Kampung Long Bemang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

PENGENALAN

    Kampung Long Bemang adalah sebuah Kampung yang didiami oleh masyarakat Kaum Kayan Uma Pu. Asal-usul penduduk di sini adalah dari Batu Talang, Long Anyat, Long Keseh dan Long Seni'ai Baram. Perpindahan mereka dipimpin oleh Urip atau mendiang Ketua Kaum Akam Ajang Jok dan dibantu oleh saudara beliau iaitu urip Lake' Uyung Wan. Ahli-ahli beliau ketika perpindahan itu adalah Lake' Anyi Jau, Lake' Uyung Jok Alung, Lake' Uyung Ngau Uvang. Orang tua lain yang turut membantu waktu penghijrahan tersebut ialah Lake' Uyung Uyo' Ngau, Lake' Uyung Ngau Anyie dan Lake uyung Jau Uyo. Kini, Kampung Long Bemang boleh diiktiraf sebagai Kampung terpanjang di Malaysia dimana dianggarkan Kampung Long Bemang mempunyai Lebih dari 250 Buah Pintu.


PERPINDAHAN (BULAK) DARI BATU TALANG KE LONG BEMANG

    Titik permulaan perpindahan penduduk kampung Long Bemang yang ketika itu sedang menetap di Batu Talang, Baram adalah atas nasihat Kerajaan British dahulu. Perbincangan penting dan yang pertama tentang penghijrahan ini bermula pada tahun 1948 sebelum acara Lumba Perahu (kini dikenali sebagai Baram Regatta) dijalankan pada tahun tersebut. Idea perbincangan tentang penghijrahan ini dicetuskan oleh Lake' Taman Juh. Dalam perbincangan tersebut, Penghulu Taman Paya Anyie iaitu Penghulu masyarakat Kayan Uma Pu pada masa itu turut serta. Pemimpin-pemimpin lain yang ada dalam perbincangan tersebut adalah Ketua Kaum Akam Ajang, Ketua Kaum Taman Juh dan beberapa Hipun Uma (Orang Kenamaan) dari Batu Talang dan Long Keseh. Perbincangan ini diadakan selepas Pekan Marudi (pada masa itu diberi nama Claudetoon) terbakar. Semua bangunan terbakar sehingga tiada tempat perjumpaan atau perbincangan yang sesuai, maka perbincangan mereka terpaksa diadakan di gudang mesin padi seorang berbangsa Cina yang bernama Ah Ba.
    Taman Juh amat bersungguh-sungguh dan menggalakkan penghijrahan dari Batu Talang. KK Akam Ajang berkata kepada Penghulu Taman Paya Anyie: "Penghulu Taman Paya, KK Taman Juh berbohong tentang perpindahan itu. Kami tidak pernah mahu berpindah dari Batu Talang". KK Taman Juh berkata "Tidak, saya tidak berbohong, cuba panggil dan tanya Taman Mujan". Taman Mujan pun menjawab "Maafkan saya, saya tidak pandai berkata-kata. Saya hanya pandai nekna (berpantun) sahaja". Namun akhirnya, semua ahli dalam perbincangan tersebut menyokong dan bersetuju agar penduduk Batu Talang berpindah ke Apoh.
    Setelah pesta lumba perahu selesai, Pegawai Daerah Marudi ketika itu, Tuan Griffin, memanggil KK Akam Ajang ke pejabat beliau. Pejabat Daerah ketika itu terletak di bangunan asal Pejabat Daerah Baram di Bukit Kubu. Setibanya KK Akam Ajang di Pejabat Daerah, beliau terkejut kerana Penghulu Gau, Penghulu Kebing, Penghulu Taman Paya Anyie, Penghulu Taman Uding Saging dan Dato' Galau juga ada di situ.
    Dalam mesyuarat tersebut, Tuan Griffin mengarahkan agar KK Akam Ajang memimpin penduduk Batu Talang dan Long Keseh untuk berpindah ke Long Bemang, Apoh dengan secepat mungkin. Ahli mesyuarat yang lain meyakinkan KK Akam Ajang bahawa tanah di Batu Talang tidak subur dan tanah di situ tidak cukup luas untuk menampung penduduk yang ramai seperti sekarang ini. KK Akam Ajang menjawab bahawa Sekiranya seluruh penduduk Batu Talang bersetuju untuk berpindah, baru mereka boleh berpindah. Beliau tidak boleh untuk membuat keputusan sendiri untuk setuju untuk berpindah.
    Penghulu Gau berkata. "Saudara KK Akam, bagus lagi kalau penduduk Batu Talang berpindah sahaja. Kami amat bersimpati melihat keadaan kamu di Batu Talang. Kehidupan kamu di sana sangat susah, susah mencari makanan, susah untuk berkebun dan berhuma sebab tanah di sana tidak subur. Lagipun tanah pamah sangat sempit, hanya tanah bukit sahaja. Apabila kami datang melawat kamu, kamu hanya hidangkan nasi bungkus bercampur dengan ubi kayu dan adakalanyabungkus nasi terkoyak kerana bukan isi ubi kayu sahaja yang dimasak dengan beras dan diadunkan dengan nasi tetapi dengan kayunya sekali. Hati kami amat sedih dan kasihan melihat keadaan kamu di Batu Talang".
