Senarai episod Bio-Nik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Berikut ialah senarai sinopsis episod siri televisyen Malaysia, Bio-Nik.

Musim 1[sunting | sunting sumber]

Nombor episod Tarikh penyiaran
"1"18 Mei 2009
Dalam perjalanan ke tempat percutian sempena meraikan berakhirnya zaman persekolahan, Nik cedera parah dalam kemalangan yang meragut nyawa kawannya Yazid. Setelah mendengar cadangan seorang kawan yang bertugas sebagai doktor, bapa Nik iaitu Prof. Hafiz dengan perasaan cemas bercampur dengan teliti, bertungkus lumus membangkitkan semula Nik dengan melengkapkan jasadnya dengan pelbagai ciri-ciri robotik.
"2"25 Mei 2009
Setelah nyaris menemui kegagalan, akhirnya Nik berjaya dibangunkan dalam projek yang diusahakan oleh Prof. Hafiz dan Dr. Syamil. Begitu sukar untuknya menerima hakikat bahawa dirinya bukan manusia normal lagi, apa lagi dijadikan bahan ujian projek A.D.A.M yang dijalankan bapa sendiri. Prof. Hafiz menerangkan kelebihan badan baru Nik, di samping memesan Nik agar menggunakan kuasa-kuasa barunya untuk tujuan murni sahaja. Satu kejadian merompak menjadi peluang untuk Nik mencuba keupayaan barunya, dalam pandangan seorang wartawan. Apapun, Nik tetap berasa marah kerana merasa dirinya patut mati kerana sukar melupakan kemalangan itu.
"3"1 Jun 2009
Pada hari pertama di kolej, Nik menghadapi kesukaran mengawal kebolehan pendengaran jauh. Selepas berdaftar, dia bertemu dengan Aina dan Johan. Deringan telefon bimbit Johan mengganggu kepala Nik sehingga tidak sempat mereka bertiga saling berkenalan. Pada hari keesokannya barulah Nik dan Aina berkenalan dengan betul-betul, menyebabkan Johan menjadi cemburu. Nik turut berkenalan dengan Kamal dan Adi tetapi disampuk oleh pergaduhan dengan Johan. Setelah Nik meleraikan pergaduhan, Johan semakin ingin tahu akan Nik dan kebolehannya.
"4"8 Jun 2009
Para pelajar di kelas Nik dikehendaki membuat projek untuk ekspo sains akan datang. Sementara Nik, Kamal dan Adi memeras otak, Johan cuba berbaik-baik dengan Aina. Kumpulan Nik mengemukakan usul mereka kepada Prof. Mazni yang masak dengan nama mereka. Tidak jauh dari situ di pejabat Harian Galaksi, Burn mengemukakan liputan kejadian Nik menewaskan perompak tempoh hari kepada majikannya sebelum disuruh menerjah kolej Nik untuk menjejaki Nik. Di ekspo, kumpulan Nik memperkenalkan "sarung tangan multifunction". Nik mencuri dengar perbualan antara Johan dan Jimmy bahawa "mesin IQ" ciptaan mereka sebenarnya 'memperbodohkan' penggunanya, Nik lantas cuba menyelamatkan Aina dari mesin lalu sendiri direnjat oleh mesin itu bersama Aina.
"5"15 Jun 2009
Burn kembali ke pejabat untuk menghayati kejadian di ekspo sains, terutamanya kepantasan luar biasa Nik menyelamatkan Aina. Nik terpaksa berkongsi rahsianya dengan Kamal dan Adi setelah kejadian di ekspo, tetapi mereka bertiga tetap berkawan. Johan cuba meyakinkan Aina bahawa dialah yang menyelamatkannya, walaupun Aina yakin sebenarnya Nik yang berbuat demikian. Aina tertanya-tanya mengapa Nik sering menjauhinya, entah-entah disebabkan Johan, dibalas pula dengan kenyataan Nik bahawa Johan yang menyelamatkan Aina. Jimmy mencipta sejenis serum baru dan menyuntiknya ke dalam badannya lalu mencuba kuasa barunya iaitu mengeluarkan api dari tangannya, untuk mengenakan Johan di bilik air.
