Pengguna:Baharudin Ali Masrom

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

DR. BAHARUDIN ALI BIN MASROM AL-HAJ atau lebih dikenali sebagai DR. BAM AL-HAJ dilahirkan di Kg. Tali Air 7, Sungai Leman, Sekinchan, Selangor, Malaysia.

Bapanya Haji Masrom bin Zakaria berasal dari Kg. Telok Seribu, Bagan Serai, Perak berketurunan Banjar. Begitu juga dengan ibunya Hajah Hamisah binti Yusop yang berasal dari Sg. Burung, Tg. Karang, Selangor.

Beliau dibesarkan dalam keluarga miskin. Bapanya merupakan pesawah padi di Kg. Tali Air 7, Sg. Leman, Sekinchan, Selangor, sekampung dengan Dato' Seri Dr. Ramly "Burger" Mokni. Pada tahun 1979 mereka berpindah ke Felda Keratong 4 di Pahang apabila bapanya ditawarkan menjadi peneroka Felda.

Beliau mempunyai 6 adik beradik, iaitu Herndon, Abdol Rashid, Maryani, Fauziah Dan Zalifah.

Beliau bersekolah di SK Sungai Leman, Sekinchan, Selangor (1968-73). Beliau meneruskan pendidikan menengahnya di SMK Dato' Mustaffa, Pasir Panjang sehingga Tingkatan Lima (1974-78). Beliau muncul sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan SRP dan SPM peringkat Daerah Sabak Bernam.

Beliau menyambung pelajaran di Tingkatan Enam di STAR, Klang, tetapi kemudian berpindah ke SMK Dato' Harun, Tg. Karang (1979-80) dan muncul sebagai pelajar terbaik STP peringkat Daerah Kuala Selangor (1980).

Beliau memasuki Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (M4P) pada 1981. Bagaimanapun beliau kemudian mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke UKM di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemasyarakatan dalam bidang Antropologi dan Sosiologi.

Di UKM beliau aktif dalam persatuan mahasiswa dan pernah menyandang jawatan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (PMFSKK) dan Editor Majalah Aspirasi PMUKM. Beliau juga mengikuti latihan ketenteraan PALAPES (ROTU). Beliau aktif dalam politik kampus sebagai pendukung Angkatan Tindakan Mahasiswa (ATMA) yang beraliran Islamik.

Beliau pernah mengetuai Kunjungan Sambil Belajar ke Sumatera Barat dan Utara (KUSBELAKESUTRA) pada 1984 selama dua minggu, iaitu ke Acheh, Padang dan Medan.

Beliau pernah menjadi Exco Penerbitan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (1985/86) dan sebagai Naib Presiden Kebangsaan pada (1986/87).

Bagi menanggung persekolahan adik-adiknya, selain memberikan separuh daripada biasiswa JPA yang diterimanya kepada bapanya, beliau mengajar subjek Pengajian Am di kelas malam Yayasan Anda Akademik di Kg. Baru, Kuala Lumpur.

Beliau turut menyertai usrah ABIM dan mengikuti kuliah agama di Masjid UKM selama empat tahun. Antara pensyarah yang dijadikan kegemaran beliau ialah Ustaz Siddiq Fadhil, Ustaz Dr. Abdul Halim elMuhammadi, Prof. Dr. Harun Din dan Ustaz Mahmud Saedon Othman.

Beliau juga sering mengikuti pemikiran Prof. Dr. Syed Muhammad al-Atas, Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan, Dr. Muhammad Uthman al-Muhammady dan Anwar Ibrahim melalui pelbagai seminar. Buku paling diminati beliau ialah "Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu" karya Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan "Apa Ertinya Saya Memeluk Islam" oleh Dr. Fathiyy Yakan.

Beliau sangat minat membaca sehingga pernah memperuntukkan suku daripada wang biasiswanya untuk membeli buku-buku ilmiah. Beliau menghasilkan tesis Sarjana Muda berkaitan dengan Pemikiran Sosiologi Dr. Ali Shariati.

Beliau juga amat meminati bidang penulisan dan rencananya pernah tersiar di akhbar Mingguan Bumi, Watan, Berita Harian dan majalah Dewan Siswa, DBP.

Beliau mula bekerja sebagai Penolong Editor Majalah AKADEMIK STPM dan Pembina Generasi di Nurin Enterprise, Kuala Lumpur pada 1985. Beliau kemudian dilantik sebagai Editor Risalah ABIM pada akhir tahun 1986.

