Taman Koperasi UDA

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Taman Koperasi UDA (TKU) ialah taman perumahan yang terletak di Batu 12½ Jalan Hulu Langat iaitu di sebelah kiri jalan menghala ke arah Pangsun, Selangor. Lokasinya di belakang Taman Desa Raya menyebabkan ia tidak kelihatan dari jalan utama Hulu Langat walaupun ia terletak di kedudukan yang lebih tinggi di kaki bukit Hutan Simpan Kekal Bukit Sungai Putih, Ampang. Di sebelah kanan dan belakang taman ini, terletak Taman Perkasa, manakala di sebelah kirinya pula ialah sebuah sekolah swasta iaitu Sekolah Seri Suria.

Asal taman ini merupakan sebidang tanah belukar dengan keluasan lebih kurang 5 hektar (12 ekar) yang dimiliki oleh Koperasi Kakitangan UDA (Urban Development Authority) atau lebih dikenali sebagai Udaco. Pada hujung tahun 80an, pihak Pengurusan Udaco telah membuat keputusan untuk menjadikan tanah ini sebagai taman perumahan dengan memecahkan tanah ini kepada lot-lot kecil berukuran 4,000-6,000 kaki persegi setiap satu. Lot-lot kecil tanah ini kemudiannya dijual kepada ahli-ahli Udaco yang terdiri dari kakitangan UDA untuk tujuan didirikan rumah di atasnya. Terdapat 73 lot pelbagai saiz kesemuanya dengan satu lot darinya diperuntukan untuk taman permainan kanak-kanak yang terletak di persimpangan Lengkuk Utama Udaco (LUU) dan Jalan Udaco 2 (JU2). Pada tahun 1998 sebuah surau telah didirikan di tapak taman permainan ini hasil sumbangan penduduk setempat. Bagaimanapun taman permainan kanak-kanak masih dikekalkan di sebahagian tapak ini.

Bermula awal 90an, rumah-rumah telah mula didirikan oleh para pembeli tanah ini dan ia diberikan nama Taman UDA Murni. Bagaimanapun nama ini kemudiannya telah diubah menjadi Taman Koperasi UDA yang menggambarkan pemilik asal tanah ini. Kini terdapat 58 buah rumah yang kesemuanya berbeza saiz dan rekabentuk di taman ini, hanya tinggal 14 unit sahaja tanah yang masih kosong dan belum didirikan rumah.

Pada awal penempatan ini, hampir semua pemilik tanah dan rumah adalah kakitangan UDA, bagaimanapun lama-kelamaan ramai dikalangan mereka telah menjual semula tapak rumah ini kepada pihak lain. Kini lebih separuh dari tuan punya tanah/rumah di sini terdiri bukan dari kalangan kakitangan UDA, ada yang bekerja sebagai doktor, pensyarah, akauntan, jurutera, pegawai bank, syarikat swasta, pegawai polis, guru, ahli perniagaan, pesara kerajaan dan sebagainya. Satu fakta mengenai penduduk di taman ini ialah ia terdiri 100% bumiputera dari pelbagai negeri di Malaysia