"6"22 Jun 2009
Johan makin berdengki terhadap Nik sejak terlecur dalam bilik air, padahal bukan Nik tetapi Jimmy yang melecurkan badannya. Burn meneruskan pengintipan terhadap Nik. Dr. Syamil menggemparkan Prof. Hafiz dengan cadangan menjual program A.D.A.M. kepada tentera Israel untuk mengejar duit, maka persahabatan mereka lebur begitu sahaja. Tidak puas berdendam kepada Johan dan mengingkari teguran Prof. Mazni, Jimmy menyuntikkan lagi serum api secara berlebihan ke dalam badannya. Setelah berdepan dengan Jimmy, Nik cuba menyelamatkan Aina dan Johan dari ancaman bola api Jimmy tetapi hubungan Nik dengan mereka berdua semakin teruk kerana Aina kecewa Nik merahsiakan kebolehannya.
"7"29 Jun 2009
Burn mendapat pujian kerana meliputi keistimewaan Nik lalu dinaikkan pangkat, selepas itu mendekati Nik dengan janji identiti Nik sentiasa dirahsiakan. Prof. Hafiz memperkenalkan jaket istimewa untuk dipakai oleh Nik sebagai perlindungan dari sinaran elektromagnet dari telefon bimbit yang boleh mengganggu fungsi badan robotik Nik buat sementara waktu. Jiwa Nik masih terganggu kerana keaiban melepaskan Aina kepada Johan begitu sahaja. Kamal menjadi cemas kerana mesin pengimbas minda yang baru diciptanya sudah kecurian dalam peristiwa pecah masuk makmal ICT semalaman. Oleh itu, Nik dan geng bersepakat untuk mendapatkan kembali mesin itu melalui perancangan rapi. Apabila tiba di kampus untuk bertindak, Nik menyedari rupa-rupanya cubaan merompak kali ini digagalkan oleh seorang wanita misteri.
"8"6 Julai 2009
Nasib Johan bertukar malang apabila bergaduh dengan seniornya Fauzir lalu dihadapkan ke Prof. Mazni untuk diambil tindakan, selepas itu ditinggalkan oleh Aina setelah didapati bergaul dengan ahli sorak, sekaligus membuka peluang untuk dimanfaatkan oleh Nik untuk berbaik-baik semula dengan Aina. Aina memujuk Nik untuk melawan fobia memandunya berikutan kemalangan dahulu. Sementara itu, Prof. Hafiz memecat Dr. Syamil kerana mengintip data-data berkenaan badan Nik tanpa izin, tetapi ini tidak menghalang Dr. Syamil dari mengejar kekayaan melalui program A.D.A.M. Fauzir yang menyangka akan dibuang sekolah, sebaliknya dijemput oleh Prof. Mazni untuk dijadikan bahan ujian terbarunya.
"9"13 Julai 2009
Wanita misteri yang membanteras perompak makmal ICT tempoh hari memecah masuk makmal Prof. Hafiz untuk mencuri pelan A.D.A.M. Hasil konspirasi Dr. Syamil dan Prof. Mazni untuk menjatuhkan Prof. Hafiz dan Nik, Fauzir bertukar kuat dan mengganas tanpa daya berfikir. Ketika menziarahi ibunya di hospital, Burn ditawarkan wang untuk mengubati ibunya oleh Johan untuk mendedahkan identiti dan kebolehan Nik dalam laporan, tetapi menolaknya. Fauzir diarahkan menculik Alia, adik Nik, untuk diikat tergantung atas kawah asid sebagai langkah menjerat keluarga Nik, tetapi mujurnya Alia diselamatkan oleh wanita misteri itu.