Beliau meneruskan kerjayanya sebagai Penolong Pengarah (kontrak) di Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri di Zon Timur, Kuantan pada 1987-88.

Beliau menyambung pelajaran di UKM dan memperoleh Diploma Pengajian Islam secara separuh masa. Beliau juga memperoleh Diploma Pendidikan dari UIAM pada 1988/89 di bawah bimbingan Prof. Dr. Awang Sariyan dan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud.

Beliau ditawarkan sebagai Guru Siswazah pada akhir tahun 1989 di SMK Tanjung Lumpur, Kuantan dan kemudian berpindah mengajar di SMK Benus, Bentong, Pahang.

Pada awal tahun 1991, beliau sekali lagi ditawarkan sebagai Penolong Pengarah (Penyelidikan) di BTN, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur. Beliau pernah dilatih di BP7 Jakarta, Indonesia selama 20 hari sebagai Manggala (trainer).

Beliau dilantik sebagai Pengarah BTN Negeri Selangor pada 1992. Di situlah beliau menggilap bakatnya sebagai trainer dan motivator.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pegawai Khas Kepada YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd. Taib pada 1995. Beliau memasuki bidang politik dan dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tg. Karang (1995-98). Setelah tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tg. Karang dengan 3 undi, beliau bersara daripada politik.

Apabila Anwar Ibrahim dipecat pada 2 September 1998, beliau turut dipecat daripada Umno. Beliau kini merupakan pemerhati politik.

Tidak lama di Pejabat Menteri Besar Selangor, beliau dipindahkan ke Yayasan Selangor sebagai Pengurus Pembangunan Insan. Beliau meletakkan jawatan pada 2007 atas desakan politik ketika itu. Beliau membuka syarikat pengendali latihan RESQ World Training Centre (2007-2011).

Beliau kemudian ditawarkan semula sebagai Pengurus Kanan Komunikasi Korporat di Yayasan Selangor pada 2011-2013.

Pada 2014 beliau berpindah ke Ipoh untuk berniaga dan menceburi bidang pertanian. Mendapati bidang itu tidak sesuai dengan dirinya, beliau kembali ke Kuala Lumpur dan mula mengendalikan training bersama rakan-rakannya di Mentic Holding (M) Sdn. Bhd.

Beliau juga menubuhkan Yayasan Kasih Warga Emas Malaysia (YAWAMAS) pada 2020 untuk membantu kebajikan warga emas. Beliau juga adalah aktivis MAPIM (Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia), Ahli Kehormat Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM dan Felow Kolej Dar al-Hikmah (KDH). Beliau juga adalah Presiden Dewan Keusahawanan dan Kejutulatihan Industri Malaysia (Mentic Chamber), Presiden Kelab Sukarelawan Madani Malaysia, Pengerusi Persatuan Kebajikan OKU Madani Selangor dan Penasihat Koperasi Usahawanàn OKU Negeri Sembilan.

Beliau menulis beberapa buah buku. Antaranya Politik Melayu Abad 21 (1989), Fenomena Remaja (bersama Zaini Ujang dan Fatini Yaakob (1992), Wawasan Perjuangan Melayu Baru (1993), Album Reformasi (1999), Ikon Dua Zaman: Tun Perak & Tun Razak (2010), Ayahku Ditangkap (terjemahan buku My Father Was Arrested, 2010), Motivasi Daripada Tuhan (2013), Reformasi Dua Dekad (2022, Menang 4-0 Ketika Ramai Yang Kalah!(2022), #Back to basics 561: God-Inspired Motivation (2023), Pemikiran Sosiologi Dr. Ali Shariati (2023), Syed Abu Husin, Anwar Ibrahim & Real Politics (2024), Anak Muda Pemimpin Masa Depan (2024), Dari Penjara Ke Puncak Kuasa: Sukarno, Mandela, Erdogan & Anwar Ibrahim (2024) dan Geng Subuh Macam Solat Jumaat (2024).

Beliau sedang menulis buku Adab Yang Hilang, Memoir Politik #OrangKecil dan novel Ceraikan Aku atau Dia! Beliau merupakan penulis upahan (writer for hire).

Beliau pernah muncul dalam rancangan Motivasi Petang Bersama DJ Latifah Sidek di Radio Selangor, Resensi Buku di Radio IKIM, Selamat Pagi Malaysia di dan Resensi Buku TV1, Hello On Two di TV2 dan Rancangan Pendidikan di TV Selangor.

