Pejabat Perbendaharaan Kelantan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perbendaharaan Negeri Kelantan merupakan salah sebuah Jabatan Kerajaan Negeri Kelantan. Jabatan ini bertanggungjawab menetapkan dasar dan peraturan kewangan kerajaan negeri. Tanggungjawab ini juga termasuk mengawal selia semua jabatan negeri dengan memastikan segala penerimaan dan bayaran dibuat mengikut peraturan kewangan. Selain itu, Perbendaharaan Negeri juga memantau dan membuat tindakan susulan terhadap Jabatan bagi memastikan rekod hasil, perbelanjaan, akaun amanah dan rekod kewangan lain diselenggara dengan lengkap dan teratur.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Pejabat Perbendaharaan Negeri diketuai oleh pegawai Kewangan Negeri yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik sebagai Ex-officio. Perlantikan Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri adalah mengikut Perkara 13 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Pejabat Perbendaharaan Negeri dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu Khidmat Pengurusan, Pengurusan Kewangan dan Pengurusan perakaunan.

Misi[sunting | sunting sumber]

Menyediakan bajet berimbang selaras dengan punca hasil negeri dan memastikan perbelanjaan mengurus berada di tahap yang terkawal dengan penggunaan sistem dan teknologi maklumat yang terkini.

Visi[sunting | sunting sumber]

Ke arah memantapkan prestasi kewangan Kerajaan Negeri

Struktur Organisasi[sunting | sunting sumber]

Perbendaharaan Negeri Kelantan terbahagi kepada 3 bahagian iaitu :

  • Bahagian Pentadbiran
  • Bahagian Kewangan
  • Bahagian Akaun

Bahagian Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Fungsi : Merancang, mengurus, mengawal dan menentukan pengurusan kewangan serta mengendalikan semua hal ehwal urusan pentadbiran kewangan dengan cekap dan berkesan.

Aktiviti : Mengendalikan hal ehwal pentadbiran jabatan, mengurus hal ehwal perjawatan dan perkhidmatan pegawai dan kakitangan. Merancang, melaksana, mengawal dan menguatkuasa dasar-dasar dan peraturan-peraturan kewangan.

  • Memberi khidmat nasihat kepada agensi-agensi sektor awam mengenai pemgurusan kewangan.
  • Menyelia dan menyelaras teguran audit ke atas agensi Kerajaan dan Badan-Badan Berkanun.
  • Memastikan kelancaran pengurusan kewangan berkomputer serta mengikut peraturan yang ditetapkan.

Bahagian Kewangan[sunting | sunting sumber]

Fungsi : Bertanggungajawab merangka dasar dan penyediaan Belanjawan Negeri serta memeriksa dan menganalisa segala rancangan dan program agensi-agensi Kerajaan bagi menentukan bahawa sumber-sumber kewangan Negeri adalah diuntukkan serta diagihkan dengan cekap dan berkesan.

Aktiviti :

  • Merangka anggaran belanjawan hasil dan perbelanjaan tahunan negeri dan memastikan kawalan belanjawan yang teguh wujud di agensi-agensi Kerajaan Negeri.
  • Menguruskan dan menguatkuasakan Akta Duti Hiburan.
  • Menyemak dan menimbangkan permohonan-permohonan kelulusan Perbendaharaan Negeri menurut kehendak-kehendak Arahan Perbendaharaan dan Laporan Kehilangan Wang dan Harta Benda Negeri.
  • Mengesan dan menyelaras kedudukan pinjaman Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kepada Badan-Badan Berkanun.
  • Menguruskan pembelian dan pelupusan Harta Modal.
  • Mengendalikan urusan pinjaman, samada pinjaman kenderaan mahupun pinjaman komputer
  • Mengendalikan urusan pinjaman daripada persekutuan dan pinjaman kepada agensi-agensi negeri.
  • Memantau pelaburan, prestasi perbelanjaan, kecekapan pengurusan kewangan serta penggunaan dan penguatkuasaan pekeliling Kerajaan.

Bahagian Akaun[sunting | sunting sumber]

Fungsi : Menentukan dan melaksanakan sistem perakaunan Kerajaan Negeri seperti yang sepatutnya diwujudkan serta memastikan bahawa semua kawalan dan peraturan-peraturan kewangan yang berkuatkuasa oleh semua Jabatan Negeri.

Aktiviti :

  • Memberi perkhidmatan perakaunan yang lengkap bagi semua urusan kewangan Kerajaan Negeri.
  • Menyimpan dan menyelenggara akaun hasil dan perbelanjaan semua Jabatan Kerajaan Negeri.
  • Menyedia Penyata Kewangan Tahunan Negeri untuk dikemukakan kepada Dewan Undangan Negeri.
  • Menyemak baucer-baucer untuk pembayaran.
  • Menyelenggara Akaun-akaun Subsidiari dan Akaun Antara Pentadbiran, memproses baucer-baucer jurnal dan menyediakan Penyata Penyesuian Bank.
  • Menerima, memproses, menyemak dan meluluskan pembayaran baucer-baucer gaji anggota Kerajaan Negeri pada setiap bulan mengikut jadual.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

http://www.pkn.kelantan.gov.my/