Mahkamah Hooggerechtshof

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Mahkamah Hooggerechtshof ialah mahkamah tertinggi Indonesia yang terletak di Jakarta pada zaman penjajahan Hindia Belanda, dengan bidang kuasanya meliputi seluruh Indonesia.

Melalui Keputusan Gabenor Jeneral Hindia Belanda pada 3 Disember 1847 yang dikuatkuasakan pada 1 Mei 1848, susunan mahkamah di Jawa dan Madura ditetapkan seperti yang berikut :

  1. Mahkamah Hooggerechtshof (Mahkamah Agung)
  2. Mahkamah Raad van Justitite
  3. Mahkamah Rechtbank van Omgang
  4. Mahkamah Landraad
  5. Mahkamah Regentschapsgerecht (Mahkamah Keregenan)
  6. Mahkamah Districtsgerecht (Mahkamah Daerah).


Organisasi[sunting | sunting sumber]

Mahkamah Hooggerechtshof terdiri daripada:

  1. seorang Ketua dan dua orang pembantu
  2. seorang Peguam Cara Negara
  3. dua orang Peguam Bela Negara
  4. seorang Pendaftar yang dibantu oleh satu atau lebih Penolong Pendaftar.

Jika perlu, Gabenor Jeneral juga berhak untuk menambah bilangan kakitangan Mahkamah Hooggerechtshof dengan seorang Timbalan Ketua dan satu atau lebih orang anggota lagi.

Barisan Hooggerechtshof yang terakhir[sunting | sunting sumber]

Pada masa menjelang pengakuan kedaulatan Indonesia (12 Disember 1947), Mahkamah Hoogierechtshof beralamat di Jalan Lapangan Banteng Timur 1, Jakarta, di sebelah Istana Gabenor Jeneral yang sekarang merupakan bangunan Jabatan Kewangan.

Susunan Hooggerechtshof ketika itu terdiri daripada:

  • Ketua: G. Wijers
  • Pembantu Ketua: 2 orang Indonesia, iaitu Notosubagio, dan Oeanoen, serta 2 orang Belanda, iaitu Peter, dan seorang lain yang namanya tidak diketahui
  • Pendakwa Agung: Bruyns
  • Penolong Pendakwa Agung: Oerip Kartodirdjo.

Bidang kuasa[sunting | sunting sumber]

Tugas dan bidang kuasa Mahkamah Hooggerechtshof adalah seperti yang berikut:

  1. Mengawasi jalan peradilan di seluruh Indonesia sehingga dapat berjalan secara patut dan wajar.
  2. Merupakan mahkamah rayuan untuk semua keputusan mahkamah Indonesia yang lebih rendah.
  3. Mengawasi perbuatan mahkamah-mahkamah serta kelakuan para hakim.
  4. Berhak meminta laporan dan keterangan daripada semua mahkamah, baik sivil mahupun tentera, serta juga daripada Peguam Cara Negara dan penjawat-penjawat awam yang lain.
  5. Bertindak sebagai peringkat pertama dan terakhir dalam mengadili perselisihan tentang bidang kuasa antara mahkamah-mahkamah.
  6. Memberikan teguran-teguran apabila diperlukan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]