Neuron

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Struktur bagi sebuah neuron

Neuron (juga dikenali sebagai sel saraf) ialah satu sel terangsang secara elektrik yang memproses dan memindahkan maklumat melalui isyarat elektrik dan kimia. Isyarat kimia berlaku melalui sinaps, satu sambungan khas antara sel. Neuron bersambung antara satu sama lain membentuk rangkaian neural. Neuron adalah bahagian teras bagi otak dan saraf tunjang untuk sistem saraf pusat, serta ganglion untuk sistem saraf periferi. Jenis-jenis sel saraf yang dikhususkan adalah: neuron deria yang bertindak balas terhadap sentuhan, bunyi, cahaya dan semua rangsangan lain yang mempengaruhi sel-sel organ deria yang kemudian menghantar isyarat ke sumsum tulang belakang dan otak; neuron motor yang menerima isyarat dari otak dan saraf tunjang untuk menyebabkan pengecutan otot dan mempengaruhi pengeluaran kelenjar; serta interneuron yang menyambung satu neuron kepada satu neuron yang lain dalam satu kawasan yang sama dalam otak mahupun saraf tunjang dalam rangkaian neural.

Satu neuron tipikal terdiri daripada sel badan (sel soma), dendrit, dan satu akson. Istilah neurit digunakan untuk menerangkan sama ada akson atau dendrit, terutama sekali pada peringkat yang tidak mengalami pengkhususan lagi. Dendrit adalah sejenis struktur nipis yang bercambah dari sel badan, dan selalunya memanjang sehingga beratus micrometer dan membentuk cabang berulang-kali, sehingga terbentuk “pokok dendrit” yang kompleks. Sebuah akson (juga dikenali sebagai saraf fiber apabila diselaputi dengan mielin) adalah sejenis cabang sel yang istimewa, di mana process pemanjangan itu berlaku di tapak spesifik di sel badan, dikenali sebagai akson hilok dan merentasi sehingga satu jarak tertentu, sejauh 1 meter dalam badan manusia, dan boleh mencapai lebih lagi pada spesies lain. Fiber saraf selalunya diberkas ke dalam bentuk fasikel. Dalam sistem saraf periferi, berkas-berkas fasikel membentuk saraf-saraf (seperti helaian wayar yang membentuk kabel). Sel badan bagi satu neuron dengan kerap kalinya membentuk dendrit, tetapi tidak pernah membentuk lebih daripada satu akson, walaupun akson boleh bercabang beratus-ratus kali sebelum ia berakhir. Dalam kebanyakan sinaps, isyarat dihantar dari akson satu neuron kepada dendrite neuron lain. Walau bagaimanapun, terdapat banyak pengecualian bagi aturan ini: neuron yang kekurangan dendrit, neuron yang tiada akson, sinapsis yang menghubungkan satu akson kepada akson yang lain ataupun dari satu dendrit kepada satu dendrit lain.

Neuron tidak mengalami pembahagian sel. Dalam kebanyakan kes, neuron-neuron terhasil melalui sel-sel induk. Astrosit merupakan sel glia yang juga telah diperhatikan untuk berubah menjadi neuron menurut ciri-ciri sel stem pluripotensi. Dalam manusia, sebahagian besar daripada proses neurogenesis terhenti apabila mencapai peringkat dewasa; namun terdapat bukti yang kukuh menyatakan bahawa penjanaan bilangan besar neuron baru boleh berlaku dalam dua kawasan otak, yakni hipokampus dan juga bulbus olfaktor. [1][2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Wade, Nicholas (1999-10-15). "Brain may grow new cells daily". The New York Times. 
  2. Nowakowski, R. S. (2006). "Stable neuron numbers from cradle to grave". Proceedings of the National Academy of Sciences 103 (33): 12219–12220. doi:10.1073/pnas.0605605103.