Beliau mempunyai 6 orang anak, iaitu Nurul Irfani, Muhammad Izzani, Puteri Nurul Syifa', 'Ain Najwa Annerah an-Nabiha, Muhammad Nabil Anwar dan Nurish Allissa Hareeda, serta 6 irang cucu.

(Edited 10.4.2024)

CATATAN Di FB Bam Al-Haj

#DIRGAHAYU ABIM 50 TAHUN: PENGALAMAN PERIBADIKU BERSAMA ABIM

1. Aku diperkenalkan dengan ABIM pada Disember 1980 oleh Ustaz Osman Hj Sabran (arwah), orang kampungku sendiri. Sebaik habis peperiksaan STP, sahabat karib sekampungku Saarani Osman mengajakku bekerja di Kuala Lumpur.

2. Kami menumpang tinggal di rumah Pak Anjangnya, Ustaz Osman Hj Sabran yang baharu balik dari Mesir. Beliau bertugas sebagai guru agama di SMK Jalan Cochrane, Kg. Pandan, Kuala Lumpur. Rumah beliau di Kg. Congo, Cheras. Kami bekerja di sebuah kilang membuat bateri kereta di Taman Midah.

3. Setiap malam kami akan mengikut ke mana sahaja Ustaz Osman berusrah. Beliau rupa-rupanya adalah Timbalan YDP ABIM Wilayah Persekutuan ketika itu. Beliau sangat aktif dan merupakan naqib usrahku yang pertama.

4. Ketika itu ABIM diketuai oleh Anwar Ibrahim, tetapi aku tidak pernah bertemu kelibat beliau.

5. Sebagai anak muda yang baharu berumur 19 tahun, semangat "Islamic Resurgence" atau kebangkitan semula Islam itu amat mengujakanku, biarpun aku tidaklah begitu memahaminya lagi ketika itu.

6. Selama tiga bulan menumpang di rumah Ustaz Osman itulah aku diperkenalkan dengan Islam "The Way of Life". Melalui penyertaanku dalam usrah-usrah yang dijalankan silih berganti di rumah ahli-ahli usrah di sekitar Kg. Congo dan Cheras, aku mula memahami "Apa Ertinya Aku Memeluk Islam" seperti tajuk salah sebuah buku rujukan usrah karya Dr. Fathiyy Yakan. Aku sangat menghormatinya.

7. Namun, apabila keputusan STPM diumumkan dan aku ditawarkan memasuki Maktab Perguruan Persekutan Pulau Pinang (MPPPP) atau lebih dikenali sebagai M4P pada Mac 1981, aku terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Ustaz Osman Hj Sabran dan rakan-rakan usrah, serta sahabatku Saarani Osman.

8. Di MPPPP aku aktif dengan persatuan drama dan Majlis Guru Pelatih (MGP). Di sini aku bertemu dengan beberapa orang sahabat, antaranya Jamaludin Sulaiman dan Zahalida Aziz (kemudian jumpa semula di UKM, Rotu dan UIAM). Namun anehnya, pada suatu ketika aku menyertai kumpulan jemaah Tabligh, ikut "berdakwah", menginap di masjid dan makan beramai-ramai dalam talam. Pada suatu malam, Presiden MGP MPPPP, Lilah Yassin (kemudian Dato dan Exco NS) membawaku dan beberapa orang guru pelatih untuk menghadiri satu forum di USM. Di situlah buat pertama kalinya aku dapat melihat sosok tubuh Saudara Anwar Ibrahim yang berucap dengan begitu lantang, stailo dan mendapat sambutan yang luar biasa daripada para hadirin yang kukira berjumlah sekitar 3,000 orang. Ahli panel lain ialah Dr. Chandra Muzaffar, Presiden Aliran dan Dr. Tan Chee Khoon dari Pekemas.

9. Pada penilaianku ketika itu, Anwar Ibrahim merupakan seorang tokoh pemimpin belia yang hebat dan berpengaruh. Ucapannya begitu tegas. Dengan suara sengaunya Anwar mampu memukau para hadirin. Beliau berjaya menjelaskan dan memberi kesedaran tentang isu-isu semasa daripada perspektif Islam. Pengetahuannya yang luas melalui pembacaan dan pengalaman ke luar negara memberikan suatu kelainan, diselangselikan dengan petikan ayat-ayat  al-Quran dan hadith serta petikan daripada penulis buku berbahasa Inggeris yang disampaikannya bersekali dengan terjemahan dan huraian yang cukup menarik, tidak syak lagi kehadirannya begitu mengujakan para hadirin yang memenuhi dewan besar USM itu.

