Pertempuran Mobei

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Pertempuran Mobei
Sebahagian daripada Perang Han–Xiongnu
Tarikh Januari – Jun 119 Sebelum Masihi
Lokasi Lembah Orkhon, Mongolia
Hasil Kemenangan muktamad Han
Pihak yang terlibat
Xiongnu Dinasti Han
Komandan
Yizhixie Chanyu
Raja Tuq
Zhao Xin
Wei Qing
Huo Qubing
Kekuatan
80,000+ tentera berkuda
100,000+ infantri
100,000 tentera berkuda
200,000 infantri
140,000 ekor kuda
Korban
c. 90,000 terkorban
c. 87 aristokrat ditawan
c. 20,000 terkorban
c. 110,000 ekor kuda tewas

Pertempuran Mobei (Cina ringkas: 漠北之战Cina tradisional: 漠北之戰pinyin: Mòbĕi zhī Zhàn; secara harfiahnya "Pertempuran Gurun Utara") merupakan kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh Dinasti Han ke atas puak nomad Xiongnu di utara Gurun Gobi pada Januari 119 Sebelum Masihi. Tentera Han yang diketuai oleh Wei Qing dan Huo Qubing telah memenangi pertempuran ini.[1][2][3][4]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Dikatakan bahawa dinasti pertama dalam sejarah China, Dinasti Xia terlibat dalam pertempuran menentang suku nomad Xirong sejak penubuhannya. Menurut beberapa sumber, selepas Dinasti Xia digulingkan oleh Dinasti Shang pada 1600 Sebelum Masihi, beberapa orang kerabat diraja Xia mencari tempat perlindungan bersama dengan suku nomad dan penyatuan tersebut telah membentuk suku Xiongnu.

Suku Xiongnu mendiami utara Gurun Gobi dan mereka sering membuat kekacauan ke atas Dinasti Shang pada masa ini. Pada abad ke-13 Sebelum Masihi, mereka telah berpecah kepada puak-puak dan bergelut menentang suku Donghu, salah satu suku proto–Mongol. Pada tahun 823 Sebelum Masihi, mereka menyerang Dinasti Chou dan menguasai beberapa kota yang penting. Kereta perang Cina kemudian berperanan untuk mengusir penceroboh Xiongnu dari China. Walau bagaimanapun, Dinasti Chou memasuki fasa kemerosotan dan China memasuki satu tempoh yang dikenali sebagai Zaman Negeri–Negeri Berperang pada abad ke-5 Sebelum Masihi. Malahan, pencerobohan dan kekacauan yang dicetuskan oleh suku Xiongnu menjadi bertambah serius.

Keadaan di China berubah lagi pada abad ke-3 Sebelum Masihi. China telah disatukan oleh pengasas Dinasti Qin, Shih Huang Ti. Maharaja Qin itu bukan sahaja berjaya mengusir keluar suku Xiongnu dari China, bahkan beliau telah membina satu pertahanan kukuh yang dikenali sebagai Tembok Besar China. Suku Xiongnu menjadi tidak tentu arah apabila mereka dikalahkan oleh suku Yuezhi di barat dan hilang penguasaan ke atas kawasan Donghu di timur.

Satu tahun selepas kematian Shih Huang Ti pada tahun 210 Sebelum Masihi, Modu merebut gelaran 'chanyu', satu jawatan bagi pemimpin tertinggi puak Xiongnu selepas beliau membunuh bapanya sendiri iaitu Touman. Beliau seterusnya menewaskan puak Yuezhi, Donghu dan puak-puak lain. Pada tahun 203 Sebelum Masihi, beliau berjaya membentuk satu empayar yang terbentang luas daripada Banjaran Pamir di barat hingga ke Semenanjung Liaodong di timur serta dari Tasik Baikal di utara hingga ke Gansu di selatan. Ketika Xiongnu di bawah pemerintahan Modu, mereka memiliki kekuatan seramai 300,000 orang. Semasa Dinasti Qin semakin kehilangan kuasanya dan China bergelut dalam perang saudara, Modu memulakan pencerobahannya ke atas China semula dan membina kedudukannya di utara China.