"10"20 Julai 2009
Wanita misteri rupa-rupanya merupakan robot wanita bernama Lisa yang berkhidmat untuk Dr. Syamil yang bersama Prof. Mazni bekerja untuk penjahat bernama "Trotsky". Disebabkan insiden Alia, Dr. Syamil menghukum Lisa dengan memprogramkannya semula untuk menghindari Lisa dari mendekati sifat kemanusiaannya. Disebabkan masalah kewangan, Burn dengan berat hatinya akhirnya meminta tolong Johan dengan mendedahkan rahsia mengenai Nik, termasuk kelemahan terhadap elektromagnet. Hasil daripada itu, Johan dan Jimmy mencipta seutas rantai magnet sebagai hadiah hari jadi kepada Aina. Prof. Mazni membantu dengan menyamar sebagai Lisa dan menyuntik virus ke dalam badan Nik.
"11"27 Julai 2009
Prof. Mazni membawa Nik yang dilemahkan oleh virus ke makmal Dr. Syamil untuk memindahkan kuasa-kuasa Nik ke dalam Lisa. Nik akhirnya bangkit dan terpaksa bergelut dengan Lisa agar berjaya melarikan diri, sehingga rebah di hadapan rumah sendiri. Apabila dibawa masuk, didapati data-data Nik telah dipindahkan dan dipadamkan. Prof. Hafiz cuba memindahkan data sandar ke dalam badan Nik, tetapi gagal. Sebaliknya, Nik sedar dengan tiba-tiba tanpa memori lampau.
"12"3 Ogos 2009
Burn menyambut baik kenaikan pangkat ke Wartawan Tetap dan berita penyembuhan ibunya. Ketika melawat Nik, barulah Burn menyedari Nik sekeluarga diancam oleh Dr. Syamil dan Prof. Mazni. Ketika cuba mencari maklumat mengenai musuh mereka di pejabat Prof. Mazni, Nik dan Kamal menemui maklumat mengenai Trotsky dan, sambil bersembunyi, menyedari hubungan Johan dengan Prof. Mazni. Nik juga menyedari rantai yang dipakai oleh Aina yang menyebabkan mereka berdua terpaksa berjauhan, tetapi sudah terlambat kerana Aina sudah kembali ke pangkuan Johan, lantas memberi peluang kepada Johan untuk memperguna Aina untuk manfaat Dr. Syamil. Prof. Hafiz menceritakan masa silamnya ketika mula bekerja bersama Syamil dan Syarifah (Mazni); dan bagaimana Syarifah mampu mengubah bentuk menjadi orang lain.
"13"10 Ogos 2009
Nik, keluarga dan kawan-kawannya bersiap sedia bersemuka dengan Dr. Syamil, Prof. Mazni dan rancangan jahat mereka. Prof. Hafiz menyiapkan serum untuk diserahkan kepada Nik bagi memulihkan "penyakit" Prof. Mazni bertukar rupa, tetapi cubaan Nik untuk berbuat demikian gagal. Lebih memeritkan lagi, Nik berdepan sekali lagi dengan Fauzir yang terlebih makan serum Prof. Mazni. Kamal melawan Johan dengan sarung tangan multifungsi, sementara Adi terpaksa mematikan Lisa setelah gagal memujuk Lisa kembali ke sifat keperimanusiaannya. Prof. Hafiz hendak melalikan kawan-kawan Nik sebagai langkah memadam memori mereka, tetapi Burn sempat menghantar e-mel mengenai butiran Nik sebelum disuntik.