10. Apabila aku mendapat tawaran belajar di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, UKM pada Jun 1981, aku terus mencari-cari kumpulan Islamik sehinggalah diajak oleh seorang mahasiswa Fakulti Pengajian Islam untuk menyertai usrah. Kumpulan yang dinamakan Angkatan Tindakan Mahasiswa atau ATMA ini rupa-rupanya adalah cawangan ABIM dan PKPIM di kampus UKM.

11. Bermulalah penglibatan aktifku dalam persatuan mahasiswa fakulti, PMUKM dan PKPIM. Dalam kesibukanku mengikuti kuliah dan menanggotai ROTU (PALAPES), aku tidak pernah ketinggalan menyertai usrah setiap minggu. Melalui usrahlah aku yang tidak pernah bersekolah agama dan tidak pernah mempelajari Islam secara formal (dahulu tiada KAFA) dapat mendalami Islam sebagai cara hidup yang syumul (menyeluruh).

12. Di situlah aku mengenali tokoh-tokoh besar ABIM seperti Ustaz Siddiq Fadhil, Ustaz Muhammad Nur Manuty, Mohd. Idris Jauzi, Fuad Hassan, Kamaruddin Mohd. Nor, Kamarudin Jaafar, Ustaz Razali Nawawi, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz Abd. Ghani Rahman, Dr. Abdul Halim Al-Muhammady, Ustaz Mokhtar Shaffie, Dr. Ahmad Badawi, Mohd. Jamal Sattap, Dr. Abdul Aziz Jemain, Muhammad Abu Bakar, Dr. Mohamad Ridhuan Othman, Dr. Mohd Nor Nawawi, Anuar Tahir, Ustaz Mahyuddin Saari, Ustaz Mokhtar Ridhwan dan ramai lagi. Selain usrah sebagai medium tarbiah Islamiah, aku juga diperkenalkan kepada tamrin al-kader, kursus kepimpinan Islam dua atau tiga kali setahun.

13. Sebagai aktivis mahasiswa ATMA, aku dan sahabat-sahabat seangkatan (senior dan junior) seperti Abdul Malek Awang Kechil, Abibullah Shamsudddin, Mohd. Shukri Yajid, Jaafar Abdul Rahman, Kamaruzaman Hashim (arwah), Mohd. Musleh Yunus, Yunus Abdullah (arwah), Abdul Rahman Dahlan, Raja Arif Raja Ali, Syed Abu Hussin, Ishak Harun, Jamadi Kastam, Zulkifli Mamat, Arif Saaya, Hassan Baharom, Hassan Sirun, Hayyun Nawawi, Abdul Aziz Che Kob, Muhammad Jantan, Mohd. Fadhli Harun, Wan Ismail Wan Jusoh, Hassan Nawang, Abdul Razak Hussin, Mohd Yusof Akope, Zaidan Ismail, Almain Ajirul, Ab. Manaf Deraman, Faizul Abdul Raof Faiz, Mohd. Shohaimi Md Shah, Zahrullail Md Jaid, Rasid Mohd, Abd. Hamid Jusoh, Nik Rosdi Nik Ahmad, Tuan Ibrahim Tuan Man, Nik Amar Nik Abdullah, Yusof Embong, Azizan Rahim, Nazran Muhammad, Sazali Tarmizi (arwah), Rahimin Bani, Mustaffa Kamil Ayub, Jurij Jalaluddin, Nasir Jaafar (arwah), Norhalim Yunus, Zahari Zakaria, Fisol Maidin, Bukhari Abd. Hamid, Abdul Aziz Jantan, Sabri Abu Hassan, Hanafi Harun, Alwi Mohd. Ali, Razali Abd. Malik, Muhammad Idris Ibrahim, Sabari Osman (arwah), Tarmili Dulah Kusni, Mohamad Saprin, Mohd Zaki Ramli, Ramli Ishak, Jaafar Rajuli, Yusof Rahmat, Othman Latif, Mohamad Azmi Ghazali, Othman Warijo, Tajul Ariffin Mohd. Rais, Mohd. Puad Zainal Abidin, Nasarudin Ayub, Wan Sharpudin Hj. Wan Ramli, Safri Mahat, Halil Ramli, Ramli Bajuri, Jafril Joned, Salleh Hussin, Kamsani Mahful, Mohd Shafie Karim, Ismail Zaini, Azhar Mohd Radhi, Mohd Idrus, Mohd Radhi (arwah), Isnin Abu, Zakaria Abdullah, Anuar Abdullah, Mohamad Fairus Abu Bakar, Mohd. Zainul Ariffin, Ismadi dan ramai lagi terlibat dalam politik kampus sebagai pendukung ATMA sebagai kumpulan Islam yang dinaungi ABIM. ATMA memenangi pilihan raya kampus mengalahkan TSB (Tindakan Siswa Bersatu) yang dinaungi UMNO pada 1981 hingga1986.