Pada tahun 202 Sebelum Masihi, Dinasti Han telah ditubuhkan dan maharaja pertamanya, Gaozu bercita-cita ingin menamatkan ancaman suku Xiongnu. Pada tahun 200 Sebelum Masihi, beliau memimpin satu ekspedisi menentang Xiongnu bersama kekuatan tentera seramai 320,000 orang. Walau bagaimanapun, tenteranya telah diperangkap dan dikepung oleh angkatan tentera Modu berhampiran dataran Baideng. Maharaja Han tersebut bersetuju untuk berdamai dan menerima dasar Heqin, iaitu mengahwinkan anak perempuan maharaja kepada chanyu. Namun, suku Xiongnu masih melakukan kekacauan yang menggugat keamanan dan keselamatan dinasti Han.

Pada tahun 141 Sebelum Masihi, Liu Che yang baru berusia 16 tahun menaiki takhta Maharaja Han dan dikenali sebagai Maharaja Wu. Maharaja Wun bersungguh-sungguh untuk menamatkan dasar polisi Heqin dan menamatkan ancaman Xiongnu. Selepas bertahun-tahun kerajaan dilimpahi dengan kekayaan, maka kerajaan dapat menanggung satu kempen ketenteraan untuk menentang Xiongnu. Antara tahun 127 dan 121 Sebelum Masihi, panglima tentera Maharaja Wu iaitu Wei Qing dan Huo Qubing bukan sahaja mampu mempertahankan serangan Xiongnu, bahkan mereka melancarkan serangan balas dan dapat menembusi wilayah-wilayah Xiongnu. Serangan balas ini mencapai kemuncaknya pada tahun 121 Sebelum Masihi apabila Maharaja Wu menetapkan Huo Qubing bagi memimpin tenteranya menentang Xiongnu di Koridor Hexi. Huo Qubing yang memiliki 10,000 tentera berkuda mara sejauh 500 kilometer melalui Gunung Yanzhi. Mereka berjaya membunuh dan menawan ramai tentera dan pembesar Xiongnu. Kawasan koridor Hexi akhirnya berjaya ditakluk oleh Han.

Perkara ini membuatkan pemimpin Xiongnu, Yizhixie memutuskan untuk berundur bersama dengan puaknya ke utara Gurun Gobi. Beliau mengharapkan kawasan tanah yang tandus dapat dijadikan sebagai pertahanan atau pelindung semula jadi bagi menghadapi serangan balas dari Han.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Maharaja Wun telah memanggil panglima tenteranya bagi melancarkan satu ekspedisi ketenteraan yang lebih besar ke atas Xiongnu. Pada tahun 119 Sebelum Masihi, angkatan tentera Han terbahagi kepada dua bahagian. Setiap bahagian memiliki 50,000 tentera berkuda dan 100,000 infantri yang masing-masing dipimpin oleh panglima perang Huo Qubing dan Wei Qing.

Tentera pimpinan Huo Qubing berlepas dari Wilayah Dai dan mara sejauh 1,000 batu sebelum bertembung dengan tentera Xiongnu di bawah pimpinan Raja Tuqi. Pertempuran ini berlaku dengan sengit dan kedua-dua pihak menunjukkan kelebihan masing-masing. Tentera pimpinan Qubing berjaya mengepung dan membunuh ramai musuh. Ribuan telah terkorban dan ditawan. Tentera Qubing juga menanggung banyak kerugian dan menanggung angka korban yang tinggi. Panglima tentera Cina itu kemudiannya merekrut orang tempatan untuk menyertai angkatan tenteranya bagi memperkukuhkan bilangan tentera. Beliau meneruskan kemaraannya sehingga ke Tasik Baikal dan mereka berjaya menewaskan salah satu puak Xiongnu di sana.

Sementara itu, tentera pimpinan Wei Qing bertolak dari Dingxiang dan sedikit lemah kerana tenteranya terdiri daripada askar-askar bukan pilihan Huo Qubing. Tentera Han mara seperti apa yang dirancang dengan perjalanan sejauh 500 batu. Mereka bertembung dengan tentera Xiongnu yang mempunyai kekuatan 80,000 kavalri. Rancangan asal Han ialah membiarkan tentera elit Huo Qubing untuk berhadapan dengan kavalri elit Xiongnu. Tentera Xiongnu dijangkakan akan melakukan serangan mengejut ke atas musuh setelah tentera Han keletihan. Lebih-lebih lagi, tentera bantuan mereka dari timur belum sampai ke medan pertempuran.

