Ares Bahar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ares Bahar atau nama sebenarnya Harith Bin Baharudin adalah seorang Penulis, Pengarah Filem dan Produser. Beliau juga merupakan Pensyarah Kanan di Kolej Seni Kreatif (Dahulunya dikenali sebagai fakulti Filem Teater dan Animasi).

Beliau sangat aktif dan prolifik dalam menghasilkan karya sebagai penulis skrip pelbagai genre, tetapi tema yang sentiasa diangkat di dalam karya-karyanya adalah berkisarkan tentang kehidupan masyarakat marjinal dan kelompok masyarakat yang tersisih.

Antara karya-karya telemovie dan filem terbaharu yang ditulis beliau adalah telemovie Bedak Arang (2022), Bahalol (2023) yang ditayangkan di RTM. Telemovie 3 Lagu Untuk Ana (2022) adalah debut Ares Bahar sebagai seorang pengarah yang mana skripnya ditulis oleh beliau sendiri manakala Rumah Maduku Berhantu (2022) arahan Dato' Profesor A. Razak Mohaideen merupakan skrip filem yang ditulis oleh beliau bersama Khairul Anwar Mat Kassim.

Filem Rumah Maduku Berhantu ini merupakan sebuah filem komedi seram yang mendapat review yang positif.

Mengulas untuk portal Getaran, Ellyna Ali menulis "Sebetulnya, filem ini sememangnya mampu memberikan tarikan yang tersendiri jika ia menggunakan pendekatan yang berbeza dari sudut garapan, penceritaan, dialog dan teknikalnya".[1]

Pada 2023 beliau telah menulis dan mengarahkan Relau. Sebuah supertele bergenre Drama-Jenayah yang berkisahkan tentang sekumpulan pembunuh yang berkhidmat untuk sebuah sindiket penyeludup. Lokasi penggambaran supertele ini telah dijalankan di Kuala Sepetang, Perak,

Kehidupan Awal[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Kuala Terengganu pada tanggal 14 November 1983. Anak kedua dari empat orang adik beradik. Ibunya, Hadibah bt Mahamood berasal dari Kelantan manakala bapanya, Baharudin bin Ibrahim dilahirkan di Singapura namun keluarganya berpindah ke Perak sebelum Singapura meninggalkan Malaysia. Kedua ibu dan bapanya merupakan pasangan guru sekolah yang mengajar subjek Sukan dan Bahasa Inggeris.

Seawal usia 3 tahun, Ibu dan bapanya berpindah ke Bota Kiri, Perak. Walaupun dilahirkan di Terengganu, Ares Bahar sentiasa merujuk dirinya sebagai Perakian kerana beliau membesar di Bota dan bersekolah di Pekan Parit.

Ares Bahar mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit dan kemudiannya menyambung persekolahan peringkat Menengah di Sekolah Menengah Dato' Abdul Rahman Yaakob, Bota Kanan.

Kecintaannya pada filem dan sinema bermula dari kesinambungan minat dan kecenderungannya pada pembacaan buku cerita. Beliau agak lewat mengenal huruf. Apabila beliau sudah tahu membaca, beliau sangat gemar membaca buku cerita. Apabila bapanya membeli pemain video VHS, keseronokan menikmati cerita bertukar dari pembacaan kepada visual.

Sekitar pertengahan dan penghujung tahun 90an, Sewaktu remaja, beliau seringkali mengunjungi panggung wayang di Ipoh. Antara panggung wayang yang sering dikunjungi beliau adalah panggung Cathay dan Lido di Ipoh. Panggung ini sudah tidak beroperasi lagi.

Sewaktu di Tingkatan Enam, beliau telah membeli sebuah novel yang bertajuk Jukstaposisi yang ditulis oleh Hizairi Othman. Novel ini telah membuka matanya tentang kerjaya di sebalik tabir pembikinan filem. Tamat sahaja persekolahan beliau menyambungkan pelajarannya ke dalam bidang filem dengan memasuki Fakulti Seni Persembahan, UiTM.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ellyna Ali (25 November 2021). "Filem 'Rumah Maduku Berhantu' Sentuh Isu Cerai, Poligami". Getaran. Dicapai pada 5 Disember 2021. Walaupun garapan dan pengarahan dalam Rumah Maduku Berhantu biasa-biasa sahaja tetapi ia masih tetap menghiburkan untuk ditonton terutama pada separuh akhir kedua.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  1. https://www.researchgate.net/profile/Harith-Baharudin
  2. https://www.imdb.com/name/nm14130582/
  3. https://ejournal.usm.my/wacanaseni/article/view/ws-vol14-2015-5
  4. https://www.researchgate.net/profile/Harith-Baharuddin
  5. https://www.instagram.com/harithbaharudin/