    Sememangnya, kehidupan mereka di Batu Talang adalah miskin dan beras atau makanan sentiasa tidak mencukupi. Antara penyebab ini adalah kerana mereka ketika itu berpegang pada adat Pagan yang mempunyai banyak pantang larang. Contohnya, mereka tidak dibenarkan ke huma sekiranya terlihat Burung isit ( a spider hunter bird having a sharp beak, yellow breast and a small chirrup; an important omen in Kayan old adat) atau sekiranya mereka terdengar bunyi burung tersebut. Dengan itu, kebanyakkan masa mereka tidak dapat mengerjakan kebun dan huma mereka. Bila keadaan ini berlarutan, maka kebun dan huma yang tidak dijaga dengan baik tidak akan mengeluarkan hasil yang cukup dan kadang-kadang langsung tiada hasil.
    KK Akam Ajang menjawab " Tapi di Apoh tempat yang disuruh berhijrah ini sudah ada penempatan orang Penan di sana, lagipun orang kata tanah di Bemang dan Tabi' itu adalah tanah kerajaan". Tuan Graffin menjawab, "Memang masyarakat penan sudah ada di sana, tetapi mereka tidak akan menetap di situ selama-lamanya. Mereka di sana sementara shaja. Tempat mereka nanti yang telah disediakan oleh kerajaan adalah di Long Lepuh di atas Apoh. Tanah di Bemang dan Tabi' memang tanah simpanan (Forest Reserve) dan akan diberikan kepada orang yang memerlukan nya, bukan nya tanah terlindung (protected forest). Saya ada menyuruh Penghulu-penghulu yang ada di dalam mesyuarat ini agar menyuruh kamu membawa penduduk Batu Talang berpindah supaya kamu menggunakan tanah di Bemang dan Tabi'. Kerajaan akan bagi semua tanah di kawasan Bemang, Tabi' dan La'ei supaya kamu ada tanah untuk bercucuk tanam, berpadi dan berkebun".
    Atas arahan Tuan Griffin, Dato' Galau serta Tuanku Ali, iaitu Sarawak Native Officer, dan Penghulu Taman Paya Anyie pergi ke Batu Talang untuk mendapat pendapat mereka tentang penghijrahan itu. Hasil daripada tinjauan dan dialog mereka dengan penduduk Batu Talang, mereka mendapati semua penduduk Batu Talang bersetuju untuk berpindah. Selepas itu, semua penduduk Batu Talang bermesyuarat untuk berpindah. KK Akam Ajang masih keberatan untuk berpindah pada awal-awalnya sebab mereka belum lama menetap di Batu Talang dan Rumah Panjangdi Batu Talang baru sahaja didirikan. Beliau juga bimbang KK Taman Juh di Long Keseh tidak mahu membawa rakyatnya berpindah sama ke Apoh.
    Sebelum berpindah, KK Akam Ajang menghantar beberapa Komiti untuk pergi meninjau tanah di kawasan Bemang terlebih dahulu. Antara komiti yang pergi adalah Bui Lihan Avit, beberapa pemimpin dari Long Atip dan Lake' Aban Wan Jau. Apabila mereka pulang, mereka memaklumkan kepada penduduk di Batu Talang bahawa tanah di Bemang sangat Subur dan luas. Masyarakat Kayan Uma Pu yang telah menetap di Apoh juga amat mengalu-alukan penghijrahan tersebut agar mereka dapat bersama-sama dan dapat meramaikan lagi masyarakat Kayan Uma Pu di Apoh.
    Selepas itu, Bui Lihan Avit membawa beberapa keluarga berpindah terlebih dahulu ke Long Bemang tetapi mereka singgah di Long Ikang untuk sementara dan untuk membolehkan mereka menanam ubi kayu sebagai perbelanjaan mereka berpindah sambil menunggu yang laindari Batu Talang. Ada juga diantara mereka terlebih dahulu pergi berhuma di Apoh.
    Pada tahun 1949, KK Akam Ajang bersama-sama dengan penduduk Batu Talang bertolak ke Apoh. Hanya 18 Buah keluarga sahaja yang mengikut beliau tetapi pada persetujuan awal adalah seluruh penduduk Batu Talang dan Long Keseh akan berpindah. Ada diantara mereka berjanji akan menyusul kemudian tetapi mereka tidak berpindah dan terus menetap di situ sehingga ke hari ini.
    Sebab itulah, penduduk Long Ikang ada masyarakat Kayan Uma Pu tinggal bersama-sama dengan masyarakat Kenyah. Pemimpin-pemimpin lain berhasrat untuk menghukum mereka kerana ingkar arahan berpindah tetapi Dato' Galau menghalang dan berkata, "Biarkan mereka dahulu, mungkin mereka akan berfikir dan membuat keputusan untuk menyusul selepas ini". Dengan itu, mereka tidak dihukum dan mereka terus menetap di Long Ikang sehingga ke hari ini. Keluarga yang masih di Batu Talang pula berpindah ke Long Naha'a iaitu asal penempatan masyarakat Kayan Uma Pu yang dipimpin oleh Doh Uring Juk, isteri kepada Penghulu Lake' Baya. Anak mereka, Ding Juk dan adik kepada KK Akam Ajang adalah Ketua Kampung di Long Naha'a.


