Stardew Valley

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Stardew Valley
PembangunConcernedApe
Penerbit
PerekaEric Barone
EnjinMonoGame
Paint.NET
Reason Sunting ini di Wikidata
Platform
Pelepasan
26 Februari 2016
  • Microsoft Windows
  • 26 Februari 2016
  • macOS, Linux
  • 29 Julai 2016
  • PlayStation 4
  • 13 Disember 2016
  • Xbox One
  • 14 Disember 2016
  • Nintendo Switch
  • 5 Oktober 2017
  • PlayStation Vita
  • 22 Mei 2018
  • iOS
  • 24 Oktober 2018
  • Android
  • 14 Mac 2019
GenreSimulasi
Berperanan
ModPemain tunggal
Multipemain

Stardew Valley merupakan permainan video berperanan simulasi yang dibangunkan oleh Eric "ConcernedApe" Barone pada tahun 2016 untuk pelbagai sistem komputer dan konsol permainan video. Dalam Stardew Valley, pemain memainkan peranan watak yang mengambil alih ladang terbiar datuknya di tempat yang dikenali sebagai Stardew Valley, untuk melepaskan diri daripada kesibukan hidup di bandar. Stardew Valley merupakan permainan simulasi pertanian yang mendapat ilham terutamanya daripada siri permainan video Harvest Moon.[1] Stardew Valley dicipta Eric Barone, seorang pereka permainan indie Amerika Syarikat dengan nama samarannya ConcernedApe. Stardew Valley mendapat ulasan "baik secara keseluruhan", berdasarkan gabungan ulasan Metacritic.

Tatamain[sunting | sunting sumber]

Dalam permainan video ini, pemain memegang watak sebagai seorang pemuda yang pindah ke rumah pusaka datuknya sebagai jalan keluar daripada kesibukan dan tekanan kehidupan di bandar. Rumah pusaka tersebut disertakan sebidang tanah lapang yang besar yang dapat diguna pakai oleh pemain, dengan beberapa jenis landskap yang boleh dipilih oleh pemain sebelum memulakan permainan dengan manfaat-manfaat yang tersendiri.

Latar masa permainan video ini adalah berdasarkan takwim yang dipermudah, yakni empat 'bulan' setahun berdasarkan empat musim lazim dengan sebulan memiliki 28 hari. Cuaca juga berperanan dalam permainan video ini dengan dua cuaca utama ialah cerah dan hujan (termasuk ribut petir). Hasil-hasil pertanian yang boleh diperoleh pada satu masa adalah berdasarkan musim dan cuaca pada masa itu.

Pemain boleh bertani di kawasan tanah tersebut dengan tanaman-tanaman yang dapat diperoleh berdasarkan musim pada masa itu. Pemain juga boleh membina reban dan kandang untuk menternak haiwan-haiwan ternakan lazim seperti ayam dan lembu. Tanah yang diperoleh pemain adalah sarat dengan pokok-pokok dan batuan yang boleh ditebang dan dilombong untuk memperoleh kayu dan batu sebagai bahan binaan peralatan dan bangunan. Pemain juga dapat memancing ikan di badan-badan air di latar tempat Stardew Valley. Selain ikan, pemain juga boleh memancing tumbuhan-tumbuhan laut, sampah dan harta karun yang memiliki barangan seperti artifak.

Pemain-pemain boleh bersahabat dengan para penduduk Stardew Valley, memberi hadiah kepada mereka serta menjalin hubungan perkahwinan dengan sesetengah penduduk. Para penduduk juga akan memberi hadiah kepada pemain sekiranya hubungan antara mereka adalah cukup erat.

Plot[sunting | sunting sumber]

Secara umumnya, terdapat dua plot utama yang boleh dipilih dalam Stardew Valley. Plot pertama yang lebih lazim ialah plot berkenaan pemulihan pusat komuniti Stardew Valley yang telah terbiar dan usang. Dalam plot ini, pemain memperoleh kuasa untuk memahami bahasa sekumpulan makhluk misteri yang menghuni pusat komuniti itu dalam awal permainan yang meminta pemain untuk menderma sejumlah barangan, lazimnya pertanian, duit dan bahan binaan. Enam tempat pengumpulan wujud di pusat tersebut. Apabila semua barangan dalam satu tempat pengumpulan telah diberi, pemain dihadiahkan dengan pembaikian prasarana yang pada asalnya tidak dapat digunakan pada awal permainan serta pengukuhan persahabatan.[2]

Satu lagi plot ialah membeli pakej komuniti Joja Corporation, suatu syarikat besar dalam plot cerita Stardew Valley yang pernah disertai pemain sebelum berpindah ke Stardew Valley. Selepas itu, Joja Corporation memperoleh bangunan pusat komuniti dan dijadikan sebagai gudang Joja. Untuk memperoleh akses kepada prasarana Stardew Valley, pemain hanya perlu membayar sejumlah wang kepada pihak Joja.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Grayson, Nathan (1 Mac 2016). "Steam's Latest Hit Is A Game About Farming And Relationships". Kotaku. Dicapai pada 1 Mac 2016.
  2. ^ "The Many Hidden Secrets of Stardew Valley - GameRevolution". GameRevolution (dalam bahasa Inggeris). 2 Mac 2016. Dicapai pada 27 September 2017.