The Battle of the Books

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Pertempuran Buku (karya))
Halaman tajuk, edisi pertama

The Battle of the Books ("Pertempuran Buku") ialah judul satira pendek yang ditulis oleh Jonathan Swift dan diterbitkan sebagai sebahagian daripada mukadimah bukunya Cerita Sebuah Besen pada tahun 1704. Karya ini menggambarkan pertempuran antara buku-buku yang tersimpan di Perpustakaan Raja di Istana St. James di London, sewaktu idea dan penulis berjuang untuk mendapat keulungan dan kekuasaan. Oleh sebab itu satiranya, Pertempuran Buku menjadi perkataan bagi Perbalahan antara Kuno dan Moden.

Kuno lawan Moden[sunting | sunting sumber]

Satu kegemparan timbul di Perancis pada akhir abad ke-17 tentang persoalan sama ada pembelajaran kontemporari ataupun pembelajaran sezaman mengatasi apa yang diketahui pada zaman Klasik Yunani dan Rom. Pihak "moden" mengambil pendirian bahawa zaman moden sains dan taakulan lebih maju daripada pandangan dunia yang terbatas dan dipenuhi kepercayaan karut Yunani dan Rom. Pada pendapat pendokong "moden", seperti Bernard le Bovier de Fontenelle, manusia moden dapat melihat lebih jauh daripada manusia kuno. Pihak "kuno" pula menyatakan kesemua apa yang perlu diketahui masih boleh diketemu dalam Virgil, Cicero, dan terutama sekali Aristotle.

Pertarungan kesusasteraan ini dilakonkan kembali dalam skala kecil di England apabila Sir William Temple menerbitkan satu jawapan kepada hujah Fontanelle dalam karya berjudul Tentang Pembelajaran Kuno dan Moden, ("Of Ancient and Modern Learning") pada tahun 1690. Esei Temple memperkenalkan dua metafora, yang kemudiannya akan digunakan oleh penulis terkemudian, kepada debat. Pertama, beliau mencadangkan bahawa manusia moden hanya orang kerdil yang berdiri "di atas bahu gergasi" (yakni manusia moden dapat melihat lebih jauh keran bermula dengan pemerhatian dan pembelajaran yang diraih orang kuno). Beliau juga melihat manusia moden sebagai pantulan cahaya, sementara orang kuno ialah punca cahaya: mereka memiliki penglihatan jelas tentang alam, dan manusia moden hanya memantulkan/memperbaiki penglihatan mereka. Metafora-metafora ini, berkaitan gergasi/kerdil dan pantulan/kemunculan, akan timbul dalam satira Swift dan penulis lain.

Esei Temple dijawab pula oleh Richard Bentley, seorang pengkaji karya klasik, dan William Wotton, seorang pengkritik. Rakan-rakan Temple kemudiannya menyerang pihak "moden" (terutamanya Wotton) dan perdebatan berlanjutan selama beberapa tahun.

Pada masa itu William Temple sudah bersara daripada jawatan menteri dan Setiausaha Negara Raja Charles II England. Sebagai seorang menteri dirasakan tidak molek jika Temple menjawab secara langsung penulis profesional, justeru pertarungan dilakukan antara musuh dan penyokong Temple. Perlu diperhatikan bahawa Swift tidak terlibat dalam perdebatan walaupun pada masa itu beliau bekerja sebagai setiausaha Temple. Justeru kebarangkalian perbalahan itu lebih merangsang imaginasi Swift daripada menjadi satu perdebatan yang ingin dicampurnya.

Satira[sunting | sunting sumber]

Jonathan Swift bekerja untuk William Temple semasa kontroversi berlaku, dan buku Swift, Cerita Sebuah Besen (1703/1705) mengambil bahagian dalam debat. Pada penerbitannya yang pertama Swift menambah sebuah satira pendek berjudul Pertempuran Buku kepada Cerita Sebuah Besen. Dalam penulisan ini terdapat satu pertempuran epik yang berlangsung di dalam sebuah perpustakaan apabila pelbagai buku menjadi bernyawa dan cuba memutuskan perbalahan antara "moden" dan "kuno". Swift dengan terampil mengelak daripada mengatakan pihak manakah yang menang di dalam satiranya. Dia menggambarkan manuskrip sebagai mendapat kecederaan di beberapa tempat, dan dengan itu membiarkan pembaca untuk merumuskan bagaimana pertempuran itu berkesudahan.

Pertempuran dikisahkan dengan perincian tentang beberapa pegarang tertentu yang bergelut dengan pengganti dan pengkritik mereka. Pertempuran bukan sahaja antara penulis Klasik dan moden, tetapi juga antara penulis dan pengkritik. Prosa Swift merupakan parodi puisi kewiraan seakan-akan parodi Samuel Butler tentang pertempuran dalam cerita Hudibras.

Kombat dalam "Pertempuran" disampuk dengan alegori sisipan tentang labah-labah dengan lebah. Seekor labah-labah "yang Teramat buncit, oleh Kemusnahan Sejumlah Lalat yang tidak terhingga banyaknya", tinggal seolah pemilik kota pada rak atas, dan seekor lebah, terbang dari alam semula jadi dan tertarik kepada kota akibat sifat ingin tahu, merosakkan kota labah-labah. Labah-labah menyumpah lebah kerana kecemerkapannya dan kerana merosakkan hasil kerja seorang yang lebih baik daripadanya. Labah-labah berkata bahawa sarangnya ialah rumahnya, kediaman yang tersergam indah, sementra lebah hanya kutu rayau yang pergi ke sana sini tanpa sedikit menghiraukan nama baiknya. Lebah menjawab bahawa ia hanya melakukan apa yang disuruh oleh alam, membantu di ladang, sementara kota labah-labah hanya apa yang dikeluarkan daripada tubuhnya, sesuatu yang "banyak Kekotoran dan Racun". Alegori ini sudah kerap digunakan sebelum Swift menggunanya, dan ia merupakan satu digresi (penyimpangan) dalam cerita sebenar Pertempuran. Namun, ia juga menggambarkan tema keseluruhan karya ini. Lebah seakan orang kuno dan seakan penulis: ia mengumpul bahan daripada dunia semula jadi dan menyanyikan lagu dengungnya di ladang-ladang. Labah-labah seperti orang moden dan para pengkritik: ia membunuh yang lemah dan kemudian memutarkan sawangnya (buku kritikan) daripada kekotoran tubuhnya yang menghadam visera makanannya.

Dalam satu pengertian, Pertempuran Buku menggambarkan satu tema yang dikaji Swift dalam Cerita Sebuah Besen: kegilaan perasaan sombong yang terlibat dalam sangkaan bahawa zaman seseorang itulah yang terunggul dan kerendahan karya-karya terbitan (derivatif). Satu daripada serangan dalam Cerita dikenakan terhadap mereka yang percaya bahawa menjadi pembaca karya membuat mereka setaraf pencipta karya.

Pertempuran Swift "terhutang budi" dengan Le Lutrin karya Nicolas Boileau, kendatipun ia bukan sebuah terjemahan. Sebaliknya ia merupakan karya bahasa Inggeris yang menggunakan landasan yang sama. Sebagai satu adegan khas ataupun topos satira abad ke-18, Pertempuran Buku merupakan trengkas standard bagi kedua-dua Perbalahan antara Kuno dan Moden, dan zaman pertempuran Swift dengan William Wotton.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Swift, Jonathan. A Tale of a Tub and Other Works. Marcus Walsh, editor. Cambridge: Cambridge University Press, 2010.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]