Penyahlembap

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Alat penyahlembap mudah alih.

Alat penyahlembap (bahasa Inggeris: dehumidifier) merupakan sejenis perkakas elektrik yang mengawal dan mengurangkan tahap kelembapan udara atas tujuan kesihatan atau keselesaan, ataupun untuk membasmi bau hapak serta mencegah pertumbuhan kulapuk dengan menyedut air dari udara. Ia boleh digunakan di latar rumah, perniagaan mahupun industri. Mesin penyahlembap besar digunakan dalam bangunan-bangunan komersial seperti kolam renang dan gelanggang ais di samping juga kilang dan gudang simpanan barang.[1]

Alat penyahlembap pertama dicipta oleh pencipta Amerika, Willis Carrier pada tahun 1902 untuk membendung kelembapan dalam sebuah kilang percetakan di Brooklyn.[2] Carrier memuji penemuan ini sebagai pencetus bagi penemuan akan datang dalam bidang penyamanan udara.[3]

Alat penyahlembap menyedut zarah-zarah air dari udara yang melalui unit. Terdapat dua jenis, iaitu penyahlembap jenis memeluwap (condensate) dan mengering (desiccant).

Penyahlembap memeluwap menggunakan suatu peti sejuk untuk mengumpul air peluwap yang biasanya merupakan air sisa tetapi ada kalanya boleh diguna semula untuk tujuan industri. Ada pengeluar yang membekalkan penapis osmosis songsang untuk menukarkan air peluwap itu kepada air minuman.[4] Sesetengah reka bentuk seperti penyahlembap membran ionik (ionic membrane dehumidifier) melupuskan air dalam bentuk wap.

Penyahlembap mengering pula mengikat kelembapan dengan bahan-bahan hidrofilik seperti gel silika. Unit-unit kegunaan rumah yang murah mempunyai kartrij bahan hidrofilik pakai buang serta bahan gel dan serbuk. Unit kegunaan niaga yang besar-besar pula mempunyai sistem pemulihan udara panas untuk menapis udara lembap dari luar bilik.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "3" (PDF). Technical Guidelines of an Ice Rink. International Ice Hockey Federation. Dicapai pada 13 February 2015.
  2. ^ Harriman, L. G. Iii; Plager, D.; Kosar, D. (1 November 1997). "Dehumidification and cooling loads from ventilation air". ASHRAE Journal (dalam bahasa English). 39 (11). OSTI 563883.CS1 maint: unrecognized language (link)
  3. ^ Nagengast, Bernard. "100 Years of Air Conditioning". CiteSeerX 10.1.1.545.9425. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  4. ^ Frigidaire (2009). All about the Use & Care of your Dehumidifier. Electrolux Home Products, Inc. m/s. 7.