Irma Grese

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Irma Grese
Nama lahirIrma Ida Ilse Grese
Nama samaranHyena Auschwitz (Jerman: Die Hyäne von Auschwitz)
Kelahiran(1923-10-07)7 Oktober 1923
Mecklenburg-Strelitz, Jerman
Meninggal dunia13 Disember 1945(1945-12-13) (umur 22)
Hemelin Jerman
Kesetiaan Jerman Nazi
Perkhidmatan Schutzstaffel
Tahun perkhidmatan1942—1945
PangkatSS-helferin
PertempuranPerang Dunia II

Irma Ida Ilse Grese (lahir 7 Oktober 1923, Wrechen, Mecklenburg-Strelitz, Jerman) merupakan petugas di kem tumpuan Nazi di Ravensbrück dan Aushcwitz, serta warden di bahagian perempuan di Bergen-Belsen.

Beliau telah didapati bersalah terhadap jenayah kemanusiaan ketika Perbicaraan Belsen dan dijatuhi hukuman mati. Beliau merupakan wanita termuda muda dihukum mati di bawah undang-undang Inggeris pada abad ke-20. Beliau berumur 22 tahun 67 hari pada tarikh pelaksanaan hukuman tersebut.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Irma Grese merupakan anak kepada Alfred Grese dan Berta Grese. Ayahnya merupakan pekerja ladang tenusu dan ahli parti Nazi semenjak 1937 manakala ibunya telah membunuh diri pada tahun 1936. Irma Grese mempunyai 4 orang adik-beradik. Beliau telah berhenti sekolah pada tahun 1938 ketika berumur 15 tahun, mempunyai pencapaian akedemik yang lemah dan menjadi mangsa buli di sekolah oleh rakan sekelasnya. Irma Grese juga leka dengan Kesatuan Perempuan Jerman (Bund Deutscher Mädel), iaitu organisasi belia Nazi bagi perempuan, walaupun bapanya tidak merestuinya.

Pelbagai Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Selain daripada bekerja sambilan, beliau juga bekerja sebagai pembantu jururawat di sanatorium SS selama dua tahun namun tidak berjaya dalam cubaan untuk mencari menjadi jururawat. Irma Grese kemudian bekerja sebagai pembantu ladang tenusu. Berikut merupakan testimoni oleh Irma Grese sendiri, yang direkodkan ketika siasatan secara langsung berhubung dengan latar belakang hidupnya;


"Saya lahir pada 7 Oktober 1923. Pada tahun 1938, saya telah berhenti sekolah dan bekerja selama enam bulan di bahagian agrikultur di sebuah ladang, kemudian saya bekerja di sebuah kedai di Luchen selama enam bulan. Ketika saya berumur 15 tahun, saya telah pergi ke hospital di Hohenluchen, di mana saya menetap selama dua tahun. Saya cuba untuk menjadi jururawat tetapi tidak dibenarkan oleh jabatan penempatan pekerjaan dan saya telah dihantar untuk bekerja di ladang tenusu di Fürstenburg. Dalam bulan Julai 1942, saya sekali lagi cuba menjadi jururawat namun Pejabat Pekerjaan telah menghantar saya ke Kem Tumpuan Ravensbrück walaupun saya telah membantah. Saya kekal di sana sehingga Mac 1943, apabila saya pergi ke Kem Birkenau di Aushcwitz. Saya kekal berada di Auschwitz sehingga Januari 1945."

Kerjaya di Kem Tumpuan[sunting | sunting sumber]

Setelah menamatkan latihan dalam bulan Mac 1943, Irma Grese telah dipindahkan ke Auschwitz sebagai pengawal perempuan dan menjelang hujung tahun 1943, beliau menjadi Penyelia Senior, iaitu pangkat kedua tertinggi bagi wanita di kem tersebut dan bertanggungjawab ke atas lebih kurang 300,000 tahanan perempuan Yahudi. Dalam bulan Januari 1945, Irma Grese kembali seketika ke Ravensbrück sebelum menamatkan kerjanya di Bergen-Belsen sebagai Pengurus Servis Kerja dari bulan Mac hingga April, lalu ditangkap oleh tentera British pada 17 April 1945 bersama dengan staff-staff SS lain yang tidak meninggalkan tempat tersebut.

Jenayah Perang[sunting | sunting sumber]

Irma Grese (bernombor 9) ketika perbicaraan Belsen.

Irma Grese merupakan antara 44 individu tertuduh melakukan jenayah perang dalam Perbicaraan Belsen. Beliau telah dibicarakan sepanjang tempoh pertama perbicaraan (17 September sehingga 17 November, 1945) dan diwakili oleh Major L. Cranfield.


Perbicaraan tersebut telah dilansungkan di bawah undang-undang tentera British di Lüneberg dan tuduhan telah diperoleh dari Konvensyen Geneva 1929 berkenaan dengan layanan terhadap tahanan.


Antara tuduhan dan jenayah yang disabitkan ke atas Irma Grese:

  • Layanan buruk terhadap tahanan.
  • Melepaskan anjing terlatih yang menyerang tahanan wanita.
  • Menyebat tahanan secara sadis.
  • Membunuh dan menembak.
  • Pemilihan tahanan untuk dihantar ke kamar gas.
  • Berbagai-bagai bentuk penderaan.

Beliau juga dilaporkan mempunyai tabiat memakai but, memegang penyebat dan juga membawa sepucuk pistol. Saksi telah memberikan keterangan bahawa beliau menggunakan cara fizikal dan emosi untuk mendera tahanan wanita di kem tumpuan dan suka menembak tahanan. Saksi juga turut mendakwa bahawa Irma Grese menumbuk wanita-wanita tersebut sehingga mati selain menyebat tahanan lain dengan menggunakan penyebat yang telah ditebat dengan pita selo.

Hukuman[sunting | sunting sumber]

Selepas 53 hari tempoh perbicaraan, sebelas orang didapati bersalah atas jenayah kemanusiaan di Auschwitz dan juga di Bergen-Belsen. Kesemua mereka telah diperintahkan untuk dihukum gantung. Tiga orang merupakan wanita, termasuklah Irma Grese manakala selebihnya lelaki. Ketika keputusan juri dibacakan di mahkamah, hanya Irma Grese sahaja yang tetap ingkar dengan keputusan mahkamah. Rayuan seterusnya oleh Irma Grese telah ditolak.

Irma Grese dan Josef Kramer di luar penjara. Tahun 1945


Pada hari Khamis, 13 Disember 1945 di Penjara Hamelin, Irma Grese telah dibawa ke tempat penggantungan. Wanita-wanita telah digantung dahulu secara berasingan diikuti dengan para lelaki secara berpasangan. Sarjan-Mejar O’neil membantu pelaksana hukuman, iaitu Albert Pierrepoint;


... Kami menaiki tangga ke sel di mana yang terkutuk sedang menunggu. Seorang pegawai Jerman berdiri di tepi pintu yang menuju ke koridor lalu membuka pintu tersebut dan kami … masuk ke bilik hukuman. Para pegawai berdiri di situ. Briget Paton-Walsh berdiri dengan jam tangannya dinaikkan. Dia memberi isyarat kepada saya, dan keluhan daripada hembusan nafas boleh didengari di bilik tersebut, saya berjalan ke koridor. Saya memanggil. "Irma Grese“. Pengawal-pengawal Jerman bergegas... Irma melangkah keluar. Sel itu terlampau kecil untuk saya masuki. „Ikut saya“, kata saya di dalam bahasa Inggeris, dan O’neil akan menterjemahkan arahan saya di dalam bahasa Jerman. Pada pukul 9.34 pagi, dia memasuki bilik hukuman, memandang orang sekeliling buat seketika, kemudian berjalan ke bahagian tengah ruang penggantungan, di mana telah saya tandakan dengan kapur terlebih dahulu. Dia berdiri di atas penanda itu, dan ketika saya sedang memakaikan dia dengan penutup putih di bahagian kepalanya, dia berkata di dalam nada yang lemah, „Schnell“. Dia terus digantung, dan seorang doktor mengikuti saya ke situ dan mengisytiharkan kematiannya. Setelah duapuluh minit kemudian, mayatnya telah diambil dan diletakkan di dalam keranda untuk dikebumikan.


Eric Brown, iaitu juruterbang bagi tentera laut British terkenal, fasih di dalam bahasa Jerman dan telah menemubual segelintir daripada penjenayah Nazi ketika Perbicaraan Nuremberg. Beliau telah menjelaskan Irma Grese sebagai „manusia paling teruk yang pernah saya jumpa“.

Adaptasi Drama[sunting | sunting sumber]

Irma Grese telah diketengahkan sebagai watak sampingan di dalam Out of Ashes di samping The Last Hangman yang mana kedua-dua filem ini menampilkan butir-butir pelaksanaan hukuman matinya dalam perbicaraan jenayah perang di Belsen. Watak Irma Grese juga tampil dalam Auschwitz: The Nazis and the ‘Final Solution’.

Angel: A Nightmare in Two Acts merupakan drama yang ditulis oleh JO Davidsmeyer berdasarkan kehidupan dan kematian Irma Grese dan mangsa holocaust yang terselamat, iaitu Olga Lengyel. Mula dipentaskan pada tahun 1987, drama tersebut telah banyak kali dipentaskan di kolej-kolej. Dalam bulan September 2006, drama tersebut juga telah membuat pementasan sulung professional di New City Stage Company di Philadelphia, Pennsylvania. Drama tersebut telah diterbitkan pada tahun 1995 oleh Wildside Press di dalam antologi Reader’s Theatre: What it is and how to stage it, yang diedit oleh Marvin Kaye.

Lihat Juga[sunting | sunting sumber]

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

  • The Belsen Trial Diarkibkan 2014-05-04 di Wayback Machine, Law-Reports of Trials of War Criminals, The United Nations War Crimes Commission, Volume II, London, HMSO, 1947, capaian 22 December 2006. (Bahasa Inggeris)