Proklamasi Darurat 2021

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Proklamasi Darurat 2021
Sebahagian daripada Darurat di Malaysia dan Sejarah Malaysia
Tarikh12 Januari 2021 – 1 Ogos 2021 (kecuali Sarawak, sejak 12 Januari 2021)
Penyebab
Hadirin
Hasil

Proklamasi Darurat 2021 merupakan sebuah pengisytiharan darurat di seluruh Malaysia pada 12 Januari 2021 sebagai sebuah langkah dalam membendung penularan wabak penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) di dalam negara. Pengisytiharan darurat ini dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.[1] Darurat ini dikuatkuasakan hingga 1 Ogos 2021 menyebabkan sistem perundangan digantung di peringkat persekutuan (Parlimen) dan negeri (Dewan Undangan Negeri). Perkara ini sekali gus menghalang penganjuran sebarang pilihan raya umum di Malaysia.[2]

Kronologi[sunting | sunting sumber]

Pada 25 Oktober 2020, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah menolak permintaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat sebagai tindak balas kepada lonjakan kes COVID-19 di seluruh Malaysia.[3]

Pada 16 Disember 2020 pula, Perdana Menteri sekali lagi memohon darurat untuk menghenti­kan pilihan raya kecil yang bakal diadakan di kawasan Bugaya, Sabah dan kawasan Gerik, Perak pada bulan Januari 2021. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah telah memperkenankan permohonan tersebut untuk menguatkuasakan darurat di kedua-dua kawasan pilihan raya ini sebagai tindak balas terhadap gelombang jangkitan ketiga COVID-19, yang telah mencecah sejumlah 86,000 kes positif dan 422 kematian pada hari tersebut.[4]

Pada 12 Januari 2021, Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat kebangsaan hingga sekurang-kurangnya 1 Ogos 2021 untuk mengekang penyebaran COVID-19 dan sebagai tindak balas terhadap kemelut politik yang melibatkan kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di bawah pengisytiharan darurat ini, parlimen dan pilihan raya ditangguhkan sementara kerajaan Malaysia diberi kuasa untuk memperkenalkan undang-undang tanpa persetujuan.[5][6]

Isu dan kontroversi[sunting | sunting sumber]

Sungguhpun begitu, sesetengah pihak, terutamanya pihak pembangkang mempertikaikan motif sebenar pelaksanaan darurat tersebut, yakni sama ada darurat diisytiharkan untuk mengekang pandemik COVID-19 atau bermotifkan politik; kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini berada dalam situasi genting dengan kerajaan PN mudah kehilangan majoriti mudah. Sementara itu, para pendukung pula menyokong darurat kerana mengatakan dapat menghalang sebarang pilihan raya yang boleh merebakkan lagi ancaman COVID-19, dan menyeru agar darurat dikekalkan sehingga pandemik COVID-19 menjadi lebih terkawal.[7]

Penutupan sidang Parlimen[sunting | sunting sumber]

Keputusan penutupan sidang Parlimen dalam situasi darurat menjadi pertelingkahan para ahli politik negara sepanjang proklamasi, dengan pihak pembangkang bertungkus-lumus memberi tekanan terhadap pihak kerajaan untuk membuka sidang Parlimen demi manfaat negara. Namun begitu, tidak kurang banyak yang mendukung penutupan tersebut dengan hujah bahawa penutupan sidang Parlimen dapat mengelakkan ancaman COVID-19 dalam kalangan ahli politik serta para pekerja Parlimen.[8]

Ordinan Darurat dan kebebasan bersuara[sunting | sunting sumber]

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang dirasmikan pada Mac 2021 ialah sebuah ordinan yang menekankan isu berita tidak benar berkenaan pandemik COVID-19.[9] Walaupun begitu, ordinan ini melahirkan kebimbangan berkenaan sebarang penyalahgunaan ordinan yang boleh menjejaskan kebebasan suara rakyat Malaysia, terutamanya dalam krisis politik negara yang masih berlanjutan.[10] Kebimbangan ini juga membawa kepada perhimpunan bantahan skala kecil oleh pihak pemerhati hak kebebasan bersuara.[11]