    PERJALANAN PENGHIJRAHAN (BULAK) KE LONG BEMANG
    Perjalanan dari Batu Talang ke Apoh hanyalah menggunakan sungai, mengayuh perahu kerana ketika itu mereka belum mempunyai enjin sangkut. Saudara-saudara dan sahabat-sahabat handai mereka dari Long Atip yang telah menunggu mereka di Muara Sungai Apoh menghulur bantuan untuk berkayuh dan membawa barang-barang mereka agar perjalanan mereka mudik Apoh sama dijunjung.
    Dari situ, mereka berkayuh bersama-sama sehinggalah sampai ke Sungai Bemang. Di Long Bemang, mereka mendirikan rumah panjang sementara berbentuk luvung (Rumah sementara). Kehidupan merekapada awalnya agak sukar kerana terpaksa memulakan kehidupan yang baharu dan mendirikan rumah panjang mereka. Tetapi rezeki seperti mendapatkan makanan berlimpah ruah dan sangat mudah didapati. 
    Untuk mencari lauk-pauk adalah sangat mudah. ini adalah disebabkan Sungai Apoh mempunyai terlalu banyak ikan, sayur hutan dan binatang liar. Mereka tidak perlu pergi memburu jauh ke dalam hutan, kerana memburu di tebing Sungai Apoh sahaja sudah memadai untuk mendapatkan hasil buruan. Di sungai Apoh juga terdapat pelbagai jenis ikan seperti ikan keli, ikan haruan, baung, bengalan, semah dan sebagainya di dalam Sungai Apoh tidak kira pada musim kemarau atau musim tengkujuh. mereka hanya perlu turun ke sungai dan dalam masa yang singkat mereka sudah boleh memperolehi ikan yang banyak sama ada melalui memancing, menjala, memasang bubu, pukat dan sebagainya. Menjadi satu kegembiraan juga bagi kaum wanita ketika waktu lapang untuk turun ke sungai beramai-ramai untuk menangkap ikan dengan cara menangguk atau lebih dikenali sebagai nyikep.
    Mereka juga mencari hasil hutan seperti rotan untuk dijual kepada pedagang Cina yang datang berdagang ke kampung. Rotan menjadi sumber pendapatan utama mereka pada masa itu. Hasil daripada jualan hasil rotan itu maka dapatlah mereka untuk membeli keperluan harian seperti gula, garam dan sebagainya. Rotan yang banyak di sepanjang Sungai Apoh, Sungai Bemang dan Sungai Tabi' membawa hasil yang cukup lumayan sehingga mereka mampu untuk membeli enjin sangkut jenis Johnson 12 kuda berwarna biru. Enjin tersebut digunakan mereka untuk pergi melawat sanak saudara mereka di kampung yang lain.
    Dalam masa yang sama juga mereka memungut hasil hutan yang lain seperti Damar. Ini dilakukan setelah kerja di huma mereka selesai dan sementara menunggu padi huma mereka masak dan siap untuk dituai.


