Orkestra Tradisional Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) ialah sebuah orkestra yang ditubuhkan apabila Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia telah mula menyedari tentang perlunya penubuhan sebuah Orkestra Tradisional yang terdiri daripada gabungan pelbagai alat muzik berbilang bangsa Malaysia bagi meningkatkan mutu pentadbiran dan kualiti muzik tradisional setaraf dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan sedia ada.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada April 2007 seorang pegawai kebudayaan yang mempunyai latarbelakang kelulusan muzik daripada Akademi Seni Kebangsaan (Bahizal Abu Bakar) telah dihantar untuk menjalani kursus sambil belajar di Orkestra Tradisional Korea, National Theater of Korea bagi mengkaji sistem pembangunan muzik tradisional yang digunakan di sana. Sekembalinya beliau daripada menyertai kursus tersebut pada Oktober 2007 beliau telah membawa bersama sistem yang digunakan di sana dan seterusnya mencadangkan penubuhan sebuah Orkestra Tradisional Malaysia yang terdiri daripada penyertaan berbilang kaum Malaysia. Cadangan ini telah dipersetujui oleh pengurusan tertinggi Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dan pada Januari 2008, satu sesi perbincangan telah diadakan bersama penggiat muzik tradisional pada 20-21 Januari 2008 di Awana Hotel Genting bagi merealisasikan penubuhan sebuah Orkestra Tradisional Malaysia.

Pembangunan muzik tradisional telah mendorong kepada penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia(OTM). OTM beridentitikan masyarakat majmuk negara ini dari segi kemanusiaan dan muzikal, yang mana budaya pelbagai kaum menjadi teras, dengan mengekalkan fungsi dan identiti muzik asli dan warisan. Pemilihan genre dan gubahan muzik akan menyatukan ciri-ciri keaslian muzik warisan ini dalam satu gabungan yang penuh dengan nilai estetika dan keasliannya. Penubuhan OTM adalah selaras dengan hasrat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui seni muzik.

Penubuhan OTM merupakan usaha berterusan oleh KPKK melalui Istana Budaya, bagi menstrukturkan semula ahli muzik tradisional pelbagai kaum dan etnik serta menjadikan kepelbagaian peralatan muzik tradisional Malaysia bertaraf antarabangsa dan profesional, setanding dengan orkestra simfoni barat. Usaha ini menyokong idea Gagasan 1Malaysia yang diutarakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, iaitu menyemarakkan keharmonian kaum melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan. OTM turut menggabungkan ahli muzik handalan dari Professional Cultural Center (PCC) dan Temple of Fine Arts (TOFA). Gabungan ini memapar dan mengungkapkan perpaduan dan semangat setiakawan di kalangan rakyat berbilang kaum.

OTM dilihat sebagai pemangkin revolusi muzik Malaysia di abad ke-21. Ia berteraskan muzik pelbagai kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak. Gabungan pelbagai genre muzik ini adalah diharap dapat dijadikan satu landasan kepada suatu konsep muzik baru rakyat Malaysia yang bersatu di abad yang mendatang.

OTM telah dilancarkan secara rasminya oleh YB. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) pada 06 Februari 2010 bertempat di Panggung Sari Istana Budaya.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Pada 7-11 Mei 2008, Orkestra Tradisional Malaysia telah mengadakan persembahan bersempena program Titian Budaya di Esplanade Singapura. Seterusnya pada Disember 2008, En Mohd Yazid Zakaria telah dilantik sebagai konduktor pertama Orkestra Tradisional ini. Kini pihak Kementerian Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan telah merancang untuk melancarkan Orkestra Tradisional Malaysia secara rasmi pada tahun 2009.

Ahli[sunting | sunting sumber]

OTM kini dianggotai seramai 60 orang ahli pada satu-satu masa tetapi boleh dikembangkan hingga 86 orang ahli muzik. Ahli OTM terdiri daripada ahli muzik yang memiliki kemahiran, kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang muzik berkaitan. Pemilihan ahli muzik tersebut dilakukan dengan teliti melalui sesi ujibakat yang berterusan. Alat-alat muzik tradisional OTM boleh diklasifi kasikan dalam beberapa kategori iaitu:-

Plugged Strings

  • Yang Qin
  • Mandolin
  • Sape
  • Zhong Ruan
  • Sitar
  • Pipa
  • Gambus

Gamelan

  • Bonang
  • Gambang
  • Saron Pekin
  • Demung
  • Saron Barong
  • Greteh
  • Gong Gamelan

Percussion

  • Pergendangan Melayu
  • Kompang/Marwas
  • Latin Percussion
  • Tabla

Bowed String

  • Rebab OTM
  • Zhong Hu
  • Erhu
  • Cello
  • Gaohu
  • Double Bass

Woodwinds

  • Seruling Bambu
  • Dizi
  • Bansuri
  • Souna
  • Serunai/Bansi/Saluang/Pupuik

Rhythm Section

  • Keyboard
  • Drum OTM
  • Electric Bass
  • Gitar Akustik

Gabungan alat muzik tradisional ini adalah bersifat elastik dan fleksibel yang mana ia boleh ditambah atau diperbesarkan berdasarkan keperluan OTM. Buat masa sekarang, OTM masih lagi menggunakan beberapa alat muzik Barat namun di masa hadapan, penggunaan alat muzik Barat ini akan diganti sepenuhnya oleh penggunaan alat muzik tradisional Malaysia.