Selangor
Negeri-negeri di Malaysia نڬري٢ د مليسيا |
|||||
| سلاڠور دار الإحس Selangor Darul Ehsan |
|||||
|
|||||
| Cogan kata: Dipelihara Allah | |||||
| Lagu negeri: Duli Yang Maha Mulia | |||||
| Ibu negeri | Shah Alam | ||||
|---|---|---|---|---|---|
| Bandar diraja | Klang | ||||
| Parti memerintah | Pakatan Rakyat | ||||
| - Sultan | Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj | ||||
| - Menteri Besar | Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim | ||||
| Sejarah | |||||
| - Pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu | 1895 | ||||
| - Penaklukan Jepun | 1942 | ||||
| - Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu | 1948 | ||||
| Keluasan | |||||
| - Jumlah | 8104 km² | ||||
| Populasi | |||||
| - Anggaran 2010 | 5,462,141 | ||||
| - Kepadatan | 674/km² | ||||
| IPM (2010) | 0.810 (sangat tinggi) | ||||
| Kod panggilan kebangsaan | 03 | ||||
| Poskod kebangsaan | 40xxx hingga 48xxx 62xxx hingga 64xxx |
||||
| Huruf pertama plat kenderaan | B | ||||
| Laman sesawang: | http://www.selangor.gov.my | ||||
Negeri Selangor (juga dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan) merupakan salah satu daripada tiga belas negeri yang membentuk Malaysia. Ia terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia di pantai barat dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.[1] Negeri ini juga bersempadan dengan Negeri Perak di utara, Pahang di timur, Negeri Sembilan di selatan dan Selat Melaka di sebelah barat.
Negeri ini mengamalkan sistem raja perlembagaan sejak turun-termurun, dan sekarang di bawah naungan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj. Semenjak 10 Mac 2008, Pakatan Rakyat (PR) telah mengambil alih negeri ini daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN). Menteri Besar ketika ini adalah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebahagian daripada Pakatan Rakyat (PR).
Ibu negeri Selangor ialah Shah Alam dan merupakan bandar raya pertama di negeri ini. Bandar diraja negeri ini ialah Klang. Bandar utama yang lain ialah Petaling Jaya, yang mendapat status sebagai bandar raya kedua di negeri ini pada 20 Jun 2006. Selangor adalah satu daripada dua negeri yang mempunyai lebih daripada satu bandar raya, selain Sarawak. Selangor juga mempunyai bandar yang terbanyak di Malaysia, ini berikutan pembangunan pesat akibat daripada kemodenan di Lembah Klang.
Selangor juga merupakan negeri yang terkaya di Malaysia, berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita. Negeri ini merupakan negeri yang termaju di Malaysia dengan mempunyai infrastruktur yang terbaik seperti lebuhraya dan pengangkutan awam. Bilangan penduduk di negeri ini juga, merupakan yang terbanyak di Malaysia dengan kualiti hidup yang tinggi dan kadar kemiskinan negeri yang terendah di Malaysia.
Isi kandungan |
[sunting] Etimologi
Asal nama Selangor tidak jelas, walaupun beberapa sumber mendakwa bahawa namanya telah diambil daripada perkataan "selangau", iaitu sejenis lalat besar, disebabkan oleh bilangan lalat yang ada berhampiran dengan Sungai Selangor, di bahagian barat laut negeri ini. Satu lagi teori mendakwa bahawa nama negeri ini diambil daripada frasa "Selang Ur" bermaksud "tanah selat" ("ur" membawa maksud "tanah" dalam bahasa Tamil). [2], [3]
[sunting] Sejarah
Pada abad ke-15, Selangor terletak di bawah pemerintahan Melaka. Selepas kejatuhan Melaka, ia menjadi rebutan di antara penjajah Portugis, Johor, Aceh dan Siam. Selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka, mereka membawa masuk askar upahan Bugis dari Sulawesi. Ini menyebabkan kaum Minangkabau yang lebih dulu (100 tahun awal) datang dari Sumatra terpaksa berpindah.
Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874 iaitu J.G Davidson. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur.
[sunting] Geografi
Selangor secara umumnya merupakan kawasan yang landai. Ia terletak antara Banjaran Titiwangsa dan Selat Melaka.