14. Minatku terhadap Islam begitu mendalam. Aku mula membaca buku-buku "Maalim fi Tariq" karya Sayyid Qutb, "Fiqhud Dakwah" Pak Muhammad Natsir, "Ihya Ulumuddin" Imam Ghazali, "Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu" Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Halal dan Haram Dalam Islam" Dr. Yusof al-Qaradhawi, dan banyak lagi. Bahkan minatku mendalami Islam menyebabkan aku memperuntukkan RM500.00 daripada Biasiswa JPA yang kuterima setiap semester untuk membeli buku. Usai menggenggam ijazah BA (Hons) dalam bidang Sosiologi dan Antropologi, aku menyambung pengajian Diploma Pengajian Islam batch pertama yang dipelopori oleh Prof. Dr. Harun Din bagi mendalami ajaran Islam selama dua tahun.

15. Selepas menamatkan pengajian, aku ditawarkan oleh Fuad Hassan menjadi Editor Risalah ABIM, seingatku pada tahun April 1986, ketika usiaku baharu mencecah 25 tahun. Aku dipercayakan menerajui Risalah ABIM mungkin setelah Fuad Hassan melihat kegigihanku menulis dan menjadi Penolong Editor Majalah Pembina Generasi dan majalah Akademik STPM terbitan Nurin Enterprise milik Shukran Jamel Zaini semasa aku pada tahun akhir di UKM lagi (kerja sambil belajar). Semasa masih di kampus, aku juga pernah menulis di majalah Panji Masyarakat dan Diskusi (STPM) yang diketuai oleh Fuad Hassan sendiri. Di samping itu, penglibatan aktifku dalam PKPIM selaku Exco Penerbitan dan kemudian sebagai Naib Presiden mungkin diambilkira.

16. Rasanya aku hanya sempat menjadi Editor Risalah ABIM 7 atau 8 keluaran sahaja kerana aku kemudian ditawarkan sebagai Penolong Pengarah Kontrak di Biro Tatanegara, JPM pada Oktober 1987 oleh Sdr. Alies Anor Abdul.

17. Pengalaman yang aku tidak boleh lupa semasa menjadi Editor Risalah ABIM ialah bagaimana aku, Sdr. Jasni Mohamad dan tiga orang jurutaip (Jamaliah, Rubiah dan Rohayah Ishak) bekerja sehingga larut malam untuk menyiapkan suratkhabar ABIM itu setiap bulan. Sebagai editor, akulah yang akan memilih topik-topik untuk disiarkan, atas nasihat Setiausaha Agung ABIM, Cikgu Sidek Baba (kemudian di pangku oleh Mohd. Idris Jauzi) dan Exco ABIM Sdr. Fuad Hassan. Selain kerja-kerja mengedit ucapan dan artikel yang diserahkan kepadaku, aku juga bertindak menulis artikel, rencana pengarang dan berita-berita kegiatan ABIM di seluruh negara untuk disiarkan.

18. Ketika itu belum ada komputer. Yang ada hanya mesin taip elektrik. Sdr. Jasni selaku graphic designer terpaksa menggunting helaian kertas yang sudah ditaip artikel atau berita dan gambar hitam putih yang disediakan dengan menggunakan "cow gum" untuk melekatkannya di kertas glossy bersaiz A4 helai demi helai.

19. Pengalaman paling manis bekerja dengan ABIM yang ketika itu beribupejabat di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur ialah apabila diserahkan tugas untuk mengedit dan menguruskan percetakan Ucapan Dasar Presiden ABIM, Ustaz Siddiq Fadhil sempena Muktamar Sanawi ABIM 1987.

