Perbincangan pengguna:Nazim LMNS

Kandungan laman tidak disokong dalam bahasa lain.
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Masakan Tradisi Siput Kelemuai sudah tidak asing lagi bagi masyarakat di Luak Gunung Pasir. Ia telah hadir dikalangan masyarakat Luak Gunung Pasir sejak turun temurun berikutan ia menjadi antara sumber alternative makanan harian pada masa tersebut. Ada sumber yang yang mengatakan bahawa masakan tradisi ini tidak hanya ada di kalangan masyarakat Luak Gunung Pasir malah ianya juga dimasak oleh masyarakat dari luak-luak lain. Masakan tradisi ini kebiasaanya akan dimasak secara bergotong-royong apabila mereka melaksanakan majlis yang besar seperti kenduri-kendara atau majlis adat istiadat dan yang seumpamanya. Masakan tradisi ini menjadi makanan istimewa untuk dihidangkan kepada orang-orang besar di dalam luak mereka seperti Penghulu dan Lembaga luak dan jemputan khas. Sebelum masakan Siput Kelemuai ini dapat dihasilkan, terlebih dahulu bahan utama masakan iaitu Siput Kelemuai itu sendiri perlu dicari dalam kuantiti yang banyak berdasarkan besarnya majlis atau kenduri yang akan dilaksanakan.

Masyarakat kampung di Luak Gunung Pasir akan bergotong royong mencari dan mengutip siput-siput ini di kawasan kolam yang dipanggil “Tobek”. Terdapat 2 cara bagi memperolehi siput-siput ini iaitu dengan cara mengutipnya dengan tangan di kawasan tobek atau dengan kaedah memasang perangkap bagi mengumpul siput-siput ini dalam jumlah yang banyak dan cepat. Cara mengutip dengan menggunakan tangan amat memenatkan dan memakan masa yang agak lama. Ia hanya dipraktikkan apabila masakan ini dilakukan dalam jumlah yang kecil dan hanya untuk kegunaan keluarga sendiri sahaja.

Untuk sebuah majlis yang besar, jumlah siput yang banyak diperlukan dan mereka akan menggunakan cara kedua iaitu dengan menggunakan perangkap yang dibuat daripada daun pelepah kelapa atau daun betik. Daun pelepah kelapa atau daun betik ini akan diletakkan di dalam kolam atau tobek selama 2 hari sebagai umpan kepada siput Kelemuai. Seperti yang kita maklum bahawa daun tumbuh-tumbuhan merupakan makanan ruji kepada siput dan ini akan menarik siput-siput ini untuk mendekati daun-daun tersebut. Selepas tempoh 2 hari ,siput-siput tersebut akan mula dikutip dan disimpan di dalam sebuah bekas selama 1 hari. Bekas tempat penyimpanan siput-siput tersebut terlebih dahulu akan diisi dengan air bersih bagi memastikan siput-siput tersebut kekal hidup dan segar sewaktu disiang untuk dimasak.

Pada keesokan harinya, siput-siput tersebut akan disiang untuk diambil isinya dari cengkerang siput. Terdapat 2 cara bagi memperolehi isi siput-siput ini. Cara pertama adalah dengan menggunakan sudu , jari dan benda tajam yang boleh mengumpil. Tapak cengkerang akan diumpil terlebih dahulu sehingga menampakkan isi siput. Kemudian sudu atau jari akan digunakan bagi menarik keluar isi siput tersebut. Manakala cara kedua pula adalah dengan menggunakan tempurung kelapa. Cara ini agak tradisi tetapi lebih mudah dipraktikkan kerana ia lebih cepat untuk memperolehi isi siput dengan jumlah yang banyak dan dalam masa yang singkat. Caranya , beberapa ekor siput bersaiz ibu jari akan dipilih untuk diletakkan di dalam sebiji tempurung kelapa. Tapak cengkerang siput tersebut akan dibuang terlebih dahulu. Siput-siput yang telah dibuang tapak cengkerangnya tadi akan diletakkan di dalam 2 tempurung kelapa dan ditutup rapat hingga membentuk sebiji buah tempurung kelapa yang lengkap. Tempurung kelapa ini kemudian akan digoncang selama beberapa minit atau 10 hingga 15 goncanggan. Apabila tempurung kelapa dibuka, isi-isi siput tersebut akan terkeluar dengan sendiri dari cengkerangnya samada secara semula jadi atau cengkerang tersebut pecah akibat goncangan tersebut.