Musim 2[sunting | sunting sumber]

Nombor episod Tarikh penyiaran
"14"17 Ogos 2009
Dua tahun selepas peristiwa musim pertama, Nik kini menjadi wira bertopeng yang dikenali ramai, tetapi kurang meluangkan masa bersama keluarganya dan Aina, pada masa yang sama lebih keliru akan jati diri sendiri. Pada suatu malam, Nik menghadiri parti perpisahan buat Adi yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara, yang juga dihadiri oleh Aina dan Kamal, tetapi tiba-tiba bergegas ke luar dengan topengnya untuk menyelamatkan seorang wanita daripada ancaman samseng. Prof. Hafiz memahami keghairahan Nik menjadi wira, oleh itu tengah mengusahakan sut perisai khas untuk Nik, biarpun pada masa yang sama cuba memujuk Nik agar mempertimbangkan masa depannya. Burn dikejutkan dengan CD rakaman aksi Nik, lalu mengungkitkannya di Harian Galaksi. Dr. Syamil yang pindah ke tempat Trotsky menyerahkan tugas di makmalnya pada Dr. Haris yang memperbaharui Lisa dengan badan dan wajah serba baru. Prof. Hafiz meminta bantuan Kamal untuk mengusahakan sut Nik.
"15"24 Ogos 2009
Setelah menonton berita dirinya menghumban sofa kepada perogol dan mangsanya dengan cukup marah, Nik menyedari dirinya semakin sukar mengawal dirinya. Ibu bapanya turut tumpang risau akan perilaku anak mereka akhir-akhir ini. Oleh itu, Prof. Hafiz. mencipta cip untuk dipasang dalam badan Nik, untuk melumpuhkan Nik selama tujuh saat sekiranya kemarahan Nik mencapai tahap berbahaya. Sementara itu, Dr. Harris merancang untuk membawa Johan kembali ke jalan kegelapan, apatah lagi dengan Aina sebagai umpannya, tetapi Johan menolaknya. Pada satu malam, Nik naik berang lagi ketika berhadapan dengan seorang peragut, tetapi cip dalam badan menjalankan fungsinya, maka terlepaslah peragut itu.
"16"31 Ogos 2009
Nik menerima emel meminta tolong dari Lisa. Prof Hafiz memperkenalkan sut perisai ciptaan barunya kepada Nik, di samping menegah anaknya dari mencampuri hal Lisa. Teringat pula Aina yang menyambut hari jadinya, Johan mengajaknya makan di luar. Lisa yang berwajah baru akhirnya sempat bangkit dan melarikan diri untuk memberitahu Nik bahawa Aina dan Johan berada dalam bahaya, itupun perlu melepaskan diri daripada kawalan Dr Haris. Makan malam Aina bersama Johan disampuk oleh Jimmy yang membuat kacau di restoran lalu menculik Johan ke makmal Dr Haris (dan menyebabkan Aina tercedera dalam kejadian itu), tetapi Johan tetap enggan membantu mereka. Ketika "membedah" badan Lisa, Kamal menemui rakaman kemalangan Nik dalam ingatan Lisa.
"17"7 September 2009
Setelah mengetahui kejadian itu, Adi bergegas untuk menjenguk Aina di hospital, dengan harapan kasihnya yang terpendam untuk Aina direstui. Lisa yang baru dibaiki berperilaku kanak-kanak kerana telah dimuatnaikkan keperibadian sementara, sementara Prof Hafiz mencipta cip baru untuknya. Kegiatan Prof Hafiz dengan Lisa diawasi oleh Burn dari luar tanpa disedari. Johan akhirnya akur kepada gesaan Dr Haris dengan syarat bahawa dia dijadikan sehebat Nik dan barah otaknya boleh disembuhkan. Burn memecah masuk makmal lama Dr Shamil dan menemui serum ciptaan Prof Mazni bersama Syamil, lalu membawanya keluar untuk dianalisa. Setelah dilengkapi cip baru, Lisa membuat keputusan untuk menjelajah seluruh negara dengan tujuan mengenali diri. Aina meminta bantuan Nik untuk mencari Johan, yang sebenarnya sedang diubah menjadi mutan dengan suntikan serum-serum ciptaan geng Dr. Haris.
