Transmisi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kotak gear 5 kelajuan + undur dari 1600 Volkswagen Golf (2009).

Sesebuah jentera terdiri daripada sumber kuasa dan sistem transmisi kuasa yang membolehkan penggunaan kuasa yang terkawal. Selalunya, transmisi (atau penghantaran) ini memaksudkan kotak gear yang menggunakan gear dan pawai gear untuk membolehkan penukaran kelajuan dan tork dari sumber kuasa yang memutar ke peranti yang lain.[1][2]

Transmisi paling banyak digunakan dalam kenderaan bermotor, di mana transmisi menyesuaikan keluaran enjin pembakaran dalam kepada roda pacuan. Enjin sedemikian perlu beroperasi pada kelajuan putaran yang agak tinggi, dan oleh itu tidak sesuai untuk memula, menghenti dan perjalanan yang lebih perlahan. Transmisi ini mengurangkan kelajuan enjin yang tinggi kepada kelajuan roda yang rendah, sekaligus meningkatkan tork. Transmisi juga digunakan pada basikal kayuhan, jentera tetap, dan lain-lain yang perlu menyesuaikan kelajuan putaran dan tork.

Biasanya, transmisi ini memerlukan nisbah gear yang banyak (atau secara ringkasnya, "gear"), dengan keupayaan untuk beralih sesama nisbah itu apabila kelajuan berubah. Peralihan ini boleh dilakukan secara manual (oleh pengendali) mahupun automatik. Kawalan berarah (mara dan undur) juga disediakan. Transmisi nisbah tunggal juga wujud, tetapi hanya mengubah kelajuan dan tork (dan adakalanya arah) keluaran motor.

Apabila digunakan dalam kenderaan bermotor, transmisinya pada amnya akan disambungkan dengan aci engkol enjin. Keluaran transmisi ini dihantar melalui aci pacu kepada satu atau lebih kebezaan yang memacu roda-roda. Walaupun kebezaan juga boleh melakukan penurunan gear, namun tujuan utamanya adalah untuk membolehkan roda di mana-mana hujung gandar berputar pada pelbagai kelajuan (penting untuk mengelakkan gelinciran roda ketika membelok) sementara ia mengubah arah putaran.

Transmisi gear/sawat yang biasa bukan satu-satunya mekanimse penyesuaian kelajuan/tork. Antara mekanisme yang lain termasuk penukar tork dan transformasi kuasa (cth., transmisi diesel-elektrik, sistem pacuan hidraulik, dsb.). Juga wujudnya konfigurasi gabungan satu atau lebih mekanisme.

Penjelasan[sunting | sunting sumber]

Jenis transmisi
Manual

Tidak segerak
Automatik

Separa automatik

Boleh laras berterusan
Gear basikal
Pemandangan dalam Kincir Angin Pantigo, memandang ke atas hingga penutup dari lantai -- rak penutup, roda brek, brek dan wallower. Kincir Angin Pantigo terletak di James Lane, East Hampton, Suffolk County, Long Island, New York.

Antara sistem-sistem transmisi terawal ialah pacuan sudut tegak dan sistem gear yang seumpamanya dalam kincir angin, peranti kuasa kuda, dan enjin wap, yang menyokong kerja pam, kincir, dan pesawat angkat.

Kebanyakan kotak gear moden digunakan untuk meningkatkan tork sambil mengurangkan kelajuan aci keluaran penggerak utama (cth. aci engkol motor). Ini bermakna aci keluaran kotak gear akan berputar pada kadar yang lebih perlahan daripada aci masukan, maka pengurangan kelajuan ini akan menghasilkan kelebihan mekanik untuk menyebabkan bertambahnya tork. Kotak gear boleh dilaraskan untuk melakukan yang sebaliknya iaitu menjadikan peningkatan kelajuan aci dengan pengurangan tork. Sesetengah kotak gear yang paling ringkas sekadar mengubah arah fizikal transmisi kuasa.

Kebanyakan transmisi kereta yang biasa dilengkapi dengan keupayaan untuk memilih satu daripada beberapa nisbah gear yang berbeza. Untuk ini, kebanyakan nisbah gear digunakan untuk memerlahankan kelajuan keluaran enjin serta meningkatkan tork. Bagaimanapun, gear-gear yang tertinggi mungkin merupakan jenis "pacu lebih" yang meningkatkan kelajuan keluaran.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. J. J. Uicker, G. R. Pennock, and J. E. Shigley, 2003, Theory of Machines and Mechanisms, Oxford University Press, New York.
  2. B. Paul, 1979, Kinematics and Dynamics of Planar Machinery, Prentice Hall.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]