Konsonan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Konsonan ialah bunyi yang dihasilkan dengan menyekat arus pernafasan menggunakan organ-organ pertuturan. Lawan bagi konsonan ialah vokal.

Dalam abjad Rumi, terdapat 21 huruf yang mewakili konsonan, iaitu B, C, D, F, G, H, J, K, L, M, N, P, Q, R, S, T, V, W, X, Y, dan Z. Walau bagaimanapun, abjad Rumi tidak boleh mewakili segala konsonan-konsonan dalam semua bahasa pertuturan di dunia. Satu daripada piawaian yang diusahakan oleh para ahli linguistik untuk melambangkan semua bunyi pertuturan di dunia ialah Abjad Fonetik Antarabangsa. Contohnya, huruf θ digunakan untuk mewakili huruf sa (ث) dalam bahasa Arab.

Asal-usul istilah[sunting | sunting sumber]

Perkataan consonant berasal dari kata dasar tak langsung Latin cōnsonant-, dari cōnsonāns (littera) "(huruf) berbunyi bersama", iaitu terjemahan pinjaman dari bahasa Yunani, iaitu σύμφωνον sýmphōnon.[1] Seperti yang pernah ditanggap oleh ilmuwan Plato,[2] sýmphōna merupakan konsonan hentian, dihuraikan sebagai "tidak boleh disebut bunyi vokal bersebelahan".[3] Justeru, istilah ini tidak meliputi konsonan malar yang boleh disebut tanpa vokal dalam sebilangan kecil bahasa, contohnya di akhir perkataan bottle dan button dalam bahasa Inggeris. (Huruf vokal terakhir e dan o dalam perkataan tersebut sekadar hasil ejaan; Plato memaksudkan sebutannya.)

Walau bagaimanapun, konsepsi konsonan asal Plato pun tidak memadai untuk menghuraikan bahasa manusia sejagat, kerana dalam sebilangan bahasa, misalnya bahasa-bahasa Salish, konsonan hentian juga disebut tanpa vokal bersebelahan, apatah lagi konsepsi konsonan masa kini tidak memerlukan penyebutan bersama vokal. Konsonan itu bererti bukan vokal dan tidak diikuti oleh mana-mana vokal.

Ciri-ciri konsonan[sunting | sunting sumber]

Setiap konsonan boleh dibezakan mengikut sifat:[4]

  • Cara artikulasi ialah cara konsonan dibunyikan, seperti sengau (melalui hidung), hentian (menghalang udara sepenuhnya), atau malaran tak bergeser (seakan-akan vokal).
  • Daerah artikulasi ialah anggota saluran suara yang berlakunya gangguan konsonan, yang mana terlibatnya organ-organ pertuturan, termasuk dwibibir (kedua-dua bibir), gusi (lidah menyentuh rabung gusi), dan velar (lidah menyentuh lelangit lembut). Selain itu, terdapat juga penyempitan di satu anggota serentak dengan gangguan di anggota lain, seperti pempalatalan atau pemfarinksan.
  • Pembunyian konsonan ialah cara pita suara bergetar ketika penyebutan. Apabila pita suara bergetar sepenuhnya, maka konsona itu bersuara; jika langsung tidak bergetar, maka konsonannya tak bersuara.
  • Masa mula suara (voice onset time) menandakan pemasaan pembunyian, seperti penghembusan.
  • Mekanisme arus udara ialah cara udara dikuasakan melalui saluran suara. Kebanyakan bahasa hanya ada konsonan egresif pulmonik yang menggerakan paru-paru dan diafragma, tetapi ejektif, klik dan implosif menggunakan mekanisme berbeza.
  • Kepanjangan ialah berapa lama gangguan konsonan itu. Contohnya, "massa" [masːa] berbanding dengan "masa" [masa]. Kebanyakan bahasa ada dua kepanjangan konsonan, iaitu "tunggal" dan "panjang" (atau geminat). Bahasa Estonia dan sesetengah bahasa-bahasa Sami pula ada tiga kepanjangan fonemik, iaitu: pendek, panjang, dan amat panjang, cuma perbezaan antara sederhana dan amat panjang merangkumi ciri-ciri suprasegmental.

Adakalanya, sesetengah pasangan konsonan tak bersuara-bersuara p::b, t::d dipanggil fortis dan lenis, tetapi sebenarnya dibezakan secara fonologi dan bukannya fonetik.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Robert K. Barnhart, ed., Chambers Dictionary of Etymology, dahulunya diterbitkan sebagai The Barnhart Dictionary of Etymology, ©1988 The H.W. Wilson Company; Edinburgh, dicetak semula 2001: Chambers Harrap Publishers Ltd., p. 210.
  2. Plato, Cratylus 424 C; Theaetetus 203 B.
  3. R.H. Robins, A Short History of Linguistics, 2nd Ed.; ©1967 R.H. Robins, ©1979 Longman Group Ltd.; paper edition, 5th printing 1985, p. 23.
  4. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan SOWL tidak disediakan

Pautan luar[sunting | sunting sumber]