Wikipedia:WikiProject Medicine/Translation task force/RTT/Simple Yellow fever vaccine

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Vaksin demam kuning merupakan vaksin yang melindungi manusia daripada demam kuning.[1] Demam kuning merupakan jangkitan virus yang berlaku di Afrika dan Amerika Selatan. Kira-kira 90% daripada mereka yang menerima vaksin mendapat imuniti dalam tempoh sebulan dari pemvaksinan dan imuniti ini nampaknya kekal sepanjang hayat. Vaksin ini boleh digunakan untuk mengawal kejadian wabak demam kuning. Ia diberikan sama ada melalui suntikan ke dalam otot atau di bawah kulit.[1]

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan imunisasi rutin di semua negara tempat penyakit ini biasa ditemui. Imunisasi ini hendaklah dilakukan semasa umur antara sembilan hingga dua belas bulan. Mereka yang berkunjung ke tempat yang penyakit ini tercetus juga perlu diimunisasi.[1] Dos tambahan selepas dos pertama biasanya tidak diperlukan.[2]

Secara amnya, vaksin demam kuning adalah selamat. Ini termasuk bagi mereka yang menghidap jangkitan HIV tetapi tanpa simptom. Kesan sampingan yang ringan mungkin termasuk sakit kepala, sakit otot, sakit pada tempat suntikan, demam, dan ruam. Alergi yang teruk berlaku dalam kira-kira lapan daripada sejuta dos, masalah neurologi yang serius berlaku dalam kira-kira empat daripada sejuta dos, dan kegagalan organ berlaku dalam kira-kira tiga daripada sejuta dos. Vaksin ini berkemungkinan besar selamat digunakan semasa hamil dan oleh itu disarankan kepada mereka yang berpotensi terdedah kepada penyakit ini.[1] Ia tidak boleh diberikan kepada mereka yang mempunyai fungsi imun yang sangat lemah.[3]

Vaksin demam kuning mula digunakan pada tahun 1938.[4] Ia tersenarai dalam Senarai Ubat Penting Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu ubat paling penting yang diperlukan dalam sistem kesihatan yang asas.[5] Harga borong vaksin ini pada tahun 2014 ialah antara 4.30 dengan 21.30 dolar Amerika sedos.[6] Di Amerika Syarikat, harganya ialah antara 50 dan 100 dolar Amerika.[7] Vakin ini diperbuat daripada virus demam kuning yang dilemahkan.[1]

References[sunting sumber]

  1. ^ a b c d e "Vaccines and vaccination against yellow fever.
  2. ^ Staples, JE; Bocchini JA, Jr; Rubin, L; Fischer, M; Centers for Disease Control and Prevention, (CDC) (19 June 2015).
  3. ^ "Yellow Fever Vaccine".
  4. ^ Norrby E (November 2007).
  5. ^ "WHO Model List of EssentialMedicines" (PDF).
  6. ^ "Vaccine, Yellow Fever".
  7. ^ Hamilton, Richart (2015).