PERSEMPADANAN TANAH KAWASAN KAMPUNG DI DALAM APOH

    Pada tahun 1955, Penghulu Taman Paya Anyie memanggil semua masyarakat Kayan di Apoh untuk bertemu di Kampung Long Atip. Semua Ketua Kampung dan Komiti setiap kampung pergi ke Long Atip kerana jemputan tersebut. Dalam pertemuan itu, masing-masing menasihatkan agar setiap individu sentiasa ingat dan berpegang kepada adat resam mereka. Ada juga yang mengatakan syukur mereka kerana saudara-mara mereka dari Batu Talang telah berpindah ke Long bemang dengan selamat di bawah pimpinan KK Akam Ajang.
    Tujuan utama pertemuan ini adalah untuk membincangkan sempadan tanag di antara kampung-kampung dalam Apoh terutamanya Kampung Long Bemang. KK Taman Weng Umo' berkata "Tidak usah kita banyak cakap tentang sempadan tanah. Umpama kita pergi berburu di dalam hutan, kita mengongsikan dan membahagi-bahagikan nasi kita dengan rakan kita yang tidakada nasi, macam itu jugalah kita yang bersaudara ini tentang tanah. Kita harus berbincang dengan baik baru kita dapat hidup berjiran dan harmoni di kawasan Apoh ini". Semua yang hadir masa itu bersetuju sebab memang benar apa yang dikatakan oleh beliau.
    Sempadan tanah di antara Kampung Long Buang, Long Bemang dan Long wat juga dibincangkan. Mereka memutuskan agar : Bahagian sebelah kiri mudik Sungai Apoh bermula dari bukit kawasan kubur kaum penan di Long Buang dan di sepanjang Bukit Ayau adalah sebagai garis sempadan. Sungai-sungai kecil yang mengalir dari bukit tersebut dan mengalir masuk ke Sungai Apoh adalah kawasan Long Buang dan Long Wat. Sungai-sungai yang mengalir dari bukit sempadan antara Long Bemang hingga Ara (Sebelah kiri mudik Ara) adalah tanah perkongsian antara Long Bemang dengan Long Buang. Sempadan Long Bemang dengan Long Atip dan Long Bedian adalah sepanjang Bukit Aju dan La'ai. Mana-mana sungai yang mengalir ke arah Ajudan Apoh adalah milik Long Atip dan Long Bedian. Sungai yang mengalir ke La'ai adalah milik Long Bemang. Keputusan ini dipersetujui oleh Pegawai Daerah Tuan McSporen dan Dato' Galau yang mengurus persempadanan tanah antara kampung-kampung ini.
    Dalam tahun yang sama (1955), perbincangan tentang sempadan tanah di antara Kampung Long Panai dan Long Bemang juga diadakan. KK Akam Ajang dan ahli komiti berkata, mereka hanya mengharap kata putus dan budi baik pemimpin Kampung Long Panai sahaja. KK Bui Ding dan ahli komitinya berbincang sesama merekasendiri di dalam rumah Lake' UyungNgau Uvang. Mereka bersetujuagar Sungai Dian Parai Ubek di sebalah kiri mudik Sungai Apoh dan Sungai Avang di sebelah kanan adalah sebagai sempadan. Lake' Buang tidak bersetuju kerana hanya beliau sahaja berkebun di kawasan itu dan tiada orang lain selain dari beliau seorang diri. Tetapi ahli komiti lain menolak pendapat Lake' Buang dan mereka kata Lake' Buang hanya komiti di sekolah dan mereka adalah lebih berkuasa dan berhak dalam menentukan hal ini.
    Selepas perbincangan dilakukan, merekapun keluar dari rumah Lake' Uyung Ngau Uvang dan memaklumkan kepada semua yang hadir tentang keputusan mereka. Mereka mengumumkan bahawa sempadan tanag di antara Long Panai dan Long Bemang adalah Sungai Dian Parai Ubek di sebelah kiri Sungai Apoh dan Sungai Avang di sebelah kanan jika mudik Sungai Apoh. Penghulu Taman Uding Saging dan Penghulu Taman Paya Anyie yang mengendalikan perbincangan persempadanan tanah tersebut. KK Akam Ajang dan komiti dari Long Bemang amat berterima kasih kepada KK Bui Ding dan ahli-ahli komitinya atas keputusan dan juga kebaikan mereka. Untuk menandakan persetujuan sempadan tersebut, wakil-wakil dari kedua kampung ini telah sama-sama pergi menebas dan menebang kayu-kayu di tempat sempadan seperti yang dipersetujui sebagai tanda sempadan antara kampung yang sah.


