Pengguna:Ma Hzi Wong/Gerak kerja/Terjemahan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
               
               
               
               
               
               
Utama
               
Pesanan
               
Gaya kerja saya
               
Kotak profil
               
Ujian projek
               
Emel
               
Sumbangan

Kaedah penterjemahan BM > BI > BM[sunting | sunting sumber]

Saya tertarik untuk meletakkan rencana[1] ini dalam laman pengguna wiki saya.

Definisi Penterjemahan[sunting | sunting sumber]

Proses pemindahan maklumat dari bahasa sumber/asal ke bahasa sasaran/penerima dengan mengekalkan makna, struktur dan gaya. Hasil proses ini ialah terjemahan.

Jenis Terjemahan[sunting | sunting sumber]

1. Kata Demi Kata

Penterjemahan dibuat dengan mengikut susunan perkataan bahasa sumber tanpa menghiraukan perbezaan struktur bahasa, khususnya struktur ayat, bahasa sumber dengan bahasa sasaran. Kaedah penterjemahan ini tidak baik kerana ia cenderung untuk melanggar tatabahasa bahasa sasaran dan mungkin lari daripada makna sebenar.

Contoh terjemahan kata demi kata adalah seperti yang berikut:

Teks asal (Terjemahan kata demi kata)
1. Ladies and gentlemen (Puan-puan dan tuan-tuan)
2. She is a USM lecturer (Dia ialah seorang pensyarah USM)
3. It takes a village to educate a child (Ia mengambil/memerlukan sebuah kampung untuk mendidik seorang anak)
4. There is a crocodile in the river (Di sana ialah seekor buaya di dalam sungai itu)

Analisis kesalahan/kelemahan:

Terjemahan (1) tidak mengambil kira budaya orang Melayu yang lebih mengutamakan orang lelaki. Terjemahan yang sepatutnya ialah ”Tuan-tuan dan puan-puan” kerana orang Melayu/Malaysia lebih mengutamakan orang lelaki. Terjemahan (2), (3) dan (4) meniru bulat-bulat struktur ayat bahasa Inggeris. Struktur seperti ini tidak terdapat dalam BM.


2. Harfiah

Penterjemahan dibuat berdasarkan maksud sesuatu perkataan semata-mata tanpa menghiraukan makna perkataan itu dalam konteks budaya, pegangan agama, sudut pandangan dan fahaman politik penutur bahasa sumber. Kaedah penterjemahan ini juga tidak baik kerana ia mungkin menghasilkan terjemahan yang maknanya berbeza daripada makna sebenar. Ia juga mungkin menyinggung perasaan pembaca/khalayak bahasa sasaran.

Contoh terjemahan harfiah adalah seperti yang berikut:

Teks asal (Terjemahan harfiah)
1. Thank you (Syukur kamu)
2. Ladies and gentlemen (Laki-laki dan wanita-wanita yang budiman)
3. Unsung heroes (Wira-wira yang tidak didendangkan)
4. He is a rat (Dia tikus)
5. Light blue (Biru terang)
6. Israel’s government (kerajaan Israel)
7. Hamas terrorists (pengganas-pengganas Hamas)
8. I love you, mum (Saya sayang awak, ibu)
9. ["dialog kartun Jepun"] (”Wah, daging babi ini sungguh lazat!”)

Analisis kesalahan/kelemahan:

Terjemahan (1), iaitu “syukur kamu”, tidak pernah digunakan oleh masyarakat Melayu ketika menzahirkan penghargaan terhadap orang yang berbuat baik kepada mereka. Terjemahan (2) dan (3) tidak menurut cara pengucapan orang Melayu. Terjemahan (4) menyalahi makna kerana “tikus” dalam bahasa Melayu melambangkan sikap penakut, sedangkan “tikus” (rat) dalam bahasa Inggeris melambangkan kehinaan dari segi kedudukan. Terjemahan (5) salah. Yang sepatutnya ialah “biru muda”. Terjemahan (6) dan (7) tidak mengendahkan fahaman politik / pegangan agama masyarakat Melayu/Malaysia yang tidak mengiktiraf kewujudan negara/kerajaan Israel dan menganggap orang-orang Yahudi menduduki secara haram wilayah Palestin. Oleh itu, pada pandangan masyarakat Melayu/Malaysia “kerajaan Israel” tidak wujud, dan orang-orang yang menentang pihak yang menduduki secara haram wilayah mereka (Palestin/Hamas) tidak boleh dianggap “pengganas”.

