bagi meminimumkan bunyi bising dan habuk memandangkan pejabat sekolah terletak berhampiran dengan jalan utama. Sebuah pondok pengawal keselamatan juga dibina di tepi pintu masuk sekolah. Laluan berbumbung dipasang dari pintu kecil di tepi sekolah hingga ke kantin sekolah sebagai teduhan kepada pelajar daripada panas dan hujan.

Pada tahun 2001, Dato' Choot Ching Koon dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pentadbir. Pada tahun yang sama, kutipan derma dijalankan dengan mengadakan Malam Kebudayaan Union di Dewan Perhimpunan Cina, Pulau Pinang pada 26 Ogos 2001. Malam Kebudayaan tersebut ialah anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Persatuan Alumni Union. Kutipan sebanyak RM 120,000 pada malam tersebut digunakan untuk membiayai pembinaan pintu gerbang dan tembok sekolah serta meningkatkan kemudahan sekolah. Lantai kantin sekolah yang berjubin menjadikan kantin kelihatan ceria dan indah. Kawasan letak kereta sekolah juga ditar bagi memudahkan guru-guru serta ibu bapa. Pada Ogos 2001, pagar dawai sekolah diruntuhkan sebagai tapak persediaan untuk pembinaan tembok baru. Tembok ini telah siap pada awal bulan Januari 2002. Pada 17 Mei 2002, upacara pembukaan blok E, Iaitu Blok Sains dan Teknologi dan tembok sekolah baru telah dirasmikan bersama oleh Datin Lim Siew Khim, Penasihat Kehormat Lembaga Pentadbir Sekolah dan Dato' Choot Ching Khoon, Pengerusi Lembaga Pentadbir sekolah. Upacara tersebut dimeriahkan lagi dengan majlis makan malam dan konsert bersama kakitangan tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah Union. Sebanyak RM 100,000 berjaya dikutip pada malam tersebut sebagai derma pemasangan hawa dingin di dewan sekolah. Pada bulan September 2002, dewan sekolah telah diperbaharui dengan pemasangan 14 buah hawa dingin, kipas, lantai berjubin, langsir baru dan sistem audio yang baru. Pada 24 Oktober 2002, Arkib Sekolah telah dirasmikan oleh Dato' Choot Ching Khoon, Pengerusi Lembaga Pentadbir Sekolah. Arkib Sekolah merupakan bilik khas untuk menyimpan dokumen-dokumen, foto-foto bersejarah dan pingat-pingat serta tropi-tropi yang dimenangi oleh pelajar-pelajar dalam pertandingan-pertandingan di luar sekolah. Pada tahun 2003, bangunan-bangunan di kawasan sekolah menengah dicat semula sebagai persediaan untuk menyambut ulang tahun sekolah yang ke-75. Pada 25 Julai 2003, sekolah meraikan perayaan ulang tahun yang ke-75 dan majlis persaraan pengetua sekolah menengah, Puan Wong How Chan. Pada malam tersebut, jamuan makan malam bersama tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah diadakan bagi menyambut Hari Guru. Kutipan derma sebanyak RM 230,000 juga dipungut untuk pemasangan hawa dingin di dewan sekolah rendah.

Menjelang bulan Julai 2003, terdapat sebanyak 49 buah kelas di sekolah menengah. Jumlah pelajar yang berdaftar adalah seramai 1651 orang. Jumlah guru pula ialah seramai 88 orang. Kini, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Union telah mencipta nama sebagai sebuah pusat pendidikan yang mempunyai kelengkapan yang sempurna serta berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang yang diceburi. Pencapaian pelajar dalam bidang akademik dan bidang ko-kurikulum meningkat dari setahun ke setahun. Pihak sekolah menitikberatkan perkembangan intelek, emosi, mental serta fizikal yang seimbang dalam kalangan pelajar. Pencapaian pelajar dalam bidang akademik dan bidang kokurikulum diberi tumpuan yang sama. Dalam bidang sukan, sekolah juga berjaya melahirkan atlet-atlet yang berpotensi dan berbakat yang telah mengharumkan nama sekolah.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Union
132 Jln York
10450, Georgetown
Pulau Pinang, Malaysia
Telefon = 6042277411
Faks = 6042298048

Pautan luar[sunting | sunting sumber]