"18"14 September 2009
Johan akhirnya menampilkan dirinya di hadapan pihak media untuk memberitahu bahawa dirinya dijadikan bahan ujian oleh penculiknya, tanpa memberitahu perkara sebenar bahawa kuasa barunya merupakan kemahuannya sendiri. Burn mengetahui bahawa serum yang dijumpainya di makmal lama itu merupakan bahan pengubah gen manusia yang pernah dicipta oleh Syamil, Mazni dan Hafiz kira-kira 20 tahun dahulu, lalu menmu ramah Prof Hafiz untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selepas diterima oleh Adi, Johan memujuk Nik pula untuk bekerja di syarikatnya, akhirnya Nik menerimanya setelah diizinkan oleh Prof Hafiz. Nik juga berpeluang mencuba sut perisai barunya. Di tempat kerja barunya, kalau bukan betapa rapatnya Aina dengan Johan, Nik susah hati melihat persahabatannya dengan Adi semakin renggang. Ini adalah kerana Adi mula bersepakat dengan Johan dan kumpulan jahatnya. Pada hari keesokannya, Nik bertembung dan berlawan dengan Jimmy di dalam tempat kerja; kesudahannya, Jimmy merenjatkan Nik sampai pengsan dengan taser.
"19"21 September 2009
Dengan tujuan membalas dendam terhadap perbuatan Prof Hafiz terhadap ibunya, Jimmy menculik Nik di dalam sebuah gudang di mana badan berlogam Nik diperap pada dinding bermagnet. Dalam kurungan, Nik dikejutkan oleh kedatangan Adi yang mencelanya sebagai penipu kerana tidak memberitahu perkara sebenar mengenai kebolehan Nik. Dengan cip pengesan yang dipasang bersama peranti lumpuh tempoh hari, Nik berjaya dijejak dari makmal Prof Hafiz, jadi bolehlah Kamal bergegas untuk menyelamatkannya. Pada masa yang sama, hubungan Jimmy dan Johan masih tegang kerana Jimmy teringin sangat untuk membuktikan bahawa dirinya berguna kepada Johan dan seluruh gengnya. Walaupun begitu, Jimmy tidak membenarkan Nik terlepas begitu sahaja lalu mencabar Nik untuk berlawan lagi. Sekali lagi peranti lumpuh merenjatkan Nik, tetapi Jimmy dihalang oleh Johan dan Adi daripada mengambil kesempatan.
"20"28 September 2009
Nik naik berang lagi setelah mengetahui alat pengesan terpasang dalam badannya tanpa pengetahuannya, tetapi setelah menjenguk Jimmy bersama kawan-kawannya di hospital, terasa pula serba salah atas keradangannya. Kamal mengambil cuti untuk membuat kaji selidik di perpustakaan di mana dia bertengkar dengan seorang wanita bernama Suri (gara-gara bunyi telefon Kamal) lalu dihalau keluar kedua-duanya dari perpustakaan, kemudian berbaik-baik jua. Rupa-rupanya Nik cuba menghubungi Kamal ketika bersama Aina, dan ini membuat Johan naik marah apabila terjumpa mereka bersama lalu membaling tong sampah ke arah mereka dengan kuasa telepatinya. Di kawasan pelabuhan, Burn cuba mendapatkan maklumat daripada para pekerja gudang mengenai peristiwa 'Hero Misteri', khususnya seorang yang memakai jam tangan yang serupa dengan yang dipakai oleh Nik ketika itu. Di pejabat, Johan digemparkan oleh dua orang pegawai polis yang memaklumkan penculikan Jimmy dari hospital, tetapi rupa-rupanya Jimmy disorokkan ke makmal Dr. Haris untuk dijadikan siborg.
