Mohammed Hassan Ayat Zainuddin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Mohammed Hassan Ayat Zainuddin (28 September 1981 - disyaki meninggal dunia sekitar Februari / Mac 2009) adalah seorang pendaki rakyat Malaysia yang hilang sewaktu menuruni Gunung Yong Yap di sempadan Perak - Kelantan pada 15 Februari 2009. Beliau tidak ditemui sehingga hari ini.

Hassan Ayat
Kelahiran28 September 1981
Hilang pada15 Februari 2009
WarganegaraMalaysia
Pusat pendidikanUiTM Dungun
MajikanRHB Bank

Latarbelakang[sunting | sunting sumber]

Hassan Ayat dilahirkan sebagai anak kedua dari lima cahayamata pasangan Zainuddin Shariff, seorang kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Norhayati Abdul Razak, seorang surirumah. Hassan dibesarkan di rumah keluarganya di SS4A Kelana Jaya, Selangor. Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad di bandar yang sama. Beliau melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam bidang Pengajian Perniagaan di UiTM Dungun, Terengganu, tetapi tidak menghabiskannya. Beliau bertaraf bujang, bekerja sebagai seorang kerani di RHB Bank di Bangi, Selangor, dan menggunakan kacamata (sewaktu kembara mendaki Gunung Yong Yap yang menjadi titik kehilangannya, beliau telah meninggalkan kacamatanya di pejabat). Hassan merupakan seorang pendaki yang aktif menyertai ekspedisi mendaki gunung dan tanah tinggi di dalam dan luar negara.

Kehilangan[sunting | sunting sumber]

Hassan bersama 13 orang lagi menyertai ekspedisi kembara mendaki Gunung Yong Yap, puncak keenam tertinggi di Semenanjung Malaysia, di sempadan Kelantan - Perak, pada lewat petang Jumaat 13 Februari 2009. Pendakian mereka bermula di Kg. Sg. Rengil, Pos Brooke di jajahan Gua Musang di Kelantan, pada awal pagi Sabtu 14 Februari.

Setelah berjalan hampir 16km dari Sg. Rengil, kumpulan ekspedisi mereka tiba di tapak Kem Agas, di mana mereka bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Yong Yap yang dirancang pada awal esok paginya (Ahad 15 Februari). Keesokannya, seperti yang dirancang, ekspedisi berkenaan tiba di puncak Gunung Yong Yap sekitar jam 11 pagi. Setelah kira-kira sejam di puncak, mereka memulakan perjalanan pulang menuruni gunung berkenaan. Hassan berada di kedudukan keempat dalam barisan ahli ekspedisi berkenaan. Beliau yang bergerak agak perlahan kerana masalah kesakitan lutut telah dipintas dengan izinnya oleh pendaki di belakangnya tidak jauh selepas meninggalkan puncak. Pintasan ini adalah kali terakhir Hassan dilihat oleh mana-mana ahli kumpulan ekspedisi berkenaan.

Apabila ekspedisi berkenaan tiba di tapak Kem Agas semula sekitar jam 4 petang, ketua ekspedisi memulakan pengiraan ahli dan didapati Hassan tidak ada bersama mereka. Satu pencarian dilakukan oleh kesemua ahli, tetapi panggilan mereka kepada Hassan tidak bersahut. Disebabkan hari semakin gelap, kumpulan ekspedisi berkenaan memutuskan untuk meneruskan perjalanan keluar untuk memohon bantuan pihak berkuasa dan membuat laporan polis. Laporan cuba dibuat di balai polis Kg. Raja di Cameron Highlands, Pahang. Akan tetapi kerana kejadian berlaku dalam negeri Kelantan, mereka terpaksa membuat laporan di pondok polis Lojing, yang sedikit terlewat kerana ketika itu kehilangan Hassan belum mencukupi 48 jam untuk ditakrifkan sebagai orang hilang. Pihak berkuasa menerima laporan dan mula menggerakkan usaha mencari dan menyelamat pada 17 Februari.

Usaha mencari Hassan dijalankan secara besar-besaran; pada mulanya melibatkan golongan pendaki Malaysia, sebelum dibantu dan diambil alih pihak polis dan tentera. Pencarian dijalankan di sepanjang trek laluan menaiki gunung berkenaan, dan turut dipanjangkan dari arah Kuala Mu di Perak, sehingga ke laluan ke Gunung Berhid yang terletak bersebelahan Yong Yap. Walau bagaimanapun usaha berkenaan hanya menjumpai bukti-bukti kecil kewujudan Hassan - seperti tapak kasut, kesan tempat beliau bermalam dan sisa tumbuhan yang cuba dimakan. Satu kecurigaan turut ditemui: beberapa batang kayu teguh yang menutupi trek laluan dari puncak Yong Yap ke Gunung Bubu yang terletak ke selatan Yong Yap, didapati telah jatuh seperti dilanggar. Kawasan ini terletak tidak jauh dari puncak Yong Yap. Berikutan penemuan ini, pasukan pencari turut meliputi trek ke Gunung Bubu dalam usaha mereka mencari Hassan. Namun beliau gagal ditemui.

Setelah 40 hari usaha pencarian dijalankan, ia dihentikan pada 27 Mac di atas arahan Ketua Polis Kelantan, kerana ketiadaan bukti baru tentang keberadaan Hassan. Pasukan pendaki walau bagaimanapun dibenarkan meneruskan carian atas usaha dan risiko mereka sendiri.

Sijil kematian Hassan dikeluarkan pada keluarganya pada tahun 2011, dua tahun selepas kehilangannya, dan beliau dianggap telah meninggal dunia.

Legasi[sunting | sunting sumber]

Usaha pencarian Hassan menjadi titik tolak penubuhan Pertubuhan Mencari dan Menyelamat Gunung Malaysia - Malaysia Mountain Search and Rescue Society (MOSARS) , yang terdiri dari para sukarelawan yang merupakan pendaki tegar yang sejak itu telah banyak membantu dan menyumbang tenaga pada pihak berkuasa sekiranya berlaku insiden kemalangan dan kehilangan di kawasan pergunungan Malaysia.

Ahli-ahli kumpulan asal ekspedisi berkenaan, bersama-sama mereka yang pernah terlibat dalam gerakan mencari dan menyelamat Hassan, turut membuat ekspedisi ulangan dan kenangan mendaki Gunung Yong Yap pada sekitar 15 Februari selamat empat tahun berturut-turut selepas kehilangannya.

Nama dan kisah kehilangan Hassan Ayat menjadi sebutan semula di media sosial pada tahun 2019 berikutan kes kehilangan seorang pelari trek, Mohd Ashraf Hassan, di Gopeng, Perak, pada Mac 2019.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

https://www.klik.com.my/item/story/4429240/missing-clerk-s-possible-trail

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/04/441975/pengalaman-cari-hassan-di-gunung-yong-yap

https://www.maskulin.com.my/meremang-ini-kisah-lelaki-hilang-10-tahun-lalu-yang-tinggalkan-sebuah-sajak/

http://www.kapasitor.net/my/hassanayat