Lembaga Tabung Angkatan Tentera

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)
Ditubuhkan Ogos 1972
Ibu pejabat Bangunan LTAT, Jalan Bukit Bintang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia
Laman sesawang www.ltat.org.my

Lembaga Tabung Angkatan Tentera atau singkatannya LTAT ialah sebuah badan berkanun kerajaan yang telah ditubuhkan melalui akta parlimen, Akta 101, 1973 bagi mengadakan faedah-faedah persaraan dan faedah-faedah lain kepada anggota lain-lain pangkat dan satu skim simpanan kepada pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan anggota kerahan dalam pasukan sukarela.

Objektif[sunting | sunting sumber]

LTAT mempunyai dua objektif utama:

  • Objektif utama yang pertama ialah mengadakan faedah-faedah persaraan dan faedah-faedah lain untuk pegawai dan anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan satu skim simpanan untuk Anggota Kerahan Angkatan Sukarela.
  • Objektif utama yang kedua ialah melaksanakan program-program latihan peralihan bagi anggota angkatan tentera yang akan atau telah bersara.

Visi[sunting | sunting sumber]

Menjadi sebuah organisasi pengurusan dana yang berjaya dan dicontohi oleh badan-badan Kerajaan dan korporat.

Misi[sunting | sunting sumber]

LTAT telah menggariskan tiga misi penting seperti berikut:

  • Mengadakan faedah persaraan dan sosioekonomi yang bermutu tinggi untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia.
  • Membantu dalam pembangunan negara melalui pelaburan yang berhemat dan menguntungkan.
  • Menerapkan nilai kualiti dan budaya kerja cemerlang di kalangan pekerja dan bekerja secara berpasukan dengan penuh dedikasi, tanggungjawab, disiplin, amanah, proaktif, dan inovatif ke arah pencapaian yang cemerlang dan berterusan.

Dasar Kualiti[sunting | sunting sumber]

LTAT adalah komited untuk menjadi sebuah organisasi berwibawa dan mencapai tahap pengurusan dana wang caruman anggota angkatan tentera yang tinggi bagi memenuhi ekspektasi pelanggan dari segi pemberian perkhidmatan dan pulangan wang caruman serta meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan kualiti secara berterusan.

Caruman[sunting | sunting sumber]

Di bawah skim persaraan, pencarum wajib dikehendaki mencarum 10% daripada gaji bulanan kepada LTAT dan kerajaan akan mencarum sebanyak 15% sebagai majikan. Di bawah skim simpanan bagi pencarum sukarela simpanan dibenarkan sekurang-kurangnya RM25 sebulan sehingga had maksimum RM2,000 sebulan.

Piagam Pelanggan LTAT[sunting | sunting sumber]

Kami berjanji akan melaksanakan tanggungjawab dan memainkan peranan sebagai organisasi yang boleh dicontohi dengan memberikan perkhidmatan yang profesional dan mencapai satu standard kualiti yang cemerlang bagi menjamin keselesaan pencarum merangkumi perkara-perkara berikut:-

  • Mengurus kumpulan wang dan harta pencarum dengan cara yang paling cekap dan mematuhi urus tadbir korporat yang baik untuk mendapatkan pulangan yang sebaik-baiknya supaya nilai kumpulan wang dan harta ini terpelihara;
  • Pemberian kadar dividen dan bonus yang tinggi hasil dari strategi pelaburan yang cekap dan berhemah;
  • Memastikan sistem pengurusan kualiti kerja yang sesuai, mencukupi dan berkesan untuk mencapai kecemerlangan sistem penyampaian perkhidmatan.
  • Meningkatkan, mengenal pasti dan mewujudkan faedah-faedah baru untuk pencarum melalui konsep penambahbaikan berterusan;
  • Memenuhi dan mengenal pasti kehendak pencarum melalui Borang Kaji Selidik Tahap Kepuasan Pelanggan yang diedarkan kepada pencarum;
  • Pembayaran pengeluaran tamat perkhidmatan diproses dalam tempoh 24 jam daripada tarikh LTAT menerima dokumentasi dan maklumat yang lengkap; dan
  • Pembayaran pengeluaran perumahan diproses dalam tempoh 24 jam daripada tarikh LTAT menerima dokumentasi dan maklumat yang lengkap.

Masa Depan[sunting | sunting sumber]

Melalui perancangan strategik yang terperinci, LTAT telah berjaya melaksanakan pelbagai program bagi mencapai wawasan dan matlamat bagi mempertingkatkan kedudukan sosioekonomi anggota angkatan tentera yang sedang berkhidmat dan juga bagi mereka yang telah bersara.

LTAT akan meneruskan dasar dan strategi untuk mempelbagaikan portfolio pelaburannya. Walau bagaimanapun, penekanan akan diberikan ke atas sektor pembuatan, sektor pembangunan hartanah, dan sektor kewangan dan di dalam projek-projek penswastaan kerajaan.

LTAT dijangka dapat meneruskan pertumbuhan yang dinamik dan progresif dalam semua kegiatannya. LTAT juga akan menunaikan tanggungjawabnya untuk menguruskan tabungan pencarum dan aset-aset yang diamanahkan kepadanya dengan cara yang paling berkesan dan cekap supaya dapat memberikan pulangan yang sebaik mungkin, dan melindungi nilai dananya.

LTAT akan terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terus mengenalpasti dan mewujudkan faedah-faedah baru untuk pencarum-pencarumnya dan melaksanakan program-program sosioekonomi yang lebih inovatif untuk bekas anggota angkatan tentera.

Perbadanan[sunting | sunting sumber]

Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA)

Perbadanan Perwira Niaga Malaysia atau PERNAMA, sebuah perbadanan milik penuh LTAT yang ditubuhkan dalam tahun 1983, mengendalikan rangkaian kedai-kedai runcit di kem-kem ATM di seluruh negara untuk menjual barangan pengguna, sebahagiannya bebas cukai, kepada anggota angkatan tentera dan keluarga mereka.

Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM)

Perbadanan Perwira Harta Malaysia atau PPHM, sebuah lagi perbadanan milik penuh LTAT, telah ditubuhkan dalam tahun 1984 untuk menjalankan aktiviti perniagaan berhubung dengan pengambilan, pembelian, pemilikan, penyewaan, pemajakan, pembangunan dan penjualan harta, menawarkan perkhidmatan pengurusan projek harta tanah serta menjalankan aktiviti penyelenggaraan harta bagi pihak LTAT.

Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT)

Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera atau PERHEBAT adalah perbadanan milik penuh ketiga LTAT. Ditubuhkan dalam tahun 1994, PERHEBAT menawarkan pelbagai program latihan dalam bidang kemahiran teknikal, vokasional dan keusahawanan untuk anggota angkatan tentera yang akan dan telah bersara.

Yayasan LTAT[sunting | sunting sumber]

Yayasan LTAT ialah sebuah yayasan yang ditubuhkan bersama oleh Syarikat-Syarikat Kumpulan LTAT yang diterajui oleh Boustead Holdings Berhad.

Objektif utama penubuhan Yayasan ini ialah untuk mengumpulkan seberapa banyak dana yang boleh dari kalangan Syarikat-Syarikat Kumpulan LTAT untuk ditawarkan sebagai biasiswa kepada anak-anak anggota ATM yang sedang berkhidmat dan yang telah bersara yang mencapai kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan-peperiksaan seperti UPSR dan PT3.

www.yayasanltat.org.my