Kromatografi gas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kromatograf gas dengan pensampel ruang tutupan

Kromatografi gas (GC, Inggeris: gas chromatography) ialah jenis kromatografi biasa yang digunakan dalam kimia analitik untuk mengasing dan menganalisis sebatian-sebatian kimia yang boleh diwapkan tanpa mereput. Antara kegunaan biasa kromatografi gas adalah untuk menguji ketulenan bahan tertentu, atau untuk mengasingkan komponen-komponen berbeza dalam satu camputan (jumlah relatif komponen-komponen tertentu juga boleh ditentukan). Dalam sesetengah keadaan, kromatografi gas juga boleh membantu mengenalpasti suatu sebatian. Dalam kromatografi sediaan, kromatografi gas boleh digunakan untuk menyediakan sebatian tulen daripada satu campuran.[1][2]

Dalam kromatografi gas, fasa bergerak ialah gas pengangkut yang biasanya merupakan gas adi seperti helium atau gas yang tidak reaktif seperti nitrogen. Fasa pegun ialah lapisan cecair atau polimer mikroskopik di atas sokongan pepejal lengai di dalam tiub kaca atau logam yang dinamakan turus (penghormatan kepada turus pemeringkatan yang digunakan dalam proses penyulingan). Alat yang digunakan untuk menjalankan kromatografi gas dinamakan kromatograf gas (atau "aerograf" atau "pengasing gas").

Sebatian-sebatian dalam bentuk gas yang dianalisa bertindak balas dengan dinding turus yang diliputi fasa pegun. Kesannya, setiap sebatian terelusi pada masa-masa yang berbeza, yang dikenali sebagai masa penahanan sebatian tersebut. Perbandingan masa-masa penahanan ini yang memberikan kromatografi gas kegunaan analitiknya.

Kromatografi gas secara prinsip serupa dengan kromatografi turus (dan juga bentuk-bentuk lain kromatografi seperti HPLC dan TLC), namun dengan beberapa perbezaan ketara. Pertama, proses pengasingan sebatian-sebatian dalam campuran dilakukan di antara fasa pegun cecair dan fasa bergerak gas, manakala dalam kromatografi turus, fasa pegunnya adalah pepejal dan fasa bergerak pula adalah cecair (oleh sebab ini, nama penuh prosedur ini ialah "kromatografi gas-cecair" yang masing-masing merujuk kepada fasa pegun dan bergerak). Kedua, turus yang dilalui fasa gas terletak di dalam ketuhar yang boleh mengawal suhu gas itu, sementara kromatografi turus (biasanya) tidak mempunyai kawalan suhu sebegitu. Ketiga, kepekatan sebatian dalam fasa gas hanyalah fungsi kepada tekanan wap gas tersebut.[1]

Kromatografi gas juga serupa dengan penyulingan berperingkat kerana kedua-dua proses mengasingkan komponen-komponen sebatian mengikut takat didih (atau tekanan wap). Namun, penyulingan berperingkat biasanya digunakan untuk mengasingkan komponen-komponen campuran dalam skala besar, manakala kromatografi gas boleh digunakan bagi skala yang lebih kecil (misalnya skala mikro).[1]

Kromatografi gas dikenali juga dengan nama kromatografi fasa wap (VPC) atau kromatografi sekatan gas-cecair (GLPC). Nama-nama alternatif ini dan akronim masing-masing sering digunakan dalam karya ilmiah. Sebenarnya, GLPC ialah istilah yang paling tepat, dan disebabkan ini istilah ini digemari oleh ramai penulis.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d Pavia, Donald L., Gary M. Lampman, George S. Kritz, Randall G. Engel (2006). Introduction to Organic Laboratory Techniques (4th Ed.). Thomson Brooks/Cole. m/s. 797–817. ISBN 978-0-495-28069-9. 
  2. ^ "Gas Chromatography". Linde AG. Dicapai pada 11 March 2012.