20. Ustaz Siddiq Fadhil ketika itu hanya menyerahkan teks ucapan tulisan tangannya  yang lengkap dua hari sebelum muktamar. Tulisan tangannya sangat cantik dan jelas. Pada petang Khamis aku mula duduk bersama jurutaip  membacakan teks ucapan itu sepatah demi sepatah untuk ditaip. Setiap helai yang siap akan kubaca dahulu (proof reading) sebelum kuserahkan kepada Sdr. Jasni untuk dipotong dan ditampal, hinggalah selesai (kira-kira 50 muka surat) saiz buku 7 x 5 inci.

21. Selepas siap dummy buku itu, aku akan menyerahkan kepada wakil syarikat percetakan yang stanby jam 12.00 tengah malam Jumaat. Malam itu juga buku ucapan dasar itu mula dibuat filem dan dicetak, dan hanya siap jam 10.00 pagi Sabtu.

22. Sebaik siap, buku Ucapan Dasar itu mesti sampai ke dewan Muktamar di Bangi sebelum berakhirnya ucapan dasar yang sudah  bermula seawal 9.30 pagi Sabtu itu. Alhamdulillah siap dan sampai ke tangan perwakilan tepat pada masanya! Aku tak tidur selama 48 jam untuk menyiapkannya! Tak seorang pun tahu, termasuk Presiden ABIM, Ustaz Siddiq Fadhil!

23. Bagaimana aku boleh bertahan tidak tidur selama 48 jam? Rahsianya ialah aku makan telur separuh masak 8 biji sehari, 4 biji pagi dan 4 biji malam di Restoren Amjal yang terletak di ground floor bangunan ABIM Dan Yayasan Anda Akademik (YAA).

24. Pengalaman kedua yang agak menarik ialah apabila pada suatu pagi aku menerima panggilan telefon daripada Cikgu Sidek Baba, yang sedang melanjutkan pengajian di Temple University, Amerika Syarikat. Beliau memberitahu bahawa penyelianya, Prof. Dr. Ismail Raji al-Faruqi dan isterinya mati dibunuh ditikam di rumahnya oleh seorang pembunuh upahan. Aku amat sedih kerana aku pernah bertemu Dr. Ismail al-Faruqi dan isterinya semasa Almarhum datang ke Malaysia, menjadi tetamu dan membentangkan kertas kerja di The 3rd International Seminar on Islamic Tought and Civilization anjuran Jabatan Perdana Menteri. Almarhum sangat rapat dengan Anwar Ibrahim. Almarhum dikenali sebagai  tokoh pelopor "Islamization of Knowledge" yang amat dibenci oleh regim Zionis. Berita gempar itu kusampaikan kepada Sdr. Zainur Md Diyar, Setiausaha Kerja ABIM yang kemudian menyampaikannya kepada Presiden dan pemimpin ABIM.

25. Ilmu, akhlak dan dakwah yang kupelajari bersama ABIM mendewasakanku. Prinsip Islam sebagai cara hidup itu terpasak kukuh di hatiku hingga ke saat ini. Sudah tentulah sumbangan kecilku semasa menjadi Editor Risalah ABIM itu terlalu sedikit jika dibandingkan dengan jasa ABIM membentukku menjadi seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip perjuangan Islam.

26. Terima kasih dan tahniah kepada tokoh-tokoh ABIM dan generasi penerus perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan, satu-satunya gerakan Islam tulen non-partisan yang insklusif dan dinamik dalam menyampaikannya dakwah. Ia amat sesuai dengan tema sambutan Ulangtahun 50 ABIM, iaitu gerakan ilmu dan bakti.

BAM AL-HAJ

#BacktoBasics

6.8.2021

(Bersambung....)

#WISDOM@HIKMAH@BIJAKSANA VS BIJAKSINI

1. Wisdom@Hikmah sudah dibincangkan secara falsafah sejak era Aristotle, pada zaman perkembangan falsafah Greek-Yunani.

2. Aristotle mempelopori idea quadran virtue iaitu Prudence (Wisdom), Justice (Adil), Fortitude (Shajaah@Keberanian) dan Temperance (Self-Control).

3. Tradisi Kristian kemudian  menjenamakannya sebagai "cardinal virtue" yang dijadikan antara rukun ajaran mereka.

4. Dalam Islam, Wisdom atau Hikmah merupakan antara kemuncak nilai yang melambangkan keunggulan ilmu. Bahkan, al-Hikam, adalah salah satu daripada nama-nama Allah yang bermaksud "The Most Wise" atau Yang Maha Bijaksana.