"21"5 Oktober 2009
Kamal semakin mesra dengan Suri tanpa apa-apa syak wasangka walaupun Suri memasuki makmal tanpa kebenaran, hinggakan Suri diajak oleh Aina untuk membeli-belah bersama-sama. Sementara itu, walaupun cuba dihalang oleh Dr Haris, akhirnya Johan terjumpa Jimmy yang menjalani proses menjadi siborg dalam makmalnya. Burn masih tercari-cari identiti sebenar "Hero Misteri", dan setelah menyoal seorang pekerja di gudang yang terjumpa jam tangan yang seiras dengan yang dipakai oleh Nik dari pertempuraan wira itu dengan Jimmy hari itu, tahunya juga siapa di sebalik topeng itu, lalu berolok-olok merompak kedai untuk mendapatkan perhatian wira itu. Ketika bergegas ke tempat kejadian, Nik memakai topeng Ultraman untuk menyorokkan muka, lalu terpaksa membazir masa bertengkar dengan Burn. Maka terpaksalah sekali lagi Nik mengamanahkan Burn untuk menyimpan rahsia.
"22"12 Oktober 2009
Burn dibawa ke rumah Nik untuk mendengar teguran Prof Hafiz, tetapi Burn menggemparkan mereka semua dengan perbuatannya mencatatkan kejadian terakhir mengenai Dr Syamil dalam e-mel. Oleh itu, terpaksalah Burn bekerjasama dengan Nik dan Prof Hafiz untuk melawan kumpulan jahat yang mengejar teknologi yang berkenaan badan Nik. Trotsky memperkenalkan "anak perempuannya" untuk membantu misi Dr Haris. Pada hari keesokannya, Nik dan Burn bersama-sama cuba menjejaki Jimmy, tetapi perhatian Nik dialih sebentar oleh seorang pencuri, tetapi sekali lagi dirinya menmbulkan masalah apabila membelasah pencuri itu sampai berdarah. Rupa-rupanya peranti renjatan sudah terputus litarnya, dan Nik ditegur supaya tidak terlalu bergantung kepada cip itu untuk mengawal kemarahannya. Ketika melawat pencuri itu keesokan harinya, Burn menunjukkan berita amukan Hero Misteri di muka depan Harian Galaksi, sementara Johan kelihatan terpedaya oleh Adi dan Dr Haris sekali lagi apabila ditinggalkan cabik-cabik kertas padahal yang dijangkakannya benda-benda berfaedah, jadi bargaduhlah lagi dia dengan Dr Haris dan Adi pada malam keesokannya. Di makmal Prof Hafiz, Kamal dihentak sampai pengsan setelah baru berbual dengan Suri melalui telefon.
"23"19 Oktober 2009
Setelah dahsyat sekali dibelasah, Dr Haris berjaya mengatasi keamukan Johan dengan peranti pengganggu minda elektromagnet, agar senang untuknya kemudian memperkenalkan Jimmy yang serba baru. Selain itu, Dr Haris mengingatkan Johan bahawa di dalam badannya terdapat peranti letupan yang boleh dipasang sekiranya dia didapati tidak menjaga perangainya. Sementara itu, makmal Prof Hafiz kecurian sebahagian dokumen rahsia yang terkandung maklumat mengenai badan Nik. Setelah tiga hari menghilang, Johan kembali ke pejabat dengan alasan cuti sakit, namun kepalanya masih pening berikutan pergaduhan dengan Dr Haris. Kemudian, Nik dan Burn menziarahi rumah lelaki yang dibelasah oleh Nik tempoh hari untuk meminta maaf daripadanya. Lisa yang tengah meneruskan cutinya di taman tasik, bertembung dengan Suri yang mendedahkan bahawa dia juga android seperti Lisa yang tercari-carinya untuk dibawa kembali ke pangkuan Dr Haris, lalu mereka saling bertempur sehingga Lisa cabut untuk menyelamatkan diri. Lisa menghubungi Nik yang tengah makan bersama Aina, tetapi Aina meluat mendengar nama perempuan lain dan sukar percaya bahasa Lisa memanggil kerana benar-benar dalam bahaya. Apapun, Nik pergi menjemput dan mendengar cerita Lisa.
