Pembunuhan Zayn Rayyan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pada Disember 2023, seorang kanak-kanak enam tahun, Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan, disahkan hilang di kawasan Damansara Damai, Selangor, Malaysia. Melalui pencarian, kanak-kanak tersebut ditemui maut di kawasan berdekatan, dan kemudiannya disahkan mati dibunuh oleh pihak polis tempatan.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Zayn Rayyan, kanak-kanak berusia enam tahun yang menghidap autisme dikhabarkan hilang pada tengah hari 5 Disember 2023, dan kali terakhir ditemui dalam pakaian seragam sekolah bermain di kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai di Selangor, Malaysia.[1][2] Dengan ini, penguar-uaran dilakukan oleh keluarganya, dan tersebar melalui media. Pada malam 6 Disember, pihak polis tempatan bekerjasama dengan ratusan para penduduk apartmen dalam usaha cari dan menyelamat Zayn, termasuk pencarian pintu-ke-pintu dan kawasan sekitar.[3] Zayn kemudiannya ditemui maut mengiring di kawasan anak sungai di belukar berdekatan apartmen pada malam tersebut oleh pihak penduduk.[4]

Siasatan[sunting | sunting sumber]

Bedah siasat oleh pihak polis kemudiannya mengesahkan bahawa dia mati dibunuh, dipercayai mati dicekik berdasarkan tanda cedera di leher, dan mengesahkan bahawa dia memiliki tanda cedera untuk mempertahankan diri.[5] Di samping itu, tiada tanda penderaan dikesan pada badannya.[6] Berikutan penemuan itu, pihak polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat pembunuhan itu.[7] Mayat Zayn pula dikebumikan pada 7 Disember selepas bedah siasat dijalankan.[8]

Kawasan mayat dijumpai dikhabarkan telah dicari beberapa kali oleh pihak pencarian sebelumnya.[9] Dengan itu, pihak polis mengandaikan bahawa dia dibunuh di suatu tempat lain lalu dibawa ke tempat penemuan.[10]

Siasatan kemudian diteruskan di kawasan sekitar untuk mencari bukti-bukti baharu.[11] Penyiasatan awal menganggap hanya ada seorang suspek yang terlibat.[12]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ahmad Ismadi Ismail (2023-12-06). "Ibu rayu orang ramai bantu cari anak OKU hilang". Sinar Harian. Dicapai pada 2023-12-08.
  2. ^ Hafidzul Hilmi Mohd Noor (2023-12-06). "6-year-old autistic boy missing since Tuesday; mother pleads 'hold onto him' if found | New Straits Times". NST Online (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-12-08.
  3. ^ Selvam, Kousalya (2023-12-06). "Police, residents going door-to-door to find missing autistic boy". Sinar Daily (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-12-08.
  4. ^ Safeek Affendy Razali (7 Disember 2023). "'Hati tergerak nak cari anak sungai sebelum temui Zayn Rayyan' - Penduduk". Berita Harian. Dicapai pada 8 Disember 2023.
  5. ^ Hazim Jaafar (2023-12-08). "Adik Zayn Rayyan Didapati Cuba Mempertahankan Diri Semasa Kejadian". VOCKET. Dicapai pada 2023-12-08.
  6. ^ Nor Azizah Mokhtar (7 Disember 2023). "'Tiada kesan dera pada tubuh Zayn Rayyan' - Polis". Berita Harian. Dicapai pada 8 Disember 2023.
  7. ^ Nor Azizah Mokhtar (7 Disember 2023). "Polis tubuh 'task force', panggil semula ibu dan bapa Zayn Rayyan". Berita Harian. Dicapai pada 8 Disember 2023.
  8. ^ "Jenazah Zayn Rayyan selamat dikebumi". Berita Harian. 8 Disember 2023. Dicapai pada 8 Disember 2023.
  9. ^ Ahmad Ismadi Ismail (2023-12-07). "Tiga kali pencarian di lokasi sama, Zayn Rayyan akhirnya ditemui". Sinar Harian. Dicapai pada 2023-12-08.
  10. ^ Ameer Fakhri (7 Disember 2023). "Polis percaya Zayn meninggal dunia di tempat lain". Free Malaysia Today. Dicapai pada 8 Disember 2023.
  11. ^ Muhammad AMinuralif Mohd Zoki (2023-12-12). "Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis teliti 'dashcam', ada pergerakan dikesan". Sinar Harian. Dicapai pada 2023-12-28.
  12. ^ Ruwaida Md Zain (11 Disember 2023). "Seorang terbabit dalam kes Zayn Rayyan". Berita Harian. Dicapai pada 28 Disember 2023.