5. Menurut sarjana Islam, Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, Wisdom atau Hikmah adalah keupayaan manusia untuk meletakkan ilmu di tempat yang sepatutnya, di mana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan berlakunya kekeliruan dan ketidakadilan.

6. Wisdom@Hikmah adalah tahap tertinggi yang dapat dicapai oleh seorang yang berilmu sehingga ia dianggap sebagai "bijaksana".

7. Orang yang bijaksana adalah orang yang mempunyai keupayaan bertindak berlandaskan ilmu yang benar dan menepati keperluan realiti.

8. Menurut Imam Fakhrudin ar-Razi (abad 13), Wisdom adalah keadaan di mana ilmu dan tindakan dilaksanakan dengan tepat dan sesuai dengan keperluan.

9. Semua Rasul diberikan Wisdom@Hikmah seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran:

"Dan barangsiapa yang dianugerahi Hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak" (al-Baqqrah: 269).

10. Menurut tafsir Quraish Shihab, Hikmah adalah ilmu yang berguna yang dapat mendorong manusia untuk bekerja atau berkarya dan akan menuntunnya kepada kebahagiaan abadi.

11. Kebijaksanaan adalah tahap ilmu yang tertinggi dan dihormati. Untuk mencapainya, kita memerlukan ilmu, pengalaman dan keupayaan akal yang tinggi dapat membuat keputusan, tindakan atau pandangan.

12. Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah menghuraikan kata "bijaksana" yang terdiri daripada kata "bijak" dan "sana". Menurutnya, orang yang bijaksana adalah orang bijak yang mengambilkira alam "di sana" iaitu alam Akhirat, yang akan berlakunya pertanggungjawapan atau "hisab" di hadapan Allah kelak.

13. Ini bermakna orang yang hanya bijak memanipulasi keadaan untuk kepentingan duniawi bukanlah seorang yang bijaksana, tetapi hanyalah seorang yang "bijaksini"!

14. Anda pilih menjadi bijaksini atau bijaksana?


UNTUK RENUNGAN SEMUA AHLI POLITIK DI MALAYSIA...

PENCERAHAN POLITIK BARU: SISTEM POLITIK SYURA GANTIKAN DEMOKRASI ACUAN BARAT

Baharudin Ali Masrom Al-Haj @ BAM AL-HAJ

Setiap kali membaca akhbar tentang politik, fikiran saya sering terganggu. Letih dan membosankan. Politik kita makin tajam. Pandangan saya tentang politik Melayu dalam buku saya pada tahun 1989 (Politik Melayu Abad 21) ternyata benar – Melayu terus berbalah. Dan politik kita terlalu bergantung kepada parti, berbaur perkauman dan sentimen agama.

Saya terfikir semua ini berlaku mungkin disebabkan sistem demokrasi yang kita tiru bulat-bulat daripada Barat. Seeloknya dikaji semula.

Sistem politik berparti dan parti yang menang berkuasa penuh membentuk kerajaan sudah  tidak relevan lagi. Ia membawa perbalahan dan pertikaian yang tidak berkesudahan. Lebih parah lagi fitnah, caci-maki dan penghinaan semakin berleluasa, terutama di media alternatif.

Dalam sistem politik sekarang, yang kuat akan memijak yang lemah. Yang menang akan berkuasa penuh, manakala yang kalah sekadar jadi tukang bangkang. Yang menang seolah-olah betul semua, lantas boleh buat apa sahaja, sedangkan yang kalah dipinggirkan. Yang berkuasa bolot semua, yang kalah hanya menganga.

Sesungguhnya amalan politik kini bukan memperkasa, tetapi melemahkan sesama sendiri. Cantas mencantas dan bunuh membunuh. Hendak naik dalam hierarki kepimpinan parti kena pijak kepala orang lain, apatah lagi berlainan parti.

Alternatif mesti difikirkan. Kadang-kadang saya pelik. Di negara kita hari ini sudah ada beribu-ribu pemegang ijazah PhD dan Profesor, tetapi politik kita tidak berubah. Masing-masing sibuk dengan bidang sendiri-sendiri, hidup sendiri-sendiri sehingga tidak banyak idea konkrit untuk memajukan bangsa dan negara dilontarkan.  Yang banyaknya Cuma pengampu dan tukang angguk.