Negeri Selangor terbahagi kepada 9 daerah iaitu :-
- Gombak ditadbir oleh Majlis Perbandaran Selayang
- Hulu Langat terbahagi kepada dua:
- Majlis Perbandaran Kajang mentadbir seluruh Kajang dan Hulu Langat
- Majlis Perbandaran Ampang Jaya mentadbir seluruh Ampang dan Ulu Klang
- Hulu Selangor ditadbir oleh Majlis Daerah Hulu Selangor
- Klang ditabir oleh Majlis Perbandaran Klang
- Kuala Langat ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Langat
- Kuala Selangor ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Selangor
- Petaling terbahagi kepada tiga:
- Majlis Bandaraya Petaling Jaya mentadbir bandaraya Petaling Jaya
- Majlis Perbandaran Subang Jaya mentadbir seluruh Subang Jaya, USJ, Puchong, Serdang dan Seri Kembangan
- Majlis Bandaraya Shah Alam mentadbir bandaraya Shah Alam dan Sungai Buloh
- Sabak Bernam ditadbir oleh Majlis Daerah Sabak Bernam
- Sepang ditadbir oleh Majlis Perbandaran Sepang
Bandar-bandar utama di Selangor adalah Shah Alam (ibu negeri), Klang, Ampang, Kajang, Banting, Petaling Jaya, Subang Jaya, Puchong, Rawang dan Semenyih.
[sunting] Demografi penduduk dan Agama
Jumlah penduduk Negeri Selangor pada tahun 2010 adalah sejumlah 5,462,141 orang. Peratusan mengikut kaum adalah Bumiputera sebanyak 57.1%, Cina 28.6% , India 13.5% dan lain-lain sebanyak 0.8%. Dari segi anutan pula, Islam merangkumi 57.9%, Kristian 3.8%, Buddha 24.4%, Hindu 11.6% dan lain2 anutan 2.3%.
[sunting] Kerajaan
Negeri Selangor mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sultan negeri ini merupakan Ketua Perlembagaan Negeri. Sejak tahun 2001, gelaran Sultan telah dipegang oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj. Dibawah perlembagaan negeri, kuasa perundangan dimiliki oleh Dewan Undangan Negeri. Dewan ini melantik ahli Dewan untuk membentuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO).
EXCO, yang diketuai oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 10 Mac 2008, memegang kuasa eksekutif dan merupakan badan yang membuat dasar kerajaan negeri. Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan adalah daripada parti politik yang memenangi kerusi yang terbanyak di dalam Dewan Undangan.
[sunting] Agensi kerajaan negeri
|
|
[sunting] Ekonomi
Negeri Selangor memiliki sebuah pasaran ekonomi yang maju dan terbuka dengan KDNK (keluaran dalam negara kasar) per kapita (PPP) yang tertinggi di Malaysia iaitu sekitar USD33,147 pada tahun 2008, setanding dengan nilai per kapita negara eropah barat dan Hong Kong. Bidang eksport, perindustrian, pertanian dan perkhidmatan merupakan aspek-aspek terpenting dalam ekonomi negeri Selangor.
[sunting] Perindustrian dan perdagangan
Sektor perindustian merupakan penyumbang utama terhadap kerancakan ekonomi negeri iaitu menyumbang lebih 58% dalam KDNK negeri pada tahun 2008, malah ia merupakan nadi ekonomi Negara. Selangor mempunyai sektor pembuatan seperti elektronik, bahan kimia dan kenderaan automotif yang terbesar di Malaysia, seperti kereta proton dan perodua. Kereta import juga beroperasi di negeri ini seperti Toyota, Nissan, Volkswagen, Ford, Volvo, BMW dan banyak lagi. Banyak kilang-kilang dari luar negara yang bertapak di negeri ini antaranya Panasonic dari Jepun, Procter & Gamble dari Amerika Syarikat, Unilever dari Belanda, Nokia dari Sweden dan banyak lagi. Antara kawasan perindustrian yang terkenal ialah di Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Kajang, Rawang, Selayang, Ampang Jaya dan Petaling Jaya.
Pelabuhan Klang yang merupakan faktor utama kemajuan perindustrian di Selangor, pelabuhan ini juga merupakan pelabuhan yang tersibuk dan terpenting di Malaysia. Negeri Selangor juga menjadi tarikan utama pelabur asing dari luar negara.
[sunting] Pertanian
Selain terkenal dengan perindustrian dan pelabuhan, bidang pertanian juga semakin berkembang maju walaupun hanya menyumbang 3.1% kepada KDNK negeri. Antara kerjayaan yang telah dikecapi adalah seperti Selangor Fruit Valley merupakan pengeluar buah-buahan tropika terbesar dunia seperti belimbing, betik dan pisang. Begitu juga dengan sawah padi di Kuala Selangor yang diurus secara estet dengan kaedah pengairan serta penanaman moden, berjaya mengeluarkan hasil purata sehektar tertinggi di negara ini iaitu lebih 7 tan sehektar. Aktiviti pertanian kelapa sawit dan getah juga dijalankan di negeri ini.
[sunting] Perkhidmatan
Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang kedua terbesar terhadap KDNK negeri iaitu sebanyak 38%.
[sunting] Lihat juga
[sunting] Nota kaki
[sunting] Pautan luar
|
||||||||