Pergi ke kandungan

Fail komputer

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Fail)

Fail komputer ialah satu jujukan bit yang disimpan sebagai suatu unit tunggal dalam bentuk yang boleh dibaca oleh komputer, biasanya di dalam sesuatu sistem fail dalam cakera atau pita magnet. Fail komputer merupakan padanan moden kepada dokumen kertas yang secara tradisi disimpan di dalam fail pejabat dan perpustakaan.


Mengecamkan dan menyusun fail

[sunting | sunting sumber]

Fail komputer biasanya dicamkan dengan menggunakan nama fail. Dalam sesetengah sistem pengendalian, namanya dikaitkan dengan fail pada dirinya, manakala dalam sistem-sistem yang lain, fail itu tidak bernama dan dirujuki melalui pautan yang bernama. Dalam kes kedua ini, seseorang pengguna boleh mengenal pasti nama pautan seolah-olah nama fail pada dirinya, akan tetapi ini adalah analog yang salah, khususnya jika terdapat melebihi satu pautan ke fail yang sama. Banyak (tetapi bukan semua) sistem komputer menggunakan sambungan fail (juga dikenali sebagai "jenis" fail) dalam nama fail untuk membantu mengenal pasti kandungannya. Dalam komputer Windows, sambungan fail terdiri daripada satu tanda titik pada akhir nama fail, diikuti oleh beberapa huruf untuk mengenal pasti jenis fail itu, misalnya .txt untuk fail teks, dan .doc untuk mana-mana jenis dokumen.

Nama fail yang sah bergantung kepada jenis sistem komputer yang digunakan:

  • Bilangan aksara: Komputer-komputer yang awal hanya membenarkan beberapa huruf atau angka dalam nama fail (misalnya format 8+3 yang membenarkan penamaan sehingga 8 aksara sahaja), tetapi komputer-komputer yang moden membenarkan nama panjang (dengan sesetengahnya membenarkan sehingga 255) yang mengandungi hampir semua gabungan huruf dan angka unikod dan dengan itu, memudahkan pemahaman tujuan fail tersebut.
  • Aksara khas: Sesetengah sistem komputer membenarkan nama fail yang mengandungi ruang, manakala yang lain tidak membenarkannya. Sesetengah aksara seperti / atau \ adalah dilarang.
  • Kepekaan kasus terhadap nama fail ditentukan oleh sistem fail masing-masing. Sistem-sistem fail Unix biasanya peka pada kasus dan dengan itu, membenarkan atur-atur cara penggunaan untuk mencipta nama-nama fail yang berbeza hanya dari segi kasus aksaranya. Sebaliknya, Microsoft Windows mendukung berbagai-bagai sistem fail, dengan setiapnya mempunyai dasar-dasar yang berbeza terhadap kepekaan kasus.
Fail dan pelipat disusun mengikut hierarki.

Banyak perisian penggunaan memasukkan semua fail datanya ke dalam sebuah fail yang tunggal, dan menggunakan penanda dalaman untuk membezakan berbagai-bagai jenis maklumat yang terkandung di dalamnya. * Fail-fail biasanya disusun mengikut hierarki. Dari segi takrif ini, istilah "fail" juga merangkumi direktori kerana ini membenarkan kewujudan hierarki direktori, iaitu direktori yang mengandungi subdirektori (dirujuk sebagai subpelipat). Justera itu, sebuah "pelipat induk" (atau "pelipat punca") boleh mengandungi mana-mana bilangan aras pelipat dan fail yang lain. Penggunaan pelipat memudahkan penyusunan fail dengan cara yang logik.

Kecuali untuk pelipat induk yang seringnya tidak bernama, setiap fail dan pelipat bukan sahaja mempunyai nama tersendiri, tetapi juga "laluan" yang mengenal pasti pelipat yang mengandungi fail atau subpelipat itu. Tidak adanya dua fail yang mengandungi nama dan laluan yang sama.