PERPINDAHAN PENDUDUK KAMPUNG LONG ANYAT, LONG SENI'AI PATAH DAN LONG KESEH KE LONG BEMANG

    Antara tahun 1955-1956, masyarakat Kayan Uma Pu dari Long Anyat, Patah pula berhijrah ke Long Bemang sejurus selepas lawatan Gabenor Sarawak di Long Terawan. sebanyak 20 buah keluarga datang. Dalam masa yang sama, ada juga beberapa keluarga dari Telang Usan berpindah ke Long Bemang sehingga Long bemang bertambah besar. Mereka berpindah atas arahan pemimpin mereka iaitu Penghulu Lake' Taman usung agar masyarakat Kayan Uma Pu semuanya berpindah ke Long Belanah di dalam Apoh.
    Selepas tahun 196, Penduduk Long Bemang semakin bertambah lagi sebab ada juga penduduk dari Kampung Long Seni'ai, Long Keseh dan Long Anyat datang berhijrah ke Long Bemang.
    Penghijrahan Kaum uma Pu pada masa itu memanglah hasil dari persetujuan pemimpin-pemimpin Kaun Uma Pu dalam satu mesyuarat di Long Akah dari dahulu lagi. Kerajaan juga membenarkan masyarakat Kayan Uma Pu untuk berpindah ke Apoh. Bukan sahaja penduduk di Batu Talang diarahkan untuk berpindah tetapi juga penduduk di Long Keseh dan Kampung-kampung yang lain di kawasan Patah.


KEADAAN SOSIO-EKONOMI

    Kehidupan di Long Bemang semakin bertambah baik sejak mereka berhijrah. Selain dari hasil padi yang banyak, aktiviti memungut hasil hutan masih lagi diteruskan. Kehidupan mereka sangat harmoni dan saling tolong-menolong. Setiap sambutan perayaan, mereka akan mengadakan jamuan makan beramai-ramai di ruai rumah panjang. Mereka juga akan bergotong royong membantu keluarga yang mendapatkan kesusahan seperti kematian dan sebagainya.
    Pada tahun 1960, kerajaan mensihatkan agar rakyat Long Bemang menanam getang yang dipanggil Getah Malaya. Kerajaan juga telah membimbing mereka menubuhkan Koperasi Long Bemang. Bermula dari itu, semua penduduk Long Bemangrajin dan bertungkus lumus menanam getah dan padi. Pada penghujung tahun tersebut, mereka dapat menghasilkan padi yang cukup banyak dan Koperasi tersebut sangat maju sehinggakan Pengarah Jabatan Koperasi ketika itu, Mr. Brown telah menganugerahkan 6 gelas tembaga (perak) sebagai tanda kerjasama dan juga penghargaan kerajaan terhadap kemajuan Kopersi Long Bemang. Getah juga sangat subur dan hasil perolehan dari getah memberi keselesaan hidup kepada masyarakat Long Bemang.
    Taraf ekonomi semakin bertambah baik, namun Long Bemang tidak mempusai pusat dagangan atau kedai sebagai tempat mereka untuk berjual beli. Hanya terdapat seorang sahaja yang mendirikan kedai di dalam rumah iaitu En. Laing Uyo. Bot Kedai yang dimiliki oleh pedagang Cina masih juga berdagang di Long Bemang. Atas kesedaran perlunya tempat mereka berjual beli, maka mereka menubuhkan satu lagi Koperasi dan ianya sangat maju pada tahun 1960 sehingga 170 kerana hasil padi, getah dan lain-lain hasil pertanian.
    Oleh kerana penduduk sudah bertambah ramai, rumah panjang mereka sudah tidak lagi dapat untuk menampung penduduk yang ramai. Oleh itu, KK Akam Ajang memohon lesen daripada kerajaan untuk mendapatkan kayu untuk mendirikan rumah panjang yang baharu dengan cara menambah jumlah bilik. Pada tahun 1965, Jabatan Hutan telah mengeluarkan lesen tersebut. dengan itu, penduduk Long Bemang telah menebang kayu di kawasan Bemang, Tabi', dan La'ai. Mereka hanya menggunakan kapak untuk menebang pokok. Kayu yang telah ditebang akan diikat sebagai rakit dan dihanyutkan melalui sungai Apoh sehingga ke Sawmill Hiap Hong di Marudi. Mereka menjual kayu balak di situ dan di situ jugalah mereka membeli papan dan lain-lain keperluan untuk membina rumah. Hasilnya, dapatlah mereka membina rumah panjang yang baharu sebanyak 115 pintu dan ini adalah berlaku diantara tahun 1967-1968.


