John Lisseter Humphreys

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gambaran potret J.L Humphreys

John Lisseter Humphreys (21 September 1881 – 15 Disember 1929) ataupun lebih dikenali sebagai J.L. Humphreys, adalah Penasihat British di Terengganu dari 1919 hingga 1925, dan Gabenor Borneo Utara dari 15 Oktober 1926[1] sehingga kematiannya pada Disember 1929.[2]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Humphreys mendapat pendidikan di Sekolah Bromsgrove. Beliau berkelulusan sarjana klasik dari Brasenose College, Oxford, London dan berkhidmat di Tanah Jajahan Negeri-negeri Selat pada tahun 1905 sebagai Cadet. Antara pelantikan-pelantikan lain, beliau pernah menjadi majistret di Singapura dan Pulau Pinang[3]; adalah Wakil British di Terengganu dari 1916–1919; Penasihat di Terengganu dari 1919–25, Penasihat di Kedah dari 1925–1926, sebelum dilantik sebagai Gabenor Borneo Utara pada Oktober 1926.[4] Beliau merupakan Penasihat British yang pertama di Terengganu dan satu-satunya pegawai British yang paling lama bertugas di bawah kendalian 3 orang Sultan Trengganu yang berbeza iaitu Sultan Zainal Abidin III (1916 -1918), Sultan Muhammad Syah II (1918-1920), dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 – 1925).[5]

Peranan sebagai Penasihat British[sunting | sunting sumber]

Beliau yang berperanan dalam mendesak Sultan Muhammad II menerima dan menandatangani serta mendesak mengakui pertukaran status Wakil kepada Penasihat British yang di tempatkan di Trengganu dalam perjanjian 24 Mei 1919.[6] Ini kerana British bijak mengambil kesempatan dari kes kelemahan wakil pentadbiran Trengganu di daerah Kemaman.[5] Ekoran daripada perjanjian ini, J. L. Humphreys telah dilantik sebagai Penasihat British yang pertama di Terengganu. Dengan perlantikan ini, pentadbiran negeri Terengganu telah berubah corak dan Sultan terpaksa menerima dan mengikut kehendak Penasihat British.[6]

Humphreys menerapkan undang-undang Barat ke dalam sistem perundangan Terengganu. Bagi Humphreys, sistem perundangan berasaskan Islamiyyah-Melayuwiyyah tidak praktikal. Jawatan Sheikhul Ulama yang sebelum itu menjadi penasihat utama Sultan dan Jemaah Menteri, telah disingkirkan daripada pentadbiran negeri. Jawatan itu kemudian dimansuhkan dan diganti dengan Sheikhul Islam, yang hanya bertanggung jawab dalam pentadbiran agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Gaji Sheikhul Islam pula hanya RM150 sebulan, berbanding Penasihat British, RM1,050 sebulan berserta belanja hidup sebanyak RM100 sebulan. Selain itu, Penasihat British juga disediakan rumah, kenderaan, pemandu dan jurutulis, yang semua kos ini perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Lebih ketara lagi, urusan pentadbiran yang memberi keuntungan material ditadbir oleh Penasihat British manakala urusan agama dan adat istiadat Melayu diserahkan kepada Sultan dan Majlis Agama Islam.[6][7]

Tidak disangkal juga, beliau berperanan dalam meningkatkan tahap perkhidmatan “Trengganu Civil Services” seiring dengan Negeri-Negeri di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu. Hubungannya yang rapat dengan Sultan (Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah), Pembesar dan Pengawai Kerajaan Negeri memberikan kelebihan kepadanya di samping fasih dalam bahasa melayu banyak membantu serta menyakinkan kerajaan British bagi menghantar Pegawai Eropah dalam melatih serta memberi tunjuk ajar kepada pegawai-pegawai Melayu yang masih baru dalam pentadbiran di negeri Trengganu.[5]

J. L. Humphreys telah dianugerahkan darjah kehormatan C.B.E. pada tahun 1925 dan C.M.G pada tahun 1928.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Semasa cuti kerjanya pada akhir 1929, dia dijangkiti radang paru-paru dan dikejarkan ke hospital di Tientsin, China di mana dia meninggal dunia pada petang Ahad, 15 Disember akibat kegagalan jantung.[8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ British North Borneo Herald, 16 October 1926; page 191
  2. ^ ArchiveSearch
  3. ^ British North Borneo Herald, 2 August 1926; page 140
  4. ^ Malaysian States
  5. ^ a b c Kesultanan Terengganu Islamiah Melayuwiah – Posts | Facebook
  6. ^ a b c Perjanjian Inggeris – Terengganu 1919 : British biadab, Sultan rela turun takhta - UtusanTV
  7. ^ A Short History of Trengganu, Mubin Sheppard, 1949, JMBRAS.
  8. ^ British North Borneo Herald, 2 January 1930; page 1