Untuk nama laluan, suatu aksara khas seperti garis condong digunakan untuk mengasingkan nama-nama fail dan pelipat, umpamanya laluan /SenaraiGaji/Gaji/Pengurus mengenal pasti secara unik fail yang dipanggil Pengurus dalam subpelipat Gaji yang pula terkandung di dalam pelipat SenaraiGaji. Pelipat induk yang merupakan pelipat teratas tidak bernama dan oleh itu, laluan tersebut bermula dengan suatu garis condong.

Menyimpan fail

[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan fail komputer disimpan dalam sesuatu jenis peranti storan data seperti cakera keras atau pita magnet untuk storan tak meruap, dan dalam ingatan capaian rawak untuk maklumat sementara.

Dalam sistem pengendalian bak Unix, banyak fail (umpamanya /dev, /proc and /sys) tidak mempunyai sebarang kaitan yang langsung dengan peranti storan fizikalnya. Kesemua ini boleh dicapai sebagai fail di dalam ruang pengguna dan sebenarnya merupakan fail maya yang wujud sebagai objek di dalam inti sistem pengendalian.

Melindungi fail

[sunting | sunting sumber]

Banyak sistem komputer moden membekalkan kaedah-kaedah untuk melindungi fail daripada kerosakan, baik secara tidak sengaja mahupun sebaliknya:

  • Kebenaran sistem fail dilaksanakan pada komputer-komputer berbilang pengguna untuk mengawal siapakah yang boleh mengubah suai, menghapuskan, atau mencipta fail dan pelipat, dan siapakah yang tidak boleh. Kemudahan "kebenaran" melindungi maklumat di dalam fail daripada diubah atau dimusnahkan. Selain itu, ia juga merahsiakan maklumat peribadi dengan mencegah para pengguna tanpa kebenaran daripada melihat fail-fail tertentu.
  • Bendera baca sahaja: Apabila bendera ini dihidupkan bagi sesuatu fail (baik oleh atur cara komputer mahupun oleh pengguna manusia), fail itu boleh dibaca tetapi tidak boleh diubah suai. Bendera ini amat berguna untuk maklumat-maklumat genting seperti maklumat yang hanya digunakan oleh bahagian-bahagian dalaman sistem komputer.
  • Bendera tersembunyi: Bendera ini digunakan oleh sistem komputer untuk menyembunyikan fail-fail sistem yang penting yang harus tidak diubah oleh para pengguna.

Dalam konteks storan komputer, perkataan "fail" wujud seawal tahun 1952 dan merujuk kepada maklumat yang disimpan dalam kad tebuk.[1] Dalam penggunaan awal, orang-orang menganggap perkakasan komputer (bukannya kandungan) sebagai fail. Umpamanya, pemacu cakera IBM 350 dipanggil "fail cakera".[2]

Sistem-sistem seperti Sistem Pengongsian Masa Serasi 1962 menonjolkan sistem-sistem fail yang kelihatan seakan-akan banyak "fail" di dalam sebuah peranti storan dan dengan itu, menyebabkan penggunaan moden istilah "fail". Nama-nama fail dalam CTSS mempunyai dua bahagian, iaiatu "nama primer" dan "nama sekunder", dengan yang kedua ini menunjukkan jenis fail.[3][4] Kelaziman ini masih digunakan oleh banyak sistem pengendalian, termasuk Microsoft Windows.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Robert S. Casey, et al. Punched Cards: Their Applications to Science and Industry, 1952. ISBN.
  2. ^ Martin H. Weik. Laporan Makmal Penyelidikan Balistik #1115. Mac 1961. m.s. 314-331.
  3. ^ Fernando J. Corbató dll. "Sistem Pengongsian Masa Uji Kaji." 3 Mei 1962.
  4. ^ Jerome H. Saltzer. CTSS Nota Teknik. Projek MIT-LCS-TR016

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]