Pembatalan Ordinan Darurat[sunting | sunting sumber]

Sultan Abdullah menitahkan dan memberikan perkenan kepada Takiyuddin Hassan pada 24 Julai untuk membentangkan dan membahaskan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat di parlimen sewaktu majlis menghadap secara maya bersama-sama Peguam Negara, Tan Sri Idrus bin Harun.[12]

Walau bagaimanapun, pada 26 Julai 2021, Takiyuddin Hassan mengumumkan semua peraturan Ordinan Darurat telah dibatalkan oleh kerajaan persekutuan pada 21 Julai 2021. Ahli parlimen mempersoalkan berhubung perkenan Yang Di-Pertuan Agong terhadap pembatalan namun tidak dijawab oleh pihak kerajaan.[13]

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan pada 29 Julai 2021 bahawa Seri Paduka Baginda telah menzahirkan perasaan dukacita oleh kenyataan dalam Parlimen pada 26 Julai yang telah membatalkan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh baginda walaupun pembatalan tersebut belum mendapat perkenan baginda.[14] Tindakan ini ditegaskan oleh Seri Paduka sebagai tindakan tergesa-gesa dan tidak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara kerana telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.[13]

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Ordinan Darurat yang telah diwartakan[sunting | sunting sumber]

  • Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021;
  • Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021;
  • Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021;
  • Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu];
  • Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif]
  • Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.[13]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ SULAIMAN, MOHD FADHLI MOHD (2021-01-12). "Agong isytihar darurat hingga 1 Ogos". Utusan Digital. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-01-12. Dicapai pada 2021-05-30.
  2. ^ BERNAMA (2021-01-12). "Darurat: Pilihan raya tak akan diadakan". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-01-12. Dicapai pada 2021-05-30.
  3. ^ "Malaysia's king rejects PM's push for COVID emergency rule". Al Jazeera. 25 October 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 October 2020. Dicapai pada 27 October 2020.
  4. ^ "Malaysia invokes emergency to stop by-elections as COVID-19 cases rise". Channel News Asia. 16 December 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 December 2020. Dicapai pada 18 December 2020.
  5. ^ Ratcliffe, Rebecca (12 January 2021). "Malaysia declares Covid state of emergency amid political turmoil". The Guardian. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 January 2021. Dicapai pada 12 January 2021.
  6. ^ "Malaysia's king declares state of emergency to curb spread of Covid-19". CNN. 12 January 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 January 2021. Dicapai pada 12 January 2021.
  7. ^ "440 NGO Islam sokong tempoh Darurat dikekalkan". Harakah Daily. 16 Jun 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-06-16. Dicapai pada 17 Jun 2021.
  8. ^ "'Desak parlimen dibuka sekarang sikap binatang politik'". Malaysiakini. 17 Jun 2021. Dicapai pada 17 Jun 2021.
  9. ^ "Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021" (PDF). Jabatan Peguam Negara. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2021-03-25. Dicapai pada 13 Mac 2021.
  10. ^ "MCMC promises fair probes, but doubts persists". The Star (dalam bahasa Inggeris). 13 Mac 2021. Dicapai pada 13 Mac 2021.
  11. ^ Muhammad Amnan Hibrahim (14 Mac 2021). "NGO bantah ordinan berita tidak benar". Sinar Harian. Dicapai pada 14 Mac 2021.
  12. ^ Saiful Haizan Hasam (29 Julai 2021). "Agong amat dukacita, pembatalan Ordinan Darurat belum diperkenan". Berita Harian. Dicapai pada 29 Julai 2021.
  13. ^ a b c MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN (29 Julai 2021). "Agong dukacita Ordinan Darurat batal tapi belum dapat perkenan". Utusan Malaysia. Dicapai pada 29 Julai 2021.
  14. ^ NUR HUDA MUSA (29 Julai 2021). "Agong dukacita kenyataan pembatalan Ordinan Darurat". Kosmo. Dicapai pada 29 Julai 2021.