Tanpa menunggu lagi, tentera Xiongnu dengan kekuatan 10,000 tentera berkuda menyerang tentera Han. Wei Qing yang terkejut akan serangan ini telah bertindak menyusun pertahanan bagi menangkis serangan musuh. Beliau telah mengarahkan tentera-tenteranya untuk menyusun kereta perang dalam formasi cincin bagi mengatasi tentangan Xiongnu. Perkara ini sedikit sebanyak dapat melindungi tentera pemanah dan infantri daripada serangan mengejut tersebut. Tentera Han terutamanya tentera pemanah memanfaatkan kelebihan pertahanan dan jarak yang luas ini untuk melakukan serangan balas. Wei Qing meletakkan semua tentera berkudanya ke dalam satu formasi kereta perang kecuali 5,000 kavalri yang diasingkan ke dalam kumpulan tentera Han lain. Mereka melancarkan serangan ke atas mana-mana askar Xiongnu yang cuba menembusi formasi cincin kereta perang Han itu.

Taktik ini membuahkan hasil apabila tentera Xiongnu tidak berdaya untuk berhadapan dengan tentera Han akibat disekat oleh pertahanan kereta perang. Dengan kejayaan Hal dalam menangkis percubaan serangan Xiongnu, pertempuran ini menyaksikan kedua-dua pihak seterusnya menemui jalan buntu dan masing-masing tidak memiliki sebarang kelebihan. Sehingga waktu senja menjelma, kejadian ribut pasir telah melanda sehingga mengaburi pandangan. Wei Qing menganggap ia merupakan satu kelebihan bagi pasukan mereka dan mengarahkan tentera utama dan tentera simpanannya ke medan pertempuran. Tentera Han yang menggunakan pelindung bagi mengatasi batasan penglihatan seterusnya berjaya mengepung tentera Xiongnu dari kedua-dua arah. Barisan tentera Xiongnu dengan serta merta dimusnahkan dan semangat mereka terus jatuh apabila diserang oleh tentera Han dalam kegelapan. Melihat angkatan tentera Xiongnu semakin teruk diserang, pemimpin tentera Xiongnu melarikan diri bersama dengan beberapa ratus orang pengiring.

Tentera Han berjaya membunuh 19,000 tentera musuh dan mengejar saki baki tentera musuh yang melarikan diri sejauh 100 batu sehingga ke Banjaran Khangai sebelum mereka berjaya menguasai kubu Zhao Xin yang terletak di Lembah Orkhon. Kubu tersebut telah dibakar dan dimusnahkan oleh tentera Han.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Menurut Buku Han, iaitu dokumen rasmi Dinasti Han menyatakan "tidak ada lagi orang yang dapat melihat istana maharaja di selatan Gurun Gobi lagi". Suku Xiongnu tidak lagi kembali mengulangi kejayaan mereka untuk mencabar kedudukan Han. Satu abad berikutnya, Xiongnu berpecah kepada Xiongnu Utara dan Xiongnu Selatan. Puak Xiongnu Selatan menjalinkan hubungan dengan Dinasti Han. Sementara itu, puak Xiongnu Utara mula berhijrah ke barat setelah diserang oleh puak Xiongnu Selatan dan Han.

Menurut pendapat beberapa orang cendekiawan, Xiongnu merupakan keturunan kepada orang Hun yang secara tidak langsungnya telah menjatuhkan Empayar Rom Barat. Dinasti Han pula telah dibahagikan kepada Tiga Kerajaan pada tahun 220 Masihi selepas mereka memegang tampuk pemerintahan China selama 400 tahun. Hal ini menandakan China memasuki tempoh Tiga Kerajaan.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Book of Han, vols. 06, 55, 94, parts 1.
  2. ^ Zizhi Tongjian, vol. 19
  3. ^ Lin Gan, "Mobei Zhi Zhan" ("The Battle of Mobei")[pautan putus].
  4. ^ Grousset, Rene (1970). The Empire of the Steppes. Rutgers University Press. m/s. 35. ISBN 0-8135-1304-9. 

Pembacaan lanjut[sunting | sunting sumber]