JAGUH LUMBA PERAHU PANJANG

    Long Bemang pernah menghasilkan perahu lumba yang sangat panjang iaitu sepanjang 13 depa dan diberi nama Tikus Lari. Nama ini diberikan bukan kerana mereka sudah ketandusan idea untuk mencari nama perahu yang sesuai dan lebih popular. Namun disebalik nama ini, terdapatnya cerita yang sangat unik dimana nama ini diperolehi.
    Pada suatu petang, masyarakat Long Bemang telah berkumpul untuk bermesyuarat dan memikirkan nama yang sesuai untuk diberikan kepada perahu yang baharu sahaja dibina tersebut. Dalam keasyikan mereka berfkir untuk mendapatkan nama tersebut, secara tiba-tiba munculnya seekor tikus dan melompat keluar dari lari ditengah mereka. Lalu Encik Anyie Uyo berpendapat untuk menamakan perahu tersebut sebagai Tikus Lari. Semua yang hadir pada mesyuarat tersebutpun telah bersetuju untuk menamakan perahu itu sebagai Tikus Lari. Sesungguhnya, nama unik tersebut telah membawa tuah dan memasyurkan nama Kampung Long Bemang dipersada Lumba Perahu di kawasan Baram.
    Semasa Regatta Baram pada tahun 1958, Long Bemang tekah mendapat tempat pertama dalam perlumbaan perahu panjang di Marudi. Itulah kali pertama Tikus Lari menyertai pertandingan tersebut dan terus mengungguli acara tersebut. Itu adalah piala pertama yang diperolehi olej Long bemang. Penduduk Long Bemang sangat gembira dan mereka menyambut piala kemenangan itu dengan jamuan secara besar-besaran sebagai tanda kesyukuran.
    Pada tahun 1960, Sekali lagi Regatta Baram diadakan dimana Long Bemang telah menghantar perahu Tikus Lari dan sekali lagi telah memenangi acara pendayung teramai. Pada tahun ini, Long Bemang telah memenangi 2 piala khas iaitu Piala Tuan Hardin dan Piala Tuan Carter.
    Pada tahun 1962, sekali lagi Tikus Lari telah memenangi Piala Gabenor iaitu piala untuk kemenangan yang terbesar. Long Bemang sangat terkenal dan disegani di seluruh Telang Usan kerana telah menjadi satu kuasa besar dan terkuat dalam bidang perlumbaan perahu panjang atas nama Tikus Lari.


