Sultan Muhamad Shah
Nama baginda yang sebenar ialah Raja Bisu, putera Yang Dipertuan Muda Raja Mansur Shah (Marhum Mangkat di Pulau Tiga). Semasa kekanda baginda, Sultan Mudzaffar Shah III, menjadi Sultan Perak, Raja Bisu ialah Yang Dipertuan Muda atau Sultan Muda bergelar Yang Dipertuan Muda Raja Muhammad Muayat Shah. Baginda bersemayam di Pulau Tiga, apabila berlaku perselisihan faham antara Sultan Mudzaffar Shah III dan Yang Dipertuan Muda, maka kesultanan Perak berpecah dua. Peristiwa ini berlaku di sekitar tahun 1742 ketika Daing Chelak iaitu Yamtuan Muda Riau mencampuri hal pemerintahan Negeri Perak, akan tetapi setelah Daing Chelak berangkat balik ke Riau pada tahun 1745, kedua adik beradik itu pun berdamai semula.
Sultan Muhammad Shah mangkat pada tahun 1750, dahulu daripada kekanda baginda Sultan Mudzaffar Shah III. Baginda dimakamkan berhampiran makam Almarhum Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak yang kelapan, di Pulau Tiga, dan digelarkan "Marhum Aminullah".
| Didahului oleh Sultan Mudzaffar Shah III |
Sultan Perak 1744-1750 |
Diikuti oleh: Sultan Iskandar Zulkarnain |