Perbincangan:Sejarah Bangunan Sultan Abdul Samad

Kandungan laman tidak disokong dalam bahasa lain.
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bangunan Sultan Abdul Samad terletak di depan Dataran Merdeka dan Kelab Diraja Selangor. Ia berdiri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Malaysia. Bangunan ini mengambil nama Sultan Abdul Samad, sultan Selangor pada masa ia mula dibina.

[sunting] Sejarah

Bangunan ini direkabentuk oleh arkitek Inggeris bernama Anthony C. Norman sekitar tahun 1893-1897 untuk menempatkan beberapa jabatan kerajaan penting ketika zaman pemerintahan British. Norman menghabiskan masa di Afrika dan mendapat ilham daripada masjid di India yang membawa kepada ciri senibina Moor dalam arkitektur Bangunan Sultan Abdul Samad.

Perletakan batu asas bagi bangunan ini hanya dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu. Bangunan ini dirasmikan pada tahun 1896 dan siap sepenuhnya untuk digunakan pada tahun 1897.

Bangunan dua tingkat ini didirikan di atas kawasan seluas 10,200 meter persegi dan setinggi 57 kaki. Di bawahnya terdapat tempat letak kereta untuk hakim - hakim dan pegawai–pegawai mahkamah. Ia mempunyai 3 kubah dan sebuah menara jam setinggi 40 meter.

Bangunan ini turut dilanda banjir pada tahun 1971 apabila hujan lebat berlaku di seluruh negara. Jumlah hujan yang lebat itu ditambah pula dengan sistem saliran yang tidak begitu memuaskan di sekitar Kuala Lumpur.

Pengubahsuaian pada tahun 1978 mengambil masa enam tahun, menelan belanja sebanyak RM 17.2 juta ringgit. Di sini tempat di mana bendera Union Jack telah diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan Jalur Gemilang dikibarkan. Peristiwa ini menunjukkan satu tanda berlalulah satu era dan lahirlah satu masyarakat yang merdeka.

[sunting] Ciri

Dengan kubah tembaga dan jam menara setinggi 41 meter, bangunan ini merupakan tanda penting di Kuala Lumpur. Ia menghiasi beberapa acara penting seperti Perarakan Kemerdekaan setiap 31 Ogos dan ketika menyambut Tahun Baru. Bangunan warisan ini pernah menempatkan Mahkamah Agung (sekarang dinamakan Mahkamah Persekutuan). Ia juga pernah menempatkan Mahkamah Rayuan sebelum kedua-dua mahkamah ini berpindah ke Istana Keadilan di Putrajaya. Bangunan ini sekarang menempatkan Bahagian Komersil Mahkamah Tinggi Malaya.

Di belakang bangunan ini mengalir pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak di mana di tengah-tengahnya adalah Masjid Jamek yang juga menggunakan ciri-ciri arkitektur yang sama oleh arkitek yang sama.