PERLANTIKAN KK AKAM AJANG SEBAGAI PENGHULU

    Pada 1 Julai 1974, KKAkam Ajang telah dilantik sebagai Penghulu bagi menggantikan Penghulu Taman Paya Anyie yang telah bersara. KK Akam Ajang sebelum ini pernah dicadangkan untuk menjadi Penghulu namun telah menolak tawaran tersebut sebanyak 2 kali. Kali pertama surat perlantikan itu dikeuarkan oleh kerajaan adalah semasa beliau masih menetap di Sungai Utun, Telang Usan iaitu pada sekitar tahun 1940-an. Namun, beliau menolak tawaran tersebut kerana masib berpegang kepada nasihat bapa beliau, Penghulu Taman Wan Baya yang selalu menegaskan supaya dua orang Peghulu tidak seharusnya wujud untuk masyarakat Kayan Uma Pu dalam masa yang sama kerana bimbang akan berlakunya perpecahan di kalangan mereka.
    Kali kedua ditawarkan menjadi Penghulu adalah selepas beberapa tahun setelah mereka berpindah ke Long Bemang. Beliau dicadangkan untuk menjadi Penghulu untuk masyarakat Kayan kaum Uma Pu untuk seluruh Telang Usan. Namun, beliau masih lagi menolak tawaran tersebut dan beliau telahpun berjumpa dengan Datuk Temenggong Uyong Lawai Jau untuk memaklumkan penolakan tersebut  dan meminta Temenuggong untuk memaklumkan kepada Pegawai Daerah mengenai penolakan tersebut.
    Pada cadangan kali ketiga, beliau tidak lagi dapat menolak tawaran tersebut atas sebab bimbang akan tanggapan phak kerajaan bahawa beliau tidak dapat memberi kerjasama dengan kerajaan. Beliau juga bimbang pihak kerajaan akan beranggapan bahawa masyarakat Kayan Uma Pu tidak mahu untuk dilantik sebagai Penghulu setelah 34 tahun tawaran tersebut ditolak. KK Akam Ajang telah menjadi Penghulu Kaum Kayan Uma Pu yang pertama di Telang Usan.
  Sebelum dilantik sebagai Penghulu, beliau jua pernah menjadi Kaunselor di Kawasan Apoh sejak tahun 1963. Beliau meletak jawatan sebagai Kaunselor dan juga sebagai Ketua Kampung Long Bemang selepas perlantikan tersebut. Anak lelaki beliau, Encik Ngau Ajang telah diberi mandat untuk menggantikan tempat beliau sebagai Ketua Kampung yang baharu.


TAMBAHAN RUMAH PANJANG YANG BAHARU (EXTENSION)

    Setelah sekian lama, timbul idea untuk membina blok rumah panjang yang baharu kerana rumah panjang yang sedia ada tidak dapat menampung penduduk yang ramai kerana wujudnya keluarga nuklear yang ramai di dalam satu bilik/ rumah. Dengan itu, Penghulu, Ketua Kampung dan Ahli Komiti kampung telah berbincang dengan pemilik tanah yang berhampiran untuk memberi tanah mereka sebagai tapak perumahan yang baharu tersebut.
    Dengan persetujuan semua, tanah bukit di kawasan hulu kampung telah diratakan dan setiap keluarga yang mendirikan rumah di situ hendaklah membayar RM300.00 setiap lot kepada pemilik tanah. Syarikat pembalakan dimohon untuk membantu dalam meratakan kawasan tapak perumahan tersebut.Syarkat pembalakan ini telah mengambil masa selama 3 bulan untuk meratakan kawasan tapak rumah panjang yang baharu ini. Stelah diratakan, penduduk kampung juga telah memohon Projek Skim Pinjaman Pembinaan Rumah Panjang daripada Kementerian Perumahan Negeri Sarawak dan pinjaman sebanyak RM550,000.00 telah diluluskan. Dengan itu, maka pembinaan rumah-rumah ini telah dapat dimulakan.


PENUTUPAN

    Kesimpulannya, Kampung Long Bemang boleh dikatan antara kampung yang cukup maju dibawah kepimpinan Penghulu Akam Ajang pada masa tersebut. Dan pada tarikh 19 Jun 1993 adalah sejarah hitam bagi seluruh masyarakat Kampung Long Bemang dimana  pada tarikh tersebut, Beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir beliau di Kampung Long Bemang. Penduduk Kampung Long Bemang amat bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin seperti beliau dan kehilangan beliau amat dirasai. Namun jasa dan perkhidmatan beliau tetap diingati oleh masyarakat Kampung Long Bemang. Beliau adalah seorang pemimpin yang tabah, semangat yang kuat, disegani, dipercayai dan seorang pemimpin yang mesra kepada setiap lapisan masyarakat. Nasihat beliau yang sentiasa diingati adalah "Tuahn Nombor Satu, Kerajaan Nombor Dua: itulah tujuan hidup kita di dunia ini".
    Pada tahun 1994, anak beliau KK Ngau Ajang, Ketua Kampung Long Bemang telah dilantik sebagai Penghulu bagi menggantikan tempat beliau sebagai Penghulu di Kawasan Apoh. Taman Hunai Ding iaitu ipar kepada KK Ngau Ajang yang juga anak kepada mendiang Penghulu Taman Paya Anyie telah dilantik sebagai Ketua Kampung Long Bemang yang baharu.Perlantikan tersebut telah diperakui oleh Kerajaan.