Para cendekiawan kita perlu mencari alternatif bagi membaiki sistem yang ada pada masa akan datang. Cendekiawan sepatutnya bukan menjadi cendawan, tetapi Ulul Albab – pemikir dan pejuang, memberikan sumbangan kepada kebangkitan politik baru.

Semua pihak patut memainkan peranan. Ataukah kita sudah kekeringan idea?

Terapkan politik baru yang berkonsepkan Politik Syura. Ubahsuai sistem dan cara kita menganjurkan pilihanraya supaya lebih telus dan adil.

Saya mencadangkan supaya:

1. Sistem pemilihan pemimpin di peringkat Parlimen diteruskan, tetapi calon tidak perlu bertanding atas tiket parti. Semua calon bertanding secara individu. Semua rakyat layak dan bebas mengundi.

2. Apabila menang, satu lagi pilihanraya (pusingan kedua) diadakan untuk memilih anggota kabinet bagi membentuk kerajaan.

3. Rakyat sekali lagi mengundi dan 25 calon yang mendapat undi tertinggi akan dipilih menganggotai kabinet bagi membentuk kerajaan, tanpa mengira parti.

4. Calon yang mendapat undi terbanyak akan menjadi PM dan TPM, manakala yang lain jadi menteri kabinet. Atau 25 orang ini bermesyuarat untuk melantik seorang PM dan TPM di kalangan mereka. Yang lain jadi menteri mengikut kepakaran dan kesepakatan majlis syura pimpinan ini.

5. Visi dan misi anggota kabinet bukan lagi parti, tetapi adalah untuk rakyat dan negara. Parlimen berhak mengusulkan undi tidak percaya sekiranya didapati seseorang menteri itu menyeleweng atau tidak mampu melaksanakan tugasnya dengan baik.

6. Elok juga parti-parti politik diharamkan terus. Dengan itu rakyat tidaklah terlalu sibuk dan disibukkan dengan perbalahan dan percakaran parti-parti politik. Ini semua hanya menjadikan seseorang itu taksub kepada parti dan tidak bersetuju dengan orang lain, serta bersikap tertutup. Hanya NGO dibenarkan.

7. Wujudkan Majlis Syura Pimpinan Negara (MSPN) dengan 41 anggota. Parlimen membentuk satu panel penasihat seramai 16 orang untuk menganggotai Majlis Syura Pimpinan Negara bersama semua 25 menteri kabinet. Pengerusinya hendaklah dipilih oleh Dewan Rakyat, terdiri daripada orang yang dihormati oleh orang ramai.

8. Tugas MSPN adalah untuk mengawal, mengawasi dan memantau perjalanan kerajaan. Badan ini akan membawa usul tertentu kepada Dewan Rakyat sekiranya kerajaan tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya.

9. Badan Kehakiman adalah badan bebas. SPR, SPRM dan Polis bertanggungjawab terus kepada Parlimen, bukan Perdana Menteri.

10. Pilihanraya ditetapkan tarikhnya pada akhir setiap pemerintahan 5 tahun atau, jika hendak diadakan sebelum tempoh tamat, ia boleh ditentukan oleh Dewan Rakyat yang bersidang. Tarikh pilihanraya hendaklah ditetapkan sekurang-kurangnya 3 bulan lebih awal bagi memudah persiapan calon.

11. Sebarang perubahan dasar dan undang-undang hendaklah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Kita mesti pastikan halatuju negara tidak diubah-ubah sesuka hati mengikut selera pemimpin sahaja.

12. Diwujudkan Akademi Kepimpinan Negara (AKN) untuk melatih bakat-bakat kepimpinan dalam bidang politik, hubungan antarabangsa, ekonomi, agama, pendidikan dan sosial supaya lahir generasi kepimpinan baru yang kompeten, termasuk daripada segi akhlak dan integritinya. MBA Leadership and Management. Bakat-bakat ini akan diberi tempat dalam bidang kepakaran mereka dan digilap supaya menjadi matang dan akhirnya menjadi pelapis kepada kepimpinan sedia ada.

Untuk melaksanakan Sistem Politik Syura, tentulah Perlembagaan Negara perlu diubah kerana ia melibatkan cara pilihanraya dikendalikan. Terserah kepada pihak yang menang PRU13 untuk menimbangkannya.

Ini sekadar cadangan awal bagi mewujudkan Politik Baru dan Masyarakat Civil (Madani) yang berteraskan Politik Syura.

Apa pandangan anda?

15 Ogos 2010, Malaysia Today.