Pertempuran Lipany

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Pertempuran Lipany
Sebahagian daripada Perang Hus
Josef Mathauser - Bitva u Lipan roku 1434.jpg
Pertempuran Lipany oleh Josef Mathauser.
Tarikh30 Mei 1434
Lokasi
Lipany berhampiran Český Brod
Koordinat: 50°01′43″N 14°56′13″E / 50.02861°N 14.93694°E / 50.02861; 14.93694
Keputusan Kemenangan muktamad Utraquis dan Katolik
Pihak yang terlibat
Gerakan Hus radikal (Taborit )

Husitská korouhev.svg Gerakan Hus bersederhana (Utraquis )

Royal banner of the Kingdom of Bohemia (colorful).svg Bohemia Katolik
Komandan dan pemimpin
Prokop Agung  
Jan Čapek of Sány
Diviš Bořek dari Miletínek
Kekuatan
10,700 14,300
Kerugian dan korban
1,300 terkorban
700 dihukum mati
200 terkorban

Pertempuran Lipany (bahasa Czech: Bitva u Lipan) juga dikenali sebagai Pertempuran Český Brod tercetus di Lipany yang terletak 40 kilometer dari arah timur Prague pada 30 Mei 1434. Pertempuran ini hampir-hampir menamatkan siri Perang Hus. Tentera bangsawan Utraquis dan Katolik yang disebut sebagai Liga Bohemia telah menewaskan Taborit yang radikal di bawah pimpinan Prokop Agung dan komander kavalri mereka, Jan Čapek dari Sány.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Pada lewat abad ke-14, kritikan ke atas gereja telah mencapai kemuncaknya terutamanya di sudut dunia Katolik. Di England, ahli falsafah John Wycliffe mengetuai penentangan terhadap paus. Beliau menyerang amalan gereja yang suka bermewah. Beliau juga telah memperkenalkan penterjemahan kitab Bible ke dalam bahasa-bahasa tempatan. Gerakan beliau telah banyak mempengaruhi paderi Jan Hus dari Bohemia. Dunia Katolik telah berpecah dalam situasi yang dikenali sebagai Perpecahan Timur pada tahun 1378. Paus-paus yang bersaing telah diundi di Rom dan Avignon. Perkara ini hanya mengurangkan martabat gereja dan ia telah membantu Jan Hus memperoleh sokongannya dengan kelantangannya menentang gereja dan paus. Pada masa itu, Bohemia merupakan sebuah kerajaan yang berada di bawah pengaruh Empayar Suci Rom dan ia telah diperintah oleh Wenceslaus IV. Beliau cuba untuk mengekalkan status neutral kerajaannya di kala perpecahan agama bagi membolehkannya dilantik untuk menaiki takhta Rom Suci. Namun, ia hanyalah mengukuhkan kedudukan Jan Hus yang meraih sokongan deras. Abang tiri Wenceslaus iaitu Sigismund yang merupakan Raja Hungary juga bersaing untuk merebut takhta Rom Suci. Jadi pada tahun 1414, beliau telah mengadakan Majlis Constance untuk menamatkan perpecahan ini. Jan Hus juga dipelawa ke sana untuk membela dirinya dan dijamin perlindungan oleh Sigismund tetapi beliau telah dipenjara dan dihukum mati pada Julai 1415.

Pengikut Hus yang menggelarkan diri mereka sebagai Husite mula menyerang biara Katolik di Bohemia dan Moravia. Pada tahun 1419, kawasan tersebut dilanda pemberontakan terbuka dan pada bulan Julai, penduduk kota Prague menyerang wakil-wakil raja. Sesetengah sumber telah mendakwa Wenceslaus sangat terkejut ekoran ini sehingga menyebabkan kematiannya. Sigismund menggantikan Wenceslaus dan beliau dengan segeranya menghantar tentera. Pengikut Hus yang bersederhana iaitu Utraquis kebanyakannya terdiri daripada golongan bangsawan dan penghuni kota-kota besar lebih cenderung kepada rundingan. Namun pengikut Hus yang lebih radikal yang dikenali sebagai Taborit terdiri daripada golongan bangsawan kecil dan petani dipimpin oleh veteran Pertempuran Grunwald, Jan Žižka telah meneruskan penentangan. Pada awal tahun 1420, tentera Taborit yang kecil ini telah berjaya menewaskan tentera Katolik di Sudoměř. Beberapa bulan kemudian, Husite telah mengambil alih banyak kota di Bohemia. Pada November 1420, mereka telah memenangi pertempuran penting di Vyšehrad. Pada Januari 1421, Taborit telah mara memasuki Moravia dan memaksa Sigismund untuk berundur ke Hungary apabila garis bekalannya berada dalam keadaan bahaya.

