Abjad konsonan dan vokal

From Wikipedia
Jump to navigation Jump to search

Abjad konsonan dan vokal ialah suatu jenis sistem tulisan yang terdiri daripada huruf-huruf yang mewakili bunyi konsonan dan huruf-huruf yang mewakili bunyi vokal. Contoh terbaik bagi sistem tulisan yang tergolong dalam abjad jenis ini ialah abjad Rumi. Beberapa contoh lain ialah abjad Yunani dan abjad Cyril.

Dalam bahasa Inggeris, jenis sistem tulisan ini dikenali dengan nama alphabet. Perkataan itu berasal daripada perkataan Latin alphabētum, yang dipinjam daripada perkataan Yunani αλφάβητος (alphabētos), yang bersempena dengan bunyi dua huruf pertama dalam abjad Yunani, iaitu α (alfa) dan β (beta). Istilah alphabet kadang-kadang pula digunakan oleh pakar bahasa untuk merujuk kepada abjad secara umum, dan kadang-kadang digunakan untuk merujuk kepada jenis sistem tulisan ini secara khusus. Untuk mengelak kekeliruan, istilah phonemic alphabet dicadangkan apabila merujuk kepada jenis sistem tulisan ini.