"24"26 Oktober 2009
Ketika dibaiki, Lisa mendedahkan bahawa Surilah yang berlawan dengannya, sekaligus menyebabkan Kamal merengus-rengus lalu terburu-buru mencari Suri. Setibanya di "rumah" Suri barulah Kamal menyedari siapa Suri sebenarnya. Setelah bergaduh, Suri akhirnya menumpaskan Kamal lalu memanggil Johan ke mari untuk membawanya ke makmal Dr Haris. Dalam perjalanan ke sana, Johan berhenti di rumah Aina untuk membersihkan diri, tetapi Aina terjumpa Kamal dalam keadaan terikat dan tersumbat dalam kereta Johan, kemudian akhirnya diculik bersama juga. Ketiadaan Aina dalam pejabat hari keesokannya turut menimbulkan tanda tanya Nik, sementara Dr Haris dan konco-konconya menyuntikkan sesuatu ke dalam Prof Mazni, kemudian diingatkan oleh Suri agar tidak mengapa-apakan Kamal sehingga diarah oleh Trotsky.
"25"2 November 2009
Aina menyedari dirinya ditahan di rumah Johan, lalu cuba melepaskan diri dan melaporkan halnya kepada pengawal keselamatan, tetapi ditahan oleh kuasa telepati Johan, lalu dibawa ke makmal Dr Haris untuk ditahan. Dr Haris mencadangkan agar operasi gengnya dipindah ke gudang, tetapi Johan membantah keras sehingga Haris memerasnya dengan alat pengganggu otaknya. Pada malamnya, ketika Nik, Lisa dan Burn berjumpa untuk mencari Kamal, satu panggilan telefon daripada bapa Aina menyeru mereka untuk juga mencari Aina. Oleh itu, mereka bertiga menjejaki Johan ke mana sahaja dia pergi untuk terus mendapatkan maklumat. Pada masa yang sama, ahli-ahli keluarganya yang tengah menunggu kepulangan Nik diserang dalam kegelapan lalu diculik dan diugut oleh Jimmy dan Suri. Suri juga bergegas ke markas untuk mendedahkan "kecanggihan" dirinya dan Nik kepada Aina. Malam-malam buta barulah Nik pulang ke rumah untuk menerima ugutan terbaru dari musuh-musuhnya dalam ruang tamu yang. Pada hari keesokannya, Suri mengangkut Kamal dan Aina dalam kereta, lalu menurunkan Kamal yang masih pengsan dan bercalar-calar di tengah-tengah jalan dan meminta Nik membawa Kamal dari situ sendiri.
"26"9 November 2009
Setelah sempat membawa Kamal ke hospital, tiba masanya Nik bersama Burn dan Lisa bersemuka dan bertarung dengan Dr Haris dan konco-konconya di gudang di mana keluarga Nik ditahan sekali bersama Aina. Setibanya di gudang, Nik yang memakai sut perisai ciptaan bapanya, bersama Lisa mendengar gesaan Dr Haris untuk memilih sama ada menyertai kumpulan jahatnya daripada cuba menyelamatkan keluarganya dan Aina dalam masa yang singkat, dan pilihan mereka adalah berlawan mati-matian. Nik dan Lisa bertungkus-lumus mengatasi kehebatan Suri dan Jimmy agar dapat melepaskan Prof Hafiz sekeluarga dan Aina dari kurungan yang dipasang bom. Sekeluarnya mereka semua dari gudang, Nik balik ke gudang untuk menguruskan saki-baki geng Dr Haris dengan diikuti Aina, tetapi Johan mengambil kesempatan dengan menggunakan telepati untuk memerangkap ibu bapa Nik (dan Burn sekali) dalam van yang terpasang bom, lalu menolak van itu ke dalam laut lalu terletup.