Terjemahan (8) dan (9) tidak mengendahkan sensitiviti masyarakat Melayu yang menganggap penggunaan kata ganti diri “awak” terhadap ibu mereka (8) adalah biadap, sementara “daging babi” (9) pula adalah haram dan dianggap jijik oleh masyarakat Melayu. Oleh itu, kata ganti diri “awak” tidak seharusnya digunakan terhadap “ibu”. Masyarakat Melayu tentu tidak dapat menerima penyataan bahawa “daging babi” yang haram dan jijik itu “lazat”.


3. Bebas

Penterjemahan dilakukan tanpa terikat dengan budaya, pegangan agama, sudut pandangan dan fahaman politik pengarang asal. Ia juga tidak terikat dengan struktur frasa dan ayat bahasa sumber.

Contoh terjemahan bebas (dan betul) adalah seperti yang berikut:

Teks asal (Terjemahan bebas)
1. Thank you (Terima kasih)
2. Ladies and gentlemen (Tuan-tuan dan puan-puan)
3. Unsung heroes (Wira-wira yang dilupakan)
4. He is a rat (Dia kucing/anjing kurap)
5. Light blue (Biru muda)
6. Israel’s government (Rejim Israel)
7. Hamas terrorists (Pejuang-pejuang Hamas)
8. I love you, mum (Saya sayang ibu)
9. ["dialog kartun Jepun"] (”Wah, masakan ini sungguh lazat!”)
10. She is a USM lecturer (Dia pensyarah USM)
11. It takes a village to educate a child (Kerjasama seluruh ahli masyarakat diperlukan untuk mendidik seorang anak)
12. There is a crocodile in the river (Ada seekor buaya di dalam sungai itu)


Selain perkara-perkara yang telah dijelaskan, ada aspek lain yang perlu dipertimbangkan dalam penterjemahan. Aspek tersebut ialah pengetahuan pembaca/khalayak sasaran mengenai sesuatu perkara. Misalnya, terjemahan “sebuah pekan kecil di utara Lille” tentulah tidak memberikan apa-apa pengertian kepada pembaca di Malaysia kerana mereka tidak mengetahui kedudukan “Lille”. Sekiranya maklumat ini tidak perlu diketahui oleh pembaca, ia boleh dibuang sahaja.

Sebaliknya, jika maklumat kedudukan “pekan kecil itu” dan “Lille” perlu diketahui, penterjemah perlu memberikan maklumat tambahan / mengubah suai maklumat. Misalnya, maklumat “sebuah pekan kecil di utara Perancis” lebih dimengerti oleh pembaca di Malaysia.

Sebaliknya, maklumat “Alor Setar yang terletak di utara semenanjung” tentulah tidak perlu bagi khalayak/pembaca Malaysia kerana mereka memang mengetahui kedudukan bandar raya itu. Oleh itu, maklumat kedudukan bandar raya berkenaan tidak perlu ada dalam terjemahan.

Istilah lain yang ada kaitan dengan penterjemahan[sunting | sunting sumber]

Transliterasi

Dibuat dengan meminda perkataan, khususnya istilah, dengan cara mengubah sedikit ejaan /sebutan tetapi tetap mengekalkan perkataan/istilah berkenaan mengikut bahasa sumbernya. Contoh:

Idealogy – Idealogi
University – Universiti
Melamine - melamin

Adaptasi

Dibuat dengan meniru karya asal dengan cara mengambil cerita dasarnya (plot) sahaja. Nama-nama watak, latar tempat, latar masa dan latar budaya menggunakan unsur tempatan. Contohnya, “Bawang Puteh Bawang Merah” diadaptasi daripada “Cinderella”.

Kesimpulan[sunting | sunting sumber]

Dalam penterjemahan, tidak semestinya maklumat dari bahasa asal dipindahkan 100 peratus ke bahasa sasaran. Maklumat boleh dipinda, ditambah atau dikurangkan. Dengan kata lain, seseorang penterjemah tidak melakukan kerja penterjemahan semata-mata. Beliau seharusnya melakukan juga tugas pengeditan. Dalam hal ini, seseorang penterjemah perlu mengambil kira perkara-perkara yang berikut:

  1. Perbezaan struktur bahasa (frasa & ayat) bahasa asal dengan bahasa sasaran.
  2. Perbezaan budaya, pegangan agama, sudut pandangan, fahaman politik pengarang asal dengan pembaca/khalayak bahasa sasaran.
  3. Pengetahuan pembaca/khalayak sasaran.

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mohd Rashid, D. 2009. Kaedah terjemahan. Dicapai 1 Febuari 2012.