Pada tahun 1421, paus telah menyeru satu Perang Salib untuk mengambil kesempatan di kala perselisihan antara Taborit dan Utraquis. Perang ini diseru untuk menentang Husite yang dipimpin oleh Sigismund sendiri dan beliau telah berarak untuk mengepung Prague dari tiga arah. Jan Žižka pula mengetuai tentera Husite setelah pecahan Taborit dan Utraquis dipaksa untuk bersatu. Pertempuran Bukit Vitkov pada 14 Julai 1420 merupakan saksi pertempuran kedua-dua pihak ini dan ia telah dimenangi oleh Husite. Pada hujung bulan Julai, Sigismund berundur dari Prague. Selepas Pertempuran Kutná Hora, Žižka telah berundur tetapi beliau telah menyambar tentera Sigismund yang tidak dilengkapi pertahanan yang sempurna dalam Pertempuran Deutschbrod. Pasukan salib telah mengalami kerugian bekalan dan mereka terpaksa untuk berundur. Husite cuba untuk menawarkan takhta Bohemia kepada Raja Poland, Jogaila tetapi beliau menolak. Walau bagaimanapun, sepupunya yang merupakan Duke Agung Lithuania iaitu Vytautas menerima tawaran tersebut. Beliau tidak pernah memegang takhta tersebut sebaliknya menghantar anak saudaranya, Sigismund Korybut bersama dengan beribu-ribu pejuang.

Pada tahun 1424, Žižka telah meninggal dunia dan Taborit kini dipimpin oleh Prokop Agung. Tentera Katolik yang dihantar untuk menentang mereka tewas dengan mudah dalam Pertempuran Tachov. Tentera Husite sangat berkuasa pada masa itu dan mereka sering kali menyerbu Jerman dan Hungary. Bahkan, Husite membantu Poland dalam peperangan menentang Teuton dari tahun 1431 hingga 1435. Tentera Poland berjaya mara hingga menjangkau ke Laut Baltik semasa melancarkan serangan pada tahun 1433 dan memaksa Kesateria Teuton untuk berunding dengan Jogaila.

Mengalahkan Husite merupakan salah satu isu utama diketengahkan oleh pihak gereja dan Empayar Suci Rom pada awal abad ke-15. Husite telah dijemput untuk menghadiri Majlis Katolik di Basel pada tahun 1433. Pihak gereja bersama pemimpin Utraquis bersama memulihkan hubungan dan mereka dibenarkan meneruskan amalan mengikut ajaran masing-masing. Taborit membantah perdamaian ini dan peperangan antara dua bekas sekutu ini tidak dapat dielakkan.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Pada Mei 1434, kedua-dua pihak ini telah bertembung berhampiran Český Brod di sebuah bukit yang dikenali sebagai Lipany. Sebahagian tentera Utraquis yang terdiri daripada hampir semua bangsawan Czech telah dipimpin oleh Diviš Bořek. Beliau mempunyai 13,000 tentera pejalan kaki dan 2,000 kavalri di bawah kendaliannya serta mempunyai 700 buah wagon. Taborit pula yang diketuai oleh Prokop Agung mempunyai 10,000 infantri, 700 tentera berkuda dan 400 buah wagon.

Prokop menempatkan wagonnya di cenuram bukit. Terdapat parit yang digali di hadapan kedudukan tentera Taborit manakala pasukan sayap kiri mereka telah dilindungi oleh sebatang anak sungai. Artileri mereka diletakkan di barisan kedua manakala pasukan kavalrinya berada di belakang. Berada di kawasan cenuram bukit membolehkan artileri dapat melepaskan tembakan dengan tepat dan melemahkan keberkesanan tentera musuh yang jauh lebih ramai. Kedua-dua pihak cuba untuk berunding selama beberapa hari tetapi rundingan tersebut ternyata sia-sia lalu mencetuskan pertempuran pada 30 Mei.

Pada awalnya, Utraquis berada di luar jangkauan tembakan artileri Taborit sekali gus menyebabkan ledakan artileri mereka tidak begitu berkesan. Diviš Bořek mengarahkan pasukan infantrinya sambil dilindungi oleh wagon sebagai perisai setelah mereka diserang oleh artileri musuh kerana beliau tahu bahawa tentera musuh akan memakan sedikit masa untuk mengisi peluru artileri. Taborit masih melakukan serangan dan mengenakan kerugian terhadap penyerang musuh hasil serangan artileri tersebut. Artileri Utraquis kini berada di kedudukan yang sesuai tetapi tembakannya yang menjangkau jauh dan tersasar telah gagal seperti yang diharapkan. Diviš Bořek kemudian mengarahkan mereka untuk berundur.

Seperti kebiasaan, Taborit merangka satu serangan balas. Wagon-wagon mereka telah dibawa ke tepi dan tentera-tentera yang lain melancarkan serangan dari kawasan bukit. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja tentera Taborite berada dalam jarak lingkungan yang dekat dengan tentera musuh, wagon Utraquis segera berhenti daripada berundur dan melepaskan tembakan. Kavalri Taborit yang sepatutnya menjaga pasukan sayap dan menyertai serangan ini telah bertindak meninggalkan medan pertempuran. Kemudian, kavalri Diviš Bořek yang bersembunyi di dalam hutan berhampiran menyerang hendap mereka dari arah kanan. Taborit menghadapi kerugian nyawa yang besar dan berundur. Namun, percubaan mereka untuk membentuk wagenburg semula menemui kegagalan kerana kavalri Utraquis masih terus mengejar mereka. Prokop telah terkorban manakala tentera-tenteranya yang lain melarikan diri.

Taborit menghadapi kerugian nyawa seramai 3,000 orang. Namun, mereka masih meneruskan penentangan selama beberapa tahun berikutnya sebelum perang akhirnya tamat. Berdasarkan Perjanjian Jihlava pada tahun 1436, kedudukan Sigismund telah dipulihkan untuk memegang takhta manakala Utraquis pula dibenarkan untuk meneruskan amalan mengikut ajaran mereka.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]