Ujian keserasian darah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ujian keserasian darah
Darah jenis O positif yang ditentukan melalui kaedah tiub. Dari kiri ke kanan: Sel-sel darah merah pesakit tidak beraglutinat dengan reagen-reagen anti-A dan anti-B, tetapi beraglutinat dengan reagen anti-D. Plasma pesakit beraglutinat dengan sel-sel darah merah jenis A1 dan B.
TujuanMengenalpasti ketidakserasian antara kumpulan-kumpulan darah
UjianSel darah merah; plasma darah
MedlinePlus003345
eMedicine1731198

Ujian keserasian darah dijalankan di makmal perubatan untuk mengenal pasti ketidakserasian yang mungkin berlaku antara jenis-jenis darah yang berbeza sewaktu pemindahan darah. Ia juga digunakan untuk mendiagnosis dan mencegah beberapa komplikasi kehamilan yang boleh berlaku apabila bayi mempunyai kumpulan darah yang berbeza daripada ibu. Antara ujian-ujian keserasian darah termasuklah ujian penggolongan darah, yang mengesan antigen-antigen pada sel-sel darah merah yang menentukan jenis darah seseorang; ujian saringan dan pengenalpastian antibodi untuk mengesan antibodi yang melawan antigen kumpulan darah secara tidak terjaga; dan ujian penyerasian silang melalui pencampuran plasma penerima dengan sel-sel darah merah penderma untuk pengesanan ketidakserasian sebelum transfusi darah. Rutin penggolongan darah melibatkan penentuan kumpulan darah ABO dan RhD (faktor Rh), [note 1] serta melibatkan dua kaedah pengenalpastian antigen-antigen ABO pada sel darah merah (dikenali sebagai "penggolongan depan") dan pengenalpastian antibodi-antibodi ABO dalam plasma (dikenali sebagai "penggolongan songsang"). Antigen-antigen kumpulan darah yang lain mungkin diuji dalam keadaan-keadaan klinikal tertentu.

Ujian keserasian darah menggunakan tindak balas antara antigen-antigen dan antibodi-antibodi kumpulan darah — khususnya keupayaan antibodi-antibodi untuk menyebabkan pengumpalan sel-sel darah merah sewaktu antibodi-antibodi tersebut terikat pada antigen-antigen pada permukaan sel, dan fenomena ini dikenali sebagai aglutinasi. Teknik-teknik yang bergantung pada tindak balas antigen-antibodi dikenali sebagai kaedah-kaedah serologi, dan beberapa cara sudah sedia ada, bermula dengan ujian manual menggunakan tabung uji atau slaid, serta ujian melalui sistem automatik penuh. Jenis-jenis darah juga boleh ditentukan melalui ujian genetik, yang digunakan apabila wujudnya beberapa keadaan yang mengganggu ujian serologi atau apabila perlunya tahap ketepatan yang tinggi dalam pengenalpastian antigen.

Beberapa keadaan mungkin menyebabkan kepalsuan atau ketidakmuktamadan ujian keserasian darah. Isu-isu yang menjejaskan pengumpulan ABO dikenali sebagai kepincangan pengumpulan ABO . Kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam pengumpulan ABO mesti disiasat dan diselesaikan sebelum jenis darah seseorang itu dilaporkan. Antara sumber-sumber ralat berkaitan adalah termasuklah: (1) fenomena "D lemah", apabila seseorang yang positif antigen RhD menunjukkan tindak balas yang lemah atau negatif apabila diuji untuk RhD, dan (2) kewujudan antibodi-antibodi imunoglobulin G pada sel darah merah, yang boleh mengganggu ujian salingan antibodi, ujian penyerasian silang dan ujian penggolongan untuk beberapa antigen-antigen kumpulan darah tertentu.

Kegunaan perubatan[sunting | sunting sumber]

Ujian keserasian darah dilakukan secara rutin sebelum pemindahan darah. Proses ujian keserasian penuh melibatkan penggolongan ABO dan RhD (faktor Rh); saringan antibodi-antibodi sistem-sistem kumpulan darah yang lain; dan penyerasian silang melalui ujian plasma darah penerima terhadap sel darah merah penderma sebagai pemeriksaan akhir untuk ketidakserasian. Jika antibodi kumpulan darah yang tidak terjangka dikesan, ujian lanjutan diperlukan untuk mengenal pasti antibodi [3]:740 dan memastikan darah penderma negatif untuk antigen yang berkaitan. [1]:261 Penyerasian silang serologi boleh diabaikan jika saringan antibodi penerima negatif, tiada sejarah antibodi yang signifikan secara klinikal, dan jenis ABO/Rh mereka telah disahkan melalui rekod sejarah atau uji kaji sampel darah yang diambil untuk kali kedua; dan jika keadaan benar-benar terdesak, darah boleh ditransfusikan sebelum sebarang keputusan ujian keserasian tersedia. [1]

Ujian keserasian darah sering dilakukan ke atas wanita hamil dan pada darah tali pusat bayi yang baru lahir, kerana ketidakserasian merisikokan bayi untuk mendapat penyakit hemolitik bayi baru lahir. Ia juga digunakan sebelum pemindahan sel stem hematopoietik, kerana ketidakserasian kumpulan darah mungkin akan menjadi punca ke atas beberapa kes penyakit cantuman lawan perumah akut. [4]

Prinsip[sunting | sunting sumber]

Antigen dan antibodi ABO

Kumpulan-kumpulan darah ditakrifkan mengikut kehadiran atau ketiadaan antigen-antigen tertentu pada permukaan sel-sel darah merah. Kumpulan darah yang paling penting dalam bidang perubatan ialah kumpulan antigen ABO dan RhD [5] namun terdapat banyak sistem kumpulan darah lain yang relevan secara klinikal dalam beberapa keadaan tertentu. Sehingga ke tahun 2021, terdapat 43 kumpulan darah yang diiktiraf secara rasmi. [6]

Kekurangan antigen sesuatu kumpulan darah tertentu pada sel darah merah seseorang menyebabkan pembentukan antibodi terhadap antigen ini. Contohnya, seseorang yang mempunyai darah jenis A akan menghasilkan antibodi melawan antigen B. Antibodi-antibodi kumpulan darah ABO berlaku secara semula jadi, maksudnya antibodi tersebut boleh ditemui pada seseorang yang tidak pernah terdedah dengan darah yang tidak serasi. [5]:585–92 Antibodi-antibodi yang melawan kebanyakan antigen kumpulan darah lain, termasuk RhD, menjadi lebih banyak selepas seseorang itu terdedah dengan antigen melalui transfusi atau kehamilan. [1] Sesetengah antibodi ini boleh mengikat sel darah merah yang tidak serasi dan memusnahkannya, sehingga menyebabkantindak balas transfusi serta komplikasi yang lain. [7]:210–11

Kaedah-kaedah serologi untuk ujian keserasian darah menggunakan prinsip tindak balas antara antibodi dan antigen. Sewaktu penggolongan darah, antiserum yakni reagen yang mengandungi antibodi kumpulan darah tertentu, [5]:586 akan ditambah ke dalam ampaian sel-sel darah seseorang. Jika wujudnya antigen tertentu, antibodi-antibodi dalam reagen tersebut akan menyebabkan sel darah merah beraglutinat (yakni bergumpal), dan boleh dikenal pasti secara penglihatan. [1]:65 Sewaktu saringan antibodi, plasma seseorang akan diuji dengan satu set sel darah merah yang dikenal pasti profil antigennya; jika plasma beraglutinat dengan salah satu jenis sel darah merah dalam panel, maka seseorang itu mempunyai antibodi melawan salah satu jenis antigen yang terdapat pada sel panel tersebut. Sewaktu penyerasian silang, plasma calon penerima darah ditambah pada sel darah merah penderma dan diperiksa sama ada penggumpalan (atau hemolisis) wujud atau tidak, supaya dapat mengesan antibodi yang boleh menyebabkan tindak balas transfusi. [3]

Antibodi-antibodi kumpulan darah wujud dalam dua bentuk utama: imunoglobulin M (IgM) dan imunoglobulin G (IgG). Kebanyakan antibodi adalah dalam bentuk IgM (contohnya antibodi ABO) yang biasanya menyebabkan sel darah merah beraglutinat serta-merta pada suhu bilik. Sebab itulah jenis kumpulan darah ABO seseorang boleh ditentukan hanya dengan menambah sel darah merah ke dalam reagen kemudian campuran sampel itu diempar atau digaulkan, [1]:122 dan untuk penyerasian silang, ketidakserasian antara jenis kumpulan ABO boleh dikesan serta-merta selepas pengemparan. [3]:725 Penggolongan RhD juga biasanya menggunakan reagen IgM [8]:477 walaupun anti-RhD biasanya wujud dalam bentuk IgG di dalam badan. [1]:161 Antibodi yang kebanyakannya IgG, seperti antigen-antigen dalam sistem Duffy dan Kidd, [1] secara amnya tidak menyebabkan pengaglutinatan segera kerana saiz antibodi IgG yang kecil menghalang pembentukan struktur kekisi. Oleh itu, penggolongan darah menggunakan antiserum IgG dan pengesanan antibodi IgG memerlukan ujian antiglobulin tak langsung untuk menunjukkan IgG terikat kepada sel darah merah. [1]:104

Dalam ujian antiglobulin tak langsung, campuran antiserum atau plasma dengan sel darah merah dieram pada 37 °C (99 °F), yakni suhu ideal untuk kereaktifan antibodi IgG. Selepas pengeraman, sel darah merah dibasuh dengan air salina untuk menghilangkan antibodi yang tak terikat, kemudian reagen globulin anti-manusia ditambah. Jika antibodi IgG telah terikat pada antigen di permukaan sel, globulin anti-manusia akan terikat dengan antibodi tersebut, menyebabkan sel darah merah tergumpal selepas pengemparan. Jika tindak balas negatif, "sel semakan" (yakni sel reagen yang bersalut IgG) ditambah untuk memastikan ujian berfungsi dengan betul. Jika keputusan ujian sememangnya negatif, sel semakan harus bertindak balas dengan globulin anti-manusia yang tak terikat dan menunjukkan pengaglutinatan. [3]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Antigen RhD lebih umum dikenali sebagai "faktor Rh", walaupun selain antigen Rh terdapat beberapa antigen-antigen lain dalam sistem antigen Rh.[1]:150[2]:26

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i Denise M Harmening (30 November 2018). Modern Blood Banking & Transfusion Practices. F.A. Davis. ISBN 978-0-8036-9462-0.
  2. ^ Dennis Flaherty (25 June 2014). Immunology for Pharmacy. Elsevier Health Sciences. ISBN 978-0-323-29111-8.
  3. ^ a b c d McPherson, RA; Pincus, MR (2017). Henry's Clinical Diagnosis and Management by Laboratory Methods (ed. 23). Elsevier Health Sciences. ISBN 978-0-323-41315-2.
  4. ^ Bacigalupo, A.; Van Lint, M. T.; M. Margiocco, D. Occhini; Ferrari, G.; Pittaluga, P. A.; Frassoni, F.; Peralvo, J.; Lercari, G.; Carubia, F. (1988). "Abo Compatibility and Acute Graft-Versus-Host Disease Following Allogeneic Bone Marrow Transplantation". Transplantation. 45 (6): 1091–1093. doi:10.1097/00007890-198806000-00018. ISSN 0041-1337. PMID 3289150.
  5. ^ a b c Turgeon, ML (2016). Linné & Ringsrud's Clinical Laboratory Science: Concepts, Procedures, and Clinical Applications (ed. 7). Elsevier Mosby. ISBN 978-0-323-22545-8.
  6. ^ "Red Cell Immunogenetics and Blood Group Terminology". International Society of Blood Transfusion. 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 February 2022. Dicapai pada 11 February 2022.
  7. ^ Jeffrey McCullough (27 September 2016). Transfusion Medicine. Wiley. ISBN 978-1-119-23652-8.
  8. ^ Bain, BJ; Bates, I; Laffan, MA (11 August 2016). Dacie and Lewis Practical Haematology E-Book. Elsevier Health Sciences. ISBN 978-0-7020-6925-3.