Selepas isi-isi siput tersebut dikumpul dan dicuci bersih, ia akan dipotong-potong mengikut saiz yang bersesuaian untuk dimasak. Isi siput yang telah selesai dipotong akan dibersihkan sekali lagi lalu direbus di dalam periuk selama setengah jam dan ditoskan sebelum dimasak dalam pelbagai bentuk variasi masakan. Makanan yang paling popular di kalangan masyarakat Luak Gunung Pasir adalah Masakan Gulai Siput Kaling Muai.

Bagi menyediakan Masakan Gulai Siput Kelemuai yang menarik, beberapa bahan utama perlu disediakan terlebih dahulu yang terdiri daripada buah-buah asam seperti buah bacang, belimbing buluh, buah mangga dan asam gelugor muda. Selain dari itu bahan-bahan lain yang digunakan adalah pucuk gelugor, cili api, bawang putih, bawang merah, kunyit hidup, garam, santan kelapa, serai, daun kunyit dan beberapa bahan tambahan lain bagi menyedapkan rasa Masakan Gulai Siput Kaling Muai. Beberapa persiapan terlebih dahulu perlu dilakukan terhadap bahan-bahan masakan sebelum proses memasak dapat dilakukan. Pertama, buah kelapa perlu diparut dan diperah menjadi santan. Manakala cili api dan kunyit hidup perlu ditumbuk halus bagi memudahkan kerja-kerja menumis.

Manakala cara memasaknya pula, pertama santan akan dimasak terlebih dahulu bersama dengan cili api dan kunyit yang telah ditumbuk halus sehingga mendidih. Kemudian isi siput yang telah direbus tadi dimasukkan ke dalam santan yang sedang mendidih sehingga pecah minyak. Setelah itu, campuran buah-buah asam tadi akan dimasukkan ke dalam masakan dan dibiarkan mendidih selama 20 minit. Bagi menambah perisa di dalam masakan gulai siput ini, garam dan bahan perisa masakan akan ditambah mengikut kesesuaian si tukang masak. Apabila masakan telah sebati maka selesailah proses memasak Masakan Gulai Siput Kelemuai ini tadi. Sekiranya tukang masak ingin menyediakan Masakan Rendang Siput Kelemuai, sedikit perubahan perlu dibuat dimana santan kelapa yang digunakan akan dilebihkan di dalam masakan bagi membolehkan kuah masakan menjadi pekat dan lemak.

Masakan Tradisi Siput Kelemuai merupakan makanan eksotik Luak Gunung Pasir dan seharusnya diwarisi dari generasi ke generasi agar ia tidak luput oleh arus permodenan dengan jenis-jenis masakan moden yang semakin bertambah variasinya. Masakan tradisi ini dilahirkan oleh golongan orang-orang lama hamper 50 tahun lalu dengan pelbagai pantang larang dan aturan tradisi masakan serta menggunakan bahan yang sudah pastinya baik untuk kesihatan berdasarkan pengalaman hidup mereka. Satu kelebihan yang didapati dari Masakan Tradisi Siput Kelemuai ini adalah ia boleh mengubati penyakit buasir secara alternative sekiranya diamalkan secara berterusan. Ini berdasarkan hasil yang kita lihat dari kalangan orang-orang lama serta ibu-ibu soko yang masih kuat bertenaga kerana amalan pemakanan diet seperti ini. Semoga ia dapat dipertahankan untuk generasi warisan yang akan datang.