Pergi ke kandungan

Air Terjun Telaga Tujuh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Telaga Tujuh)
Air Terjun Telaga Tujuh
Air Terjun Telaga Tujuh
LokasiLangkawi, Kedah, Malaysia.
Koordinat6°22′40″N 99°40′26″E / 6.37764°N 99.6739909°E / 6.37764; 99.6739909Koordinat: 6°22′40″N 99°40′26″E / 6.37764°N 99.6739909°E / 6.37764; 99.6739909

Air Terjun Telaga Tujuh (Seven Wells) merupakan rangkaian air terjun yang berasal dari tujuh mata air, mengalir ke tujuh telaga semula jadi. Curahan dari telaga pertama membentuk sebatang sungai kecil dan menerusi ke telaga yang lain. Ia terletak di tebing Gunung Mat Chinchang menghala ke Teluk Burau. Air Terjun Telaga Tujuh setinggi 91 meter ini boleh didaki melalui 900 anak tangga curam sehingga bahagian pertama air terjun. Ia boleh mengambil masa antara 45 minit sehingga sejam untuk mendaki sehingga ke puncak air terjun Telaga Tujuh yang setinggi 90 meter ini.

Air Terjun Telaga Tujuh mengalir dari satu kolam ke satu kolam yang lain dan membentuk tujuk kolah pada muka bukit, dari mana ia mendapat nama. Aliran air yang pantas menjadikan batu sekelilingnya licin ketika air mengalir dari satu kolam ke kolam yang lain sehingga kolam ke tujuh di kaki bukit 90 meter di bawah. Air terjun ini dikatakan sungguh cantik sehinggakan ia menjadi tempat pari-pari mandi dan juga mampu merawat penyakit.

Terdapat pokok limau sintuk yang terdapat di kawasan air terjun itu yang dikatakan ditinggalkan oleh pari-pari tersebut. Limau Sintuk biasanya digunakan dalam perubatan Melayu bagi membuang sial dengan mandi bersintuk.

Air Terjun Telaga Tujuh boleh dicapai menggunakan kereta, motorsikal atau teksi; satu meter selepas melepasi Pantai Kok, belok ke kanan, bersetentangan dengan Burau Bay Resort sehingga samapai ke tempat letak kereta. Terdapat gerai menjual cendera hati di kaki bukit. Memanjat ke puncak air terjun memakan masa sekitar 45 minit, dan pengunjung dapat menikmati pemandangan indah semulajadi di hutan hujan khatulistiwa sepanjang perjalanan.

Bagi mereka yang mata tajam, mereka berpeluang melihat haiwan liar seperti monyet dan tupai, selain berpeluang melihat burung enggang yang bertenggek di dahan pokok.

Pengunjung dinasihati agar mematuhi panduan yang diberi, mereka yang tidak mematuhi arahan keselamatan ada yang tercedera atau terbunuh di masa lalu. Ini berlaku apabila pengunjung melintasi tali halangan untuk pergi lebih hampir dengan air terjun lalu tergelincir akibat batu yang licin.[1]

Menurut cerita penduduk tempatan, dipercayai terdapat tujuh orang puteri dari kayangan yang sering mandi dan amat suka akan kesejukan air perigi ini. Terdapat seorang putera raja yang tinggal berhampiran perigi ini dan cuba untuk memikat serta mengahwini salah seorang puteri-puteri ini tetapi masih belum berjaya. Air ini juga dipercayai mempunyai kuasa yang boleh menyembuhkan beberapa penyakit.

Berdekatan dengan Air Terjun Telaga Tujuh adalah Berjaya Langkawi dan Mutiara Burau Bay Resort. Kedua-